KP Jakim Gesa Pelajar-Pelajar Baru Persijilan Jakim-UIAM Sesuaikan Diri Dengan Persekitaran al-Quran
Seramai 147 pelajar telah mendaftar untuk mengikuti Program Persijilan Tahfiz Jakim-UIAM, bagi sesi 2011/2012 di kampusnya di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 27 Disember lalu. Majlis Bacaan Iqrar dan Sambutan Pelajar Baru ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad Bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz; Ketua Pengarah JAKIM. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya ditawarkan ke Darul Quran.
Dalam ucapan perasmiannnya, beliau turut memberikan ucapan tahniah kepada para ibu bapa yang berjaya memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak, dan berjaya membentuk pemikiran mereka tentang peri penting mempelajari bidang agama terutama bidang hafazan al-Quran. Beliau turut menekankan tentang kepentingan menjaga akhlak dan adab-adab sebagai pelajar yang menjunjung al-Quran dalam kehidupan mereka. Selain daripada itu, beliau juga menyeru para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di Darul Quran di mana mereka harus memberi perhatian seratus peratus untuk menghafaz al-Quran sepanjang tempoh 18 bulan pengajian.
Terdahulu Pengarah Darul Quran; Tn. Hj. Paimuzi bin Yahya dalam ucapan aluannya merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar kerana berjaya menyambung pelajaran ke Darul Quran. Beliau turut menyeru kesemua pelajar agar dapat kekal menimba ilmu di Darul Quran dan tidak mensia-siakan peluang yang ada. Ini kerana sekiranya pelajar-pelajar meninggalkan Darul Quran kerana mendapat tawaran lain, ini pastinya akan menidakkan peluang orang lain untuk belajar di Darul Quran.
Majlis sambutan pelajar baru ini turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim; Tn. Hj Othman bin Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim; Tn. Hj Abd. Halid bin Sintol dan Timbalan Dekan, Pusat Asasi UIAM; YBhg Tn Hj Muhammad Suhaimi Bin Muhammad Sidek.
Sumber: JAKIM.
Write a comment
Catat Ulasan