Pada usia 11
tahun, Dr. Masyitah Musa sudah menunjukkan minat untuk menjadi hafizah Quran.
Perasaan itu muncul dalam dirinya lantaran melihat kesungguhan abangnya,
Muhammad Arif menghafaz kitab suci tersebut.
Muhammad Arif
yang berusia 14 tahun ketika itu, mengikuti pengajian tahfiz di sebuah sekolah
pondok di Kelantan.
Justeru,
Masyitah mula menyuarakan keinginan untuk berbuat demikian kepada kedua-dua ibu
bapanya. Namun, niat anak keempat daripada tujuh beradik itu pada awalnya
kurang dipersetujui si ayah.
Ini kerana
Masyitah merupakan anak perempuan dan ayahnya bimbang dia tidak dapat
menyesuaikan diri apabila dihantar ke sekolah pondok bersama abangnya kelak.
Tetapi, melihat semangat yang dipamerkan anak gadisnya, si ayah akhirnya akur.
"Saya
kemudian dihantar ke tempat abang belajar iaitu di Sekolah Maahad Tahfiz
Antarabangsa Al-Imam, Kubang Kerian, Kelantan. Saya berada di sana selama dua
tahun setengah. Pembelajaran hanya fokus kepada hafazan al-Quran sepenuhnya,
namun ada juga subjek teras disediakan.
"Walaupun
kemudahan asrama di sekolah tersebut kurang sempurna, namun saya tidak
mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri. Apa yang dihidangkan, saya makan
seadanya. Alhamdulillah, pada usia 13 tahun, saya berjaya menghafaz 30 juzuk
al-Quran," ujar Masyitah yang kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan
Siswazah di Hospital Melaka ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sebaik
menamatkan pengajian di tahfiz, Masyitah bercita-cita pula untuk menjadi
seorang doktor. Ini kerana beliau teruja selepas melihat isteri mudirnya di
sekolah itu juga seorang doktor.
Ingatan Lebih Kuat
Maka, pada usia
14 tahun, beliau mendaftar di sebuah sekolah swasta iaitu Sekolah Islam Aman di
daerah yang sama. Kesungguhannya belajar sendiri di samping mengikuti kelas
tuisyen membolehkan Masyitah memperoleh keputusan 7A, 2B dalam Penilaian
Menengah Rendah (PMR).
Begitu juga
ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Imtiaz
Dungun, Masyitah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A, 4B sekali gus
membolehkannya mengikuti pengajian di matrikulasi. Setahun kemudian, beliau
menyambung pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan, bidang yang
pernah diimpikan sewaktu awal remaja.
Bagaimanapun,
dalam kesibukannya belajar akademik, beliau tidak pernah lupa untuk mengulang
bacaan atau disebut murajaah antara satu ke dua juzuk setiap hari. Perkara itu
sentiasa dilakukan sehingga kini, walaupun kerjaya sebagai doktor dipenuhi
tekanan tersendiri.
"Bagi saya,
antara kelebihan menghafaz al-Quran ialah mampu menjadikan ingatan kita lebih
kuat. Maka, apabila kita belajar subjek akademik, ia menjadi lebih mudah untuk
dikuasai," kata Masyitah yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan
Shaiful Hisham Sharuddin, 31, pada Februari lalu.
Namun, pasangan
itu terpaksa hidup berjauhan kerana Shaiful Hisham bertugas sebagai pegawai
kewangan di Bank al-Bilad di Riyadh, Arab Saudi sejak lebih dua tahun lalu.
Ketika temu bual
ini dilakukan, kebetulan suami Masyitah berada di tanah air kerana pulang
bercuti. Apabila ditanya perasaan beristerikan seorang hafizah Quran, beliau
pantas menjawab: "Rasa bangga, tetapi dalam masa yang sama rasa tercabar
kerana kelebihan yang dimiliki isteri. Apa pun, saya bersyukur atas kurniaan
Allah pada isteri tersayang."
Rasa Syukur
Bagi wanita yang
telah mengandungkan Masyitah selama sembilan bulan 10 hari, tiada apa yang
mampu diungkapkan melainkan rasa syukur yang tidak putus-putus pada Ilahi
kerana mengizinkannya mengecapi nikmat tersebut.
Menurut Raja
Aishah Raja Adnan, 54, sebelum berkahwin lagi, beliau sudah pun memasang niat
untuk menjadikan anak-anaknya yang akan dilahirkan sebagai hafiz Quran.
"Subhanallah,
segala puji hanya bagi Allah. Tujuh zuriat lahir daripada rahim saya ini, empat
daripadanya iaitu dua lelaki dan dua perempuan berjaya menjadi hafiz dan
hafizah Quran. Ia merupakan satu anugerah Allah Yang Maha Besar kepada saya dan
suami.
"Niat saya
hanya satu, untuk menyelamatkan anak-anak daripada terjerumus dalam perkara
yang tidak baik. Ini kerana apabila kita sentiasa menerapkan anak-anak dengan
al-Quran, ia mampu membentuk peribadi dan akhlak mereka," tutur Raja
Aishah yang telah banyak berkorban dalam usaha menjadikan anak-anaknya hafiz
dan hafizah Quran.
Menurut
Masyitah, ibunya sanggup menetap di Kubang Kerian selama setahun bagi
memastikan keperluan mereka dua beradik sepanjang berada di tahfiz ketika itu
mencukupi.
Malah, ketika melihat
keadaan tandas dan lantai asrama yang agak kotor, Raja Aishah sanggup
mencucinya untuk keselesaan anak-anak dan rakan-rakan mereka.
"Tanpa
pengorbanan ibu dan ayah, mungkin saya dan adik-beradik yang lain tidak berada
di tempat sekarang. Bukan sahaja wang ringgit, tetapi masa dan tenaga juga
sanggup dikorbankan semata-mata untuk kejayaan kami," terang Masyitah
mengagumi ketabahan si ibu.
Ironinya,
al-Quran diturunkan sebagai pedoman buat seluruh umat Islam, namun bukan semua
orang mampu menghafaz kitab suci tersebut.
Manusia Pilihan
Perkara ini
diakui oleh Ustaz Muhammad Nasir Rustam al-Hafiz, 40, pengasas Madrasah Tahfiz
Tahsin al-Quran di Puchong, Selangor. Menurut beliau, mereka yang berjaya
menghafaz al-Quran hakikatnya tergolong sebagai manusia pilihan Allah.
Seperti sabda
Rasulullah SAW: 'Orang yang paling baik antara kalian adalah orang yang
mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.'
"Justeru,
nikmat tersebut perlu disyukuri para hafiz dan hafizah Quran. Di samping itu,
fadilat orang yang belajar dalam bidang tahfiz dan menghafaz al-Quran sangat
besar.
"Antaranya
ibu bapa yang hantar anak-anak belajar tahfiz, rezekinya akan dimurahkan Allah.
Kasih sayang Allah terserlah melalui hubungan keluarga yang baik.
"Di akhirat
kelak, Allah akan memakaikan mahkota untuk kedua-dua ibu bapa penghafaz Quran.
Paling utama mereka boleh memberi syafaat untuk menyelamatkan ahli keluarganya
pada hari timbangan amal di hadapan Tuhan Yang Satu," ungkap Muhammad
Nasir yang berjaya khatam menghafaz 30 juzuk Quran pada usia 12 tahun.
Write a comment
Catat Ulasan