Datuk Hassan
Azhari (lahir 18 Ogos 1928) adalah seorang rakyat Malaysia berketurunan Melayu
merupakan seorang pendidik terkenal dengan rancangan Muqaddam pada awal 1970-an
di saluran RTM. Beliau merupakan orang yang melaungkan azan semasa kemerdekaan
negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.
Kehidupan peribadi
Beliau
dilahirkan di kampung Syu’ib Amir di Mekah pada 18 Ogos 1928. Ayahnya bernama
Azhari Abdul Khaliq, tokoh agama terkenal di Selangor manakala ibunya ialah
Fatmah Abdul Hakim, berketurunan Arab Mesir al-Shanani dan Padang, Indonesia.
Keluarga
Beliau mempunyai
22 orang anak dari tiga orang isteri. 13 orang anak yang pertama hasil
perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad, yang meninggal
pada April 2004, Tiga orang anak lelaki yang pertama amat dikenali ramai iaitu
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas ADUN Hulu Klang, Dato' Fuad
Hassan kini Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas atau JASA Kementerian
Penerangan, dan pelakon terkenal Dato' Jalaluddin Hassan. Seorang lagi anaknya
dengan isterinya Maimunah Abd. Ghani, Mohammad Izzat Hassan megikuti jejak
langkah abangnya Musa di dalam bidang kepolisan.
Beliau
dikhabarkan sangat tegas dalam agama tetapi masih seorang bapa yang penyayang.
Pendidikan
Beliau
dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan
beragama. Beliau mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah. Di peringkat
rendah, mempelajari secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.
Antara guru
beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya
ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah)
Ketika berusia
lapan tahun, berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim
dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan. Di Malaya, beliau kemudiannya
melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta al-‘Ulum al-Diniyah di Kuala Langat,
Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah di Kampung Jawa,
Selangor. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama
dua tahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab. Antara gurunya ialah
Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih.
Kemudian, beliau
menyambung pengajian ke Maahad al-Ulum (kini Sekolah Agama Menengah
Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh sijil Rabi’ Thanawi. Bagi mendalami
pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan
Sheikh Ismail Tamim.
Beliau
kemudiannya mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama terkenal
antaranya Syed Mahmud Lutfi Amir. Guru-guru al-Quran yang lain ialah Sheikh Mahmud
al-Bukhari (riwayat Hafs), Sheikh Muhammad Abdul Samad, Dr. Ahmad Nuaina dan
Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’).
Pencapaian
Beliau telah
memberi sumbangan besar kepada negara dengan melaungkan azan semasa menyambut
kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Beliau turut
melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.
Beliau juga
merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah 2002, yang merupakan penghormatan
tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan
Islam di dalam negara.
Beliau juga
telah mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hinggalah 2000. Beliau
juga turut mengacarakan rancangan agama selama lapan tahun di TV1 yang bertajuk
Muqaddam pada 1970-an. Rancangan ini memberi pendedahan yang mudah untuk
membaca al-Quran daripada permulaan.
Pada 1997,
beliau mendapat Anugerah Khas Seri Angkasa kerana penglibatannya selama 40
tahun bersama RTM.
Hassan juga
merupakan hakim Pertandingan Tilawan al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam
negara. Hampir 46 tahun berkhidmat sebagai hakim, beliau juga menjadi hakim di
Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai, Brunei dan Thailand.
Hassan juga
pemenang tempat pertama Pertandingan Tilawan al-Quran yang diadakan di Malaya
pada 1947, anjuran UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) ketika itu.
© JAKIM
Write a comment
Catat Ulasan