Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

BELIAU ialah seorang ulama yang banyak menghasilkan kitab Qiraat yang tinggi mutunya dan dijadikan modul dalam pembelajaran Qiraat, Rasm dan Ulum al-Quran di peringkat diploma dan universiti. Syeikh Abdul Fattah Ibn Abdul Ghani al-Qadhi (الشيخ عبد الفتاح بن عبد الغني القاضي) lahir di kota Damanhur (دمنهور), Mesir pada 1325 Hijrah bersamaan 1907 Masihi.

Menghafaz al-Quran di kampungnya Damanhur melalui didikan gurunya Syeikh ‘Iyad (الشيخ عياض) dan menekuni ilmu Qiraat daripada beberapa guru yang terkenal ketika itu seperti Syeikh Mahmud Muhammad Ghazal (الشيخ محمود محمد غزال), Syeikh Mahmud Muhammad Nasaruddin (الشيخ محمود محمد ناصر الدين), al-Allamah Syeikh Humam Qutb (الشيخ حمام قطب).

Di peringkat universiti, Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi berkesempatan mendalami pelbagai ilmu Syariah daripada guru-guru yang hebat antaranya; mendalami ilmu Tafsir dari Syeikh Muhammad Tajuddin (الشيخ محمد تاج الدين), ilmu Hadis daripada Syeikh Hasan al-Syarif (الشيخ حسن الشريف), Tauhid daripada Syeikh Amin Mahmud Surur (الشيخ أمين سرور), Feqh Syafei daripada Syeikh Mahmud Abdul al-Daim (الشيخ محمود عبد الدائم). Beliau juga adalah murid kepada Syeikh Mahmud Syaltut (الشيخ محمود شلتوت) yang merupakan Syeikh al-Azhar ketika itu.

Melihat kepada penguasaannya dalam banyak ilmu syariah terutamanya dalam bidang Qiraat, Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi telah memegang beberapa jawatan penting di bawah penyeliaan Universiti al-Azhar. Beliau dilantik sebagai ketua lajnah tashih mushaf yang diselia Universiti al-Azhar.

Selain itu beliau juga adalah khatib di Masjid al-Arif billah al-Imam Abdul Wahab al-Sya’rani (مسجد العارف بالله الإمام عبد الوهاب الشعراني) di Kaherah di samping ahli jawatankuasa perujian untuk memilih qari untuk bacaan di radio Mesir.

Permulaan 1970-an, di Madinah al-Munawwarah, Syeikh Ibrahim Akhdar (إبراهيم الأخضر) yang memiliki suara menarik dan selalu dijemput membaca al-Quran di pembukaan majlis rasmi telah membaca al-Quran mengikut Qiraat Hamzah tanpa membaca basmalah antara dua surah.

Majlis tersebut yang dihadiri ramai ulama antaranya; Samahah Syeikh Ibnu Baz rahmatullah alaih (ابن باز) telah membuat teguran secara terbuka supaya Syeikh Akhdar membaca basmalah.

Selepas bacaannya, Syeikh Ibrahim Akhdar menjelaskan bahawa beliau membaca dengan Qiraat Hamzah di mana manhajnya tidak membaca basmalah antara dua surah dan ia juga adalah Qiraat mutawatirah.

Ekoran daripada itu timbul pengesyoran kepada pihak Syeikh Ibnu Baz yang merupakan Rektor Universiti Islam Madinah ketika itu untuk menubuh Fakulti Quran.

Tindakan segera telah diambil Syeikh Ibnu Baz dengan mengarah supaya membawakan kepadanya orang yang paling alim dalam ilmu Qiraat di dunia ketika itu. Lalu dibawakan kepadanya al-Allamah Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi.

Syeikh Abdul Fattah Qadhi telah menubuh Fakulti Quran, Universiti Islam Madinah. Beliau bertanggungjawab menyediakan modul pengajian Qiraat (قراءات), Rasm (رسم), Dabt (ضبط) dan Fawasil (فواصل).

Beberapa penulisannya menjadi modul kepada pelajar antaranya kitab dalam ilmu fawasil yang dikarang dalam bentuk nadham al-Faraid al-Hisan (فرائد الحسان), kitab al-Wafi (الوافي) yang merupakan syarah kepada Matn Syatibiyyah.

Semasa penulis menuntut di Fakulti Quran di awal 1990-an, guru-guru yang mengajar Qiraat ketika itu kebanyakannya ulama dari Mesir, jika terdapat kekeliruan ketika sesi pengajaran qiraat amali, mereka akan merujuk kitab Budur al-Zahirah (البدور الزاهرة) karangan Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi.

Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi meninggal dunia pada tahun 1402 hijrah bersamaan 1982 Masihi di Mesir. Walaupun beliau telah berlalu pergi namun beliau meninggal sejumlah karya yang terus dijadikan rujukan sehingga ke hari ini.

Selain itu beliau juga meninggal sebilangan murid yang hebat antaranya; Syeikh Dr. Ali Huzaifi (د/علي الحزيفي), imam Masjid Nabi, Syeikh Dr. Abdul Aziz al-Qari (د/عبد العزيز القاري), mantan ketua lajnah Tashih Quran Percetakan Malik Fahd, Syeikh Qurra Masjid Nabi Syeikh Ibrahim Akhdar (إبراهيم الأخضر) dan ramai lagi yang talaqqi Quran dan Qiraat di negerinya, Mesir seperti Syeikh Abdul Basit Abdul Samad (عبد الباسط عبد الصمد), Syeikh Mustafa Ismail (مصطفى إسماعيل).

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 10/8/2011.

Ulasan

(1)

Catat Ulasan