Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Peringkat Kebangsaan kali ke-21 telah diadakan di Hotel Naza Talyya, Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada 27 – 29 September 2010. Persidangan kali ini dianjurkan oleh Kolej Teknologi Islam Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dengan kerjasama Darul Quran, JAKIM.
Persidangan yang diadakan dwi tahunan ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Hj. Abu Malik bin Abul Kassim; Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang. Turut hadir dalam majlis ini ialah Y.Bhg. Dr. Haji Mustapha Bin Kassim; Rektor Kolej Teknologi Islam Antarabangsa ( KITAB ) Pulau Pinang dan Pengarah Darul Quran; Y.Bhg. Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man.
Semasa merasmikan persidangan ini Tuan Hj. Abu Malik bin Abul Kassim memberitahu bahawa prospek pendidikan tahfiz di Malaysia ini semakin berkembang pesat dan mendapat tempat di kalangan masyarakat pada hari ini. Menurut beliau lagi institusi tahfiz menjadi semakin penting dan mampu menandingi institusi pendidikan yang lain terutama dari sudut penawaran kursus-kursus yang berteraskan al-Quran, selain daripada hafazan al-Quran semata-mata.
Pengarah Darul Quran, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kolej Teknologi Islam Antarabangsa (KITAB) kerana memberikan kerjasama yang amat baik bagi menjayakan persidangan pada kali ini. Beliau mengharapkan agar ahli persidangan menjdai proaktif dalam usaha memartabatkan institusi pengajian tahfiz di Malaysia.
Sepanjang persidangan ini, sebanyak 6 kertas telah dibentangkan yang menyentuh secara langsung berkenaan dengan kawalan kualiti akademik, peperiksaan, pengurusan dan penyelarasan antara semua Maahad Tahfiz al-Quran Negeri.
Sumber: JAKIM.
Write a comment
Catat Ulasan