ISTANBUL | Seorang pelajar Indonesia, Aswar Anas,
bukan sahaja mampu menjadi imam solat sunat tarawih di Turki, malah hafiz
al-Quran dari Jakarta ini ditawarkan menjadi imam tetap di masjid bandar
Kastamonu.
Portal berita tempatan Dream.co.id memetik laman
Persatuan Pelajar Indonesia Turki, melaporkan untuk menjadi imam di mana-mana
masjid di Turki bukan perkara mudah apatah lagi warga asing bukan berbangsa
Arab.
Tidak seperti di Indonesia, imam masjid di Turki
merupakan penjawat awam dan dibayar gaji oleh pemerintah bahkan jadual giliran
imam bertugas masjid di negara itu sudah ditentukan oleh pihak berkuasa
tempatan.
Seperti juga pelantikan kakitangan awam yang normal,
proses birokrasi ketat sehingga Aswar menjadi imam tarawih bukanlah mudah. Tambahan
pula remaja dari pulau Jawa ini merupakan seorang warga asing.
Perbezaan mazhab juga menjadi pertimbangan. Sekadar
maklumat, majoriti Muslim Turki menggunakan mazhab Hanafi, sedangan Aswar
bermazhab Syafi’i, iaitu aliran utama umat Islam di rantau Asia tenggara.
Namun pemuda kelahiran 31 Disember 1994 lalu ini
pada mulanya hanya diberi kesempatan untuk menjadi imam pengganti di Masjid
Haci Darende, yang terletak di Kastamonu tidak jauh dari tempat tinggalnya.
Bandar kecil yang hanya berpenduduk seramai 130,000
orang itu terletak sejauh 244 kilometer dari utara ibu kota Turki, Ankara dan
berjarak 536 kilometer dari timur bandar raya terbesar Turki, Istanbul.
Pemuda berusia 22 tahun ini dilaporkan sebagai
pelajar Indonesia yang kedua dalam sejarah dilantik secara rasmi sebagai imam
selepas Fitrah Alif Tama yang menjadi imam Rawatib di Lubnan awal bulan ini.
Hafiz al-Quran ini turut menjadi imam solat tarawih
di Masjid al-Khoirot dan Masjid Jinan, dua buah masjid utama di Tripoli, bandar
raya kedua terbesar di utara Lubnan selepas ibu kotanya sendiri, Beirut.
Berusia 19 tahun dan berasal dari Palembang,
Sumatera Selatan, Fitrah juga mengenakan pakaian khas tradisi Indonesia iaitu
peci hitam, baju koko dan sarung ketika memimpin ibadah solat berjemaah.
Duta Besar Indonesia ke Lubnan, Achmad Chozin
Chumaidy dilaporkan berkata, pemuda itu yang lebih mesra disapa sebagai Bang
Alif ialah lepasan Pondok Pesantren Darul Qur’an kelolaan Ustaz Yusuf Mansur.
Bercerita mengenai Aswar pula, uniknya untuk Ramadan
tahun ini, diberi kepercayaan untuk menjadi imam tarawih selama satu bulan
penuh. Sebelum itu, dia mendapat tawaran jawatan yang sama di tiga masjid
berbeza.
Aswar memilih tawaran pertama. Rupa-rupanya, jemaah
masjid itu memang menyukainya. Aswar bahkan ditawar untuk menjadi imam tetap
dan bukan lagi sebagai imam pengganti setelah selesai Ramadan kelak.
Hakikatnya Aswar mencetuskan fenomena apabila
benar-benar membuatkan warga Turki menggemari dirinya. Tidak sekadar hanya
menjadi imam masjid, dia bahkan ditawar bernikah dengan Muslimah Turki.
Langkah tersebut dibuat supaya Aswar dapat terus
menetap dan menjadi guru agama di Turki. Bagaimanapun dia hanya tertawa apabila
mendengar tawaran unik tersebut.
Sumber | Mynewshub
Sumber | Mynewshub
Write a comment
Catat Ulasan