Oleh ZUARIDA
MOHYIN dan MOHD. SHAH CHE AHMAD
MASIH segar
dalam ingatan bagaimana satu ketika dahulu pada waktu petang anak-anak kampung
akan berbondong-bondong ke rumah guru al-Quran. Ada juga yang pulang sahaja
dari sekolah di sebelah petang, terus capai al-Quran dan berlari-lari anak ke
rumah ustaz atau ke madrasah untuk mengaji. Pada waktu itu, ibu bapa berani
melepaskan anak-anak berjalan sendirian atau dalam kumpulan kecil untuk mengaji
al-Quran termasuk pada waktu malam.
Di
kampung-kampung yang belum ada bekalan elektrik pula, anak-anak terbabit dengan
bertemankan lampu suluh atau pelita ayan berulang-alik saban malam demi
mendapatkan ilmu al-Quran. Pada masa itu, tidak ada kebimbangan di kalangan ibu
bapa kalau-kalau anak mereka diculik atau diperlakukan dengan perkara tidak
elok.
Bagi kanak-kanak
pula, mereka lebih takut dimarahi ustaz atau tok guru walaupun kadang-kadang
terpaksa lari lintang pukang di kejar anjing atau bulu roma meremang bila
teringat kisah-kisah seram ketika pulang dari mengaji pada waktu malam. Seperkara
lagi, mengaji pada ketika itu, soal bayaran atau upah mengajar bukanlah topik
utama sangat. Ia terpulang kepada ibu bapa, padahal boleh dikatakan setiap hari
mengaji kecuali hari Jumaat.
Bila disingkap
pengalaman mengaji bagi generasi yang hidup lingkungan tahun 40-an pula. Lain
pula suasana mereka dan paling unik apabila upah yang dibayar ialah bukan dalam
bentuk wang ringgit tetapi dengan cara membantu ustaz mengaji melakukan
kerja-kerja seperti memenuhkan air di tempayan, mencarikan kayu api atau
melipat dan mengangkat kain di jemuran.
Hari ini
terdapat pelbagai kemudahan untuk belajar al-Quran. Ada yang boleh diperoleh
menerusi kelas-kelas pengajian al-Quran yang ditawarkan pelbagai pusat atau
masjid. Yang paling ketara sudah menjadi trend ketika ini di mana para guru
pula datang mencari murid. Ini ekoran trend mengupah ustaz atau ustazah
mengajar anak-anak mengaji di rumah semakin popular.
Pelbagai alasan
digunakan oleh ibu bapa untuk merasionalkan tindakan itu dan yang paling sering
ialah faktor keselamatan. Sebab itu, sudah menjadi perkara biasa sekarang
apabila guru-guru al-Quran bergerak di rumah ke rumah tanpa mengira hujan dan
panas dalam memberikan ilmu al-Quran kepada generasi muda Islam.
“Zaman kini
sudah berubah. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan masyarakat
terutamanya penghuni kota. Ramai yang sibuk bekerja sehari suntuk dan tiada
masa untuk mempelajari al-Quran.
“Lebih
menyedihkan jika individu tersebut telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.
Anak-anak ini yang mempunyai hak untuk mempelajari al-Quran tetapi terabai
kerana kesibukan ibu bapa,” kata Presiden Akademi Al-Jazari, Ahmad Arshad
Ezhar.
Oleh itu kata
Arshad, dengan adanya guru yang sanggup datang mengajar di rumah tiada alasan
lagi bagi mereka yang sibuk atau malu untuk pergi belajar al-Quran. Beliau yang
merupakan presiden akademi yang menawarkan perkhidmatan pengajian al-Quran ke
rumah menolak persepsi negatif orang ramai terhadap kewujudan sistem baru
tersebut malah meyakini ia memberikan hasil yang berkesan dalam masa singkat
dan pantas.
“Ada yang
menyatakan sistem ini seperti berorientasikan perniagaan dan ‘menjual agama’
untuk kepentingan diri semata-mata. Ada juga yang mendakwa ia hanya mengambil
kesempatan di sebalik kesusahan orang lain.
“Sebenarnya ia
hanyalah mentaliti orang yang tersalah tafsiran terhadap institusi agama. Jika
kita lihat, dalam institusi negara juga mempunyai seorang menteri penasihat
agama. Mengapa ia perlu ada, adakah ia juga dikatakan sebagai menjual agama.
“Ia sebenarnya adalah
satu perkhidmatan yang ditawarkan dalam usaha mendidik masyarakat untuk celik
al-Quran serta melahirkan pakar-pakar bertaraf dunia Islam.
“Tambahan lagi,
sistem ini membolehkan pengajar memberikan tunjuk ajar dan tumpuan secara terus
kepada pelajar tersebut.
“Pengajar juga
akan mengajar mengikut peringkat atau tahap yang sesuai dengan kebolehan
pelajar,” jelasnya Arshad. Tambahnya, setiap kesalahan dapat diperbaiki terus
oleh guru kepada pelajar tanpa merasai perasaan malu lagi.
Sumber:
Utusan
Malaysian. Jumaat. 6 Apr 2012.
Write a comment
Catat Ulasan