Oleh
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SURAH
ini termasuk dalam surah Makiyyah (سور المكية) dengan
ijmak. Ia terdiri daripada lima ayat dan diturunkan setelah surah al-Fath (سورة الفتح).
Hubungan
Surah Ini Dengan Surah Al-Nasr (سورة النصر)
Pada
surah terdahulu Allah SWT menerangkan bahawa ganjaran orang yang taat adalah
pertolongan dan kemenangan di dunia dan pahala yang sempurna di akhirat.
Di
dalam surah ini Allah SWT menerangkan akibat yang dideritai oleh pelaku maksiat
iaitu kerugian di dunia dan ancaman seksa di akhirat.
Sebab
Turunnya Surah Ini
Imam
al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a yang berkata: “Nabi SAW keluar
ke Bata’ lalu naik ke sebuah bukit seraya memanggil: Wahai kawan-kawan yang
dihormati, berkumpullah ke mari. Lalu orang Quraisy berkumpul mendekati
baginda.”
Kemudian
baginda berkata: “Apa pendapatmu sekiranya aku beritahu kepadamu bahawa musuh
akan menyerangmu pagi-pagi dan petang? Adakah kamu membenarkanku.” Mereka
menjawab: “Ya.”
Kemudian
Baginda bersabda: “Aku memberi khabar yang menakutkan kepada kamu akan seksa
yang keras.” Abu Lahab menjawab: “Hanya untuk keperluan ini engkau mengumpulkan
kami? Celaka engkau.”
صعد رسول
الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم الصفا فقال: "يا صباحاه"، فاجتمعت إليه
قريش فقالوا له: مالك؟ فقال: "أرأيتم لو أخبرتكم أن العدوّ مصبحكم أو ممسيكم أما
كنتم تصدقوني؟ " قالوا: بلى، قال: "فإني نذير لكم بين يدي عذاب شديد"،
فقال أبو لهب: تبا لك، ألهذا دعوتنا جمعيا؟! فأنـزل الله عز وجل: ( تَبَّتْ يَدَا أَبِي
لَهَبٍ وَتَبَّ ) إلى آخرها.
Dalam
satu riwayat Abu Lahab berdiri menggerak gerakan kedua-dua tangannya seraya
berkata: “Celaka engkau sepanjang masa, untuk inikah engkau mengumpulkan kami?”
Maka Allah SWT menurunkan surah ini.
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ
وَتَبَّ (١) مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ (٢)
Firman
Allah SWT: Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.
Berkenaan
perkataan tabbat, ada lima pendapat:
1. Kerugian
dan kehinaan, seperti pendapat Ibn Abbas.
2.
Sesat, sebagaimana pendapat Ata’.
3.
Binasa dan kematian, seperti pendapat Ibn Jubair.
4.
Kosong dari segala kebaikan sebagaimana pendapat Yaman bin Ri’ab.
5.
Kerugian dan kebankrapan. Inilah pendapat Qatadah.
Adapun
maksud kedua belah tangan Abu Lahab ada dua pendapat:
1.
Diri Abu Lahab itu sendiri.
2.
Segala amalan Abu Lahab.
Berkenaan
dengan kalimah watab (), ia memberi empat maksud:
1.
Sebagai penguat untuk yang pertama.
2.
Kedua belah tangan Abu Lahab binasa dengan tegahan Allah daripada menzalimi
Rasul-Nya.
3.
Yakni sebenarnya dia telah binasa seperti pendapat Ibn Abbas.
4.
Telah binasa anak Abu Lahab seperti pendapat Mujahid.
Sayid
Qutub berkata: “Maksudnya, Abu Lahab telah binasa. Harta dan segala usahanya
tidak dapat menolong dan menghalangnya daripada kebinasaan. Itulah balasan di
dunia, sedangkan balasan di akhirat kelak amat dahsyat.”
سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ
(٣) وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ
الْحَطَبِ (٤)
Firman
Allah SWT: Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dia kelak akan
menderita akibat bakaran panas api neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api
itu.
Kesimpulannya,
Abu Lahab dalam kerugian, amalnya sia-sia, usahanya yang ditempuh untuk
menentang agama Allah SWT menjadi gatal, harta yang dibanggakannya tidak dapat
menolongnya dan dia tidak dapat pula dapat menolong dirinya.
Ini
kerana Allah SWT mengangkat seruan Rasul-Nya, menyebarkan dakwahnya, menyiarkan
penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di hari kiamat dengan api yang
bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang keras, disediakan oleh Allah SWT
bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di dunia dengan pembatalan usahanya
dan tertolak amalnya.
Isterinya
yang membantu kekufuran dan keingkarannya itu akan diseksa bersamanya kerana
dia menjadi tangan kanan Abu Lahab dalam menyakiti dan menyeksa Rasulullah SAW.
Dia ke sana ke mari mengadu domba untuk membuat kerosakan, menyalakan api
permusuhan dan menimbulkan fitnah.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 8/7/2011.
Write a comment
Catat Ulasan