IBNU Nafis (ابن النفيس) atau nama sebenarnya Alauddin Abu Al-Ala Ali bin Abi Al-Haram Al-Qurasyi Al-Syafie Al-Misri (أبو الحسن علاء الدين علي بن أبي الحرم القَرشي الدمشقي) telah dilahirkan di Damsyik (دمشق), Syria pada tahun 607 H / 1210 M.
Beliau dibesarkan di Damsyik dan telah mempelajari ilmu kedoktoran daripada Al-Dahkwar (ابن الدخوار) dan Imran Al-Israili (عمران الإسائيلي).
Apabila usianya meningkat belia, beliau telah berhijrah ke Kaherah pada zaman Raja Al-Ayubi Al-Kamil (الأيوب الكامل) dan mula bekerja di situ sehingga dilantik menjadi ketua di Hospital Al-Mansuri (المستشفى الناصري). Beliau lebih dikenali dengan nama Ibnu Nafis.
Kehidupan Ibnu Nafis ‘istimewa’ kerana sepenuh waktunya beliau lebih mempelajari ilmu kedoktoran sehingga beliau tidak berkahwin.
Sebagaimana ulama-ulama yang lain, beliau tidak sahaja mempelajari bidang kedoktoran, bahkan mengkaji ilmu di dalam bidang mantik, falsafah, bahasa, ilmu bayan, hadis, dan usul fiqh.
Beliau juga merupakan tokoh yang begitu kognitif kerana keaslian dan kebebasan pemikirannya, serta kajiannya yang bersandarkan kepada pemerhatian, penelitian dan membuat uji kaji.
Di antara contoh eksperimennya adalah dengan menganalisis perjalanan darah di dalam tubuh badan.
Kajiannya begitu terperinci apabila beliau telah menemui peredaran darah ke paru-paru yang merupakan asas penemuan Harvey di dalam peredaran darah yang lain, iaitu tiga kurun selepas kematiannya.
Dalam bidang kedoktoran pula, beliau amat mementingkan sudut penganalisisan anggota luar dan faktor-faktor yang memberi akibat pada tubuh badan (asbab) berbanding mementingkan sudut rawatan.
Ini menjadikan beliau merupakan orang pertama yang menghasilkan karya dalam bidang usul ilmu kedoktoran.
Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang sangat tawaduk di dalam berilmu, malah selalu mengadakan perhimpunan bersama ulama-ulama dan ahli-ahli atau pakar kedoktoran di rumahnya.
Ibnu Nafis juga telah menghuraikan buku Tasrihu al Qanun (شرح تشريح القانون) karya Ibnu Sina (ابن السينا) yang mana di dalamnya terkandung penemuan beliau terhadap proses peredaran darah ke paru-paru. Beliau meneruskan usahanya menghuraikan karya ulama-ulama yang lain sehingga huraian tersebut disusun menjadi beberapa buku.
Kecintaan beliau terhadap ilmu juga telah membuatkannya mentafsir buku Al-Adawiyah (كتاب الأدوية) karya Hippocrate dan buku karya Galinous. Beliau kemudiannya menyusun buku Syarah Mufradatu al Qanun (شرح مفردات القانون), Tafsiru al-lal wa Asbabu al Amrad (تفسير العلل وأسباب الأمراض), Syarhu al Hidayah fi al Tib (شرح الهداية في الطب) dan Al Syamil fi al Tib (الشامل في الصناعة الطبية) yang menyentuh tentang keseluruhan penyakit mata.
Ibnu Nafis mengakhiri penulisannya dalam bidang kedoktoran dengan menulis ensiklopedia Al Syamil fi al Tib. Beliau juga telah bercadang untuk membukukan karya tersebut di dalam 300 jilid, tetapi hanya sempat menyiapkan sebanyak 80 jilid sahaja kerana meninggal dunia.
Antara karya beliau yang lain ialah dalam bidang falsafah buku Fadil bi Natiq (فاضل بن ناطق).
Di dalam laras agama pula, beliau menghasilkan buku Al Risalatu al Kamil fi al Sirah Al Nabawiyyah (الرسالة الكاملية) dan Mukhtasar Ilmi al Hadis (مختصر في علم أصول الحديث). Di dalam bidang bahasa, beliau menghasilkan buku Toriqu al Fasaha (طريق الفصاحة) dan bidang perundangan pula, beliau menghasilkan buku Syarah Kitabu al Tanbih ila Furui al Syafi’iyyah (شرح كتاب التنبيه إلى فروع الشافعية).
Ibnu Nafis meninggal dunia di Kaherah (القاهرة), Mesir pada 687 H / 1288 M.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 31/5/2011.
Write a comment
Catat Ulasan