Imam Muda Palestin Imarahkan Masjid

Bulan Ramadan merupakan ruang masa yang ditunggu- tunggu oleh umat Islam. Keberkatan yang terdapat dalam bulan suci itu perlu direbut dengan meningkatkan amalan.

Salah satu keistimewaan Ramadan ialah solat tarawih yang dilakukan secara berjemaah setiap malam usai melaksanakan solat fardu isyak.

Bagi mengimarahkan lagi solat tarawih ini, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Aman Palestin membawakan 14 orang imam dari Palestin bagi meng- imamkan solat tersebut di beberapa buah surau dan masjid di seluruh negara.


Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, kesemua mereka yang dipilih merupakan kelompok imam muda berumur lingkungan 21 hingga 35 tahun.

“Kedatangan mereka dapat menarik lebih ramai jemaah untuk bersama-sama melakukan ibadah di surau atau masjid terpilih di seluruh Malaysia,” ujarnya ketika ditemui dalam kunjungannya bersama kumpulan imam tersebut ke Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, selain menjadi imam solat tarawih dan fardu, masyarakat setempat dapat mendengar sendiri cerita dan pengalaman keperitan hidup masyarakat di Palestin.

“Melalui cerita-cerita tersebut, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai situasi sebenar di Palestin,” jelas Awang Suffian. Program itu merupakan tahun kedua ia diadakan di Malaysia berikutan sambutan yang menggalakkan pada tahun lepas.

Berkongsi Ilmu


Terkesan dengan layanan dan sambutan positif masyarakat tempatan, membuatkan Ahamed Shourab, 31, datang sekali lagi ke Malaysia untuk mengikuti program tersebut.

“Rakyat Malaysia banyak membantu Palestin membuatkan saya tersentuh dengan segala sumbangan dan usaha mereka,” ujarnya yang turut membawa isteri.

“Saya mahu mengenal lebih dekat penduduk Malaysia selain berkongsi ilmu agar dapat dimanfaatkan sesama umat,” jelasnya yang merupakan graduan bidang usuluddin.

Seorang lagi imam muda yang merupakan pelajar sarjana dalam bidang Kimia di Universiti Al-Azhar, Palestin, Abdul Latif Alshoufuh, 26, berkata, akibat pergolakan, dia terpaksa menangguhkan pengajian dan bekerja di makmal kimia di sebuah institusi pengajian.

“Kami mempunyai ramai pelajar yang berkelayakan dalam bidang-bidang tertentu, namun kami kekurangan dana bahan-bahan pengajian serta tempat pengajian mengalami kerosakan teruk akibat dibom.

“Kami terpaksa menangguhkan pengajian kerana beberapa tempat ditutup akibat kerosakan,” ujar Abdul Latif ketika ditanya mengenai keadaan sistem pendidikan di Gaza.

Bercerita mengenai sambutan Ramadan di Palestin, Khaled Abdul Elmalek Abu Athra, 25, berkata, mereka menyambutnya dalam suasana yang daif dan serba kekurangan.

“Kami hanya mendapat sumber elektrik selama lapan jam sahaja setiap hari. Disebabkan itu, sebahagian besar daripada kami akan menghabis- kan masa di masjid terutama pada 10 malam terakhir Ramadan sehingga awal Syawal,” kata Khaled.

Mengulas situasi yang berlaku di Mesir apabila pemerintahan Mohammed Morsi digulingkan oleh puak pembangkang baru-baru, ketua rombongan program, Walid M.I. Salem berkata, keadaan negara itu sama seperti yang terjadi di Gaza.

Berjemaah


“Puak pembangkang tidak akan membenarkan mana-mana pihak Islam untuk memerintah negara. Begitulah yang dihadapi oleh Morsi ketika memegang tampuk pemerintahan.

“Beliau langsung tidak diberi peluang untuk menggunakan kuasanya dalam menjalankan usaha membaik pulih Mesir.

“Setiap usaha yang dijalankan pasti mendapat tentangan daripada pihak- pihak tidak bertanggungjawab. Memburukkan lagi keadaan apabila kelompok samseng ini mendapat sokongan daripada Barat,” ulas Walid.

Orang ramai yang ingin berjemaah bersama imam Palestin, boleh melihat jadual yang terdapat dalam laman web Aman Palestin, www.amanpalestin.net.

Selain itu, masjid atau surau yang berminat untuk mendapatkan khidmat imam ini sepanjang Ramadan, mereka boleh menghubungi cawangan Aman Palestin negeri yang terdapat di seluruh Malaysia.





Write a comment