Balasan Bagi Pengumpat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Surah al-Humazah (سورة الهمزة) mengandungi sembilan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah (سور المكية) dan diturunkan selepas surah al-Qiyamah (سورة القيامة). Walaupun begitu, ada pendapat menyatakan bahawa surah ini diturunkan di Madinah, justeru dinamakan Madaniyyah (سور المدنية).

Hubungan al-Humazah dengan surah al-Asr (سورة العصر)

Dalam surah al-Asr disebutkan bahawa semua manusia bergelumang dalam kesesatan kecuali orang yang dilindungi Allah SWT kemudian dalam surah ini Dia menyebut sifat-sifat orang yang sesat itu.

Ata’ (عطاء) dan al-Kalbi (الكلبي) mengatakan surah ini diturunkan berkenaan al-Akhnas Ibn Shariq (الأخنس بن شريق) yang selalu mengumpat manusia terutamanya tentang Nabi Muhammad SAW. Inilah pendapat Abu Soleh (أبو صالح) daripada Ibn Abbas (ابن عباس), al-Suddi (السدي) dan Ibn Asa’ib (ابن السائب).

Muqatil (مقاتل) mengatakan surah ini diturunkan tentang al-Walid Ibn Mughirah (الوليد بن المغيرة) yang selalu mengumpat Nabi Muhammad SAW ketika baginda tidak hadir dan mencelanya secara terang-terangan di hadapan baginda. Ini juga pendapat Ibn Juraij (ابن جريج).

Muhammad Ibn Ishaq (محمد بن إسحاق), penulis kitab Sirah berkata: “Kami selalu mendengar surah ini diturunkan berkenaan Umayyah Ibn Khalaf (أمية بن خلف).”

Ibn al-Jauzi (ابن الجوزي) menukilkan beberapa pendapat lain:

i. Ia diturunkan kepada al-‘As bin Wa’il al-Sahmi (العاص بن وائل السهمي). Inilah pendapat Urwah (عروة).

ii. Ia diturunkan kepada Jamil bin Amir (جميل بن أمير). Inilah pendapat Ibn Abi Nujaih (ابن أبي نجيح).

iii. Ia diturunkan kepada Ubay bin Khalaf (أبي بن خلف). Inilah pendapat al-Mawardi (الماوردي).

iv. Pendapat yang kedua bagi Mujahid (مجاهد): Ia diturunkan kepada umum tanpa tertentu kepada seseorang.

Firman Allah SWT: Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ (١)

Berkenaan perkataan humazah (همزة) dan lumazah (لمزة), adakah sama atau berlainan? Ada dua pendapat:

i. Bersamaan.

ii. Berlainan. Bagi yang berpendapat berlainan, ia menafsirkan seperti berikut:

(1) Humazah adalah mereka yang mencela dan lumazah adalah yang mengaibkan. Inilah pendapat Ibn Abbas (ابن عباس).

(2) Humazah adalah mereka yang mencela manusia di hadapannya, sedangkan lumazah pula ialah mencela manusia di belakangnya. Inilah pendapat al-Hasan (الحسن), Ata’ (عطاء) dan Abu al-‘Aliah (أبو العالية).

(3) Humazah adalah mereka yang memaki manusia, manakala lumazah pula mereka yang memaki keturunan manusia. Inilah pendapat Mujahid (مجاهد).

(4) Humazah adalah mereka yang mengejek dengan mata, sedangkan lumazah pula mengejek dengan lidah. Inilah pendapat Qatadah (قتادة).

(5) Humazah adalah mereka yang mengejek manusia dengan tangan dan memukulnya, sedangkan lumazah ialah mereka yang mengejek dengan lidahnya. Inilah pendapat Ibn Zaid (ابن زيد).

(6) Humazah adalah yang mengejek dengan lidahnya, sedangkan lumazah pula adalah mengejek dengan matanya. Inilah pendapat Sufyan al-Thauri (سفيان الثوري).

(7) Humazah adalah mereka yang menghina dan mengata orang, sedangkan lumazah adalah menghina secara berhadapan. Inilah pendapat Muqatil (مقاتل).

Al-Maraghi berkata (المراغي): “Kemurkaan dan seksaan Allah SWT kepada golongan yang mencerca manusia yang melanggar kehormatan mereka dan yang menyakitkan hati mereka sama ada ketika hadir atau tidak.”

Kemudian Allah SWT menyebutkan sebab Dia mencerca manusia menerusi firman-Nya. Firman Allah SWT: Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung.

الَّذِي جَمَعَ مَالا وَعَدَّدَهُ (٢)

Maksud himpunan di sini ada dua pendapat iaitu mengira bilangan dan menghitungnya yang merupakan pendapat al-Suddi (السدي). Yang kedua mengiranya bagi mencukupkan beberapa tahun. Ini pendapat Ikrimah (عكرمة).

Al-Maraghi berkata (المراغي): “Perkara yang mendorong mereka menjatuh dan menghinakan martabat manusia disebabkan pengumpulan mereka akan harta dan selalu menghitungnya kerana sukakannya dan berasa seronok menghitungnya.”

Pada pandangan mereka bahawa tidak ada kehormatan dan kemuliaan selain daripada itu sehingga setiap kali mereka melihat apa yang ada padanya, mereka mendakwa sebab yang demikian itulah mereka memperoleh kedudukan yang tinggi.

Mereka menghina orang yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang berada di bawahnya, dan tidak berasa takut jika mereka ditimpa bencana akibat umpatan dan cercaannya terhadap kehormatan manusia.

Ia lantaran perkara yang menipunya itu telah melupakannya akan kematian dan membutakan pula mata hatinya untuk memikirkan kesudahan perbuatannya dan merenungkan keadaan diri mereka. Kemudian Allah SWT menjelaskan dakwaan mereka yang salah ini menerusi firman-Nya.

Firman Allah SWT: Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengkekalkannya.

يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُ أَخْلَدَهُ (٣)

Al-Maraghi (المراغي) berkata: Pengumpat ini mendakwa harta yang ada pada dirinya akan dapat menjaminnya kekal di dunia dan memberi keselamatan daripada kematian. Sehingga dia beramal seperti beramalnya orang yang menyangka hidup kekal buat selama-lamanya dan tidak akan kembali kepada kehidupan lain yang di sana nanti akan menerima seksaan terhadap perbuatan buruk mereka.

Setelah Allah SWT mengancam orang yang bersifat seperti ini dengan ancaman seksaan yang keras dan menyatakan sebab yang mendorong orang itu melakukan tindak tanduk yang dibenci iaitu dakwaan mereka bahawa harta itu dapat menjamin keselamatan mereka daripada kematian, Dia mengakhirkan dengan menjelaskan seksaan yang telah disediakan untuk mereka.

Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.

كَلا لَيُنْبَذَنَّ فِي الْحُطَمَةِ (٤)

Hamka berkata: Pekerjaan mengumpulkan harta benda yang disangkanya itu akan dapat memelihara dirinya dari sakit, tua, mati atau pun azab seksa neraka tidaklah benar, bahkan ia akan dicampakkan ke dalam Huthamah (حطمة).

Ini kerana dia bukan seorang yang boleh dihargai. Dia mengumpulkan dan menghitung harta, namun dia mencela dan menghina dan memburukkan orang lain, mengumpat dan mengeji. Balasan kepadanya neraka dan nama lain baginya Hutamah.

Firman Allah SWT: Dan tahukah kamu apa Hutamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan. Yang (membakar) sampai ke hati.

وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحُطَمَةُ (٥) نَارُ اللَّهِ الْمُوقَدَةُ (٦) الَّتِي تَطَّلِعُ عَلَى الأفْئِدَةِ (٧)

Sayid Qutub (سيد قطب) dalam Fi Zilal al-Quran (في ظلال القرآن) berkata: Satu gambaran yang mengerikan bagaimana api itu membakar hati yang menjadi sumber melahirkan umpat keji, persendaan, sombong dan takbur. Untuk menyempurnakan gambaran keazaban manusia yang terbuang itu, api neraka ditutupkan ke atasnya.

Tiada siapa yang dapat menyelamatkannya, diikat dan ditambat pada tiang-tiang yang panjang seperti binatang.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka.

إِنَّهَا عَلَيْهِمْ مُؤْصَدَةٌ (٨)

Al-Mawardi (الماوردي) menyebut lima pendapat:

i. Iaitu dihukum dengan diikat pada kayu yang memanjang. Inilah pendapat Ibn Mas’ud (ابن مسعود).

ii. Diazab padanya dengan palang kayu yang tajam sebagaimana pendapat Qatadah (قتادة).

iii. Tiang yang memanjang yang dibelenggu pada leher mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas (ابن عباس).

iv. Ia adalah rantai pada kaki mereka sebagaimana pendapat Abu Soleh (أبو صالح).

v. Maknanya tempoh masa yang panjang. Inilah pendapat Abu Fatimah (أبو فاطمة).

Al-Maraghi (المراغي) berkata: Api itu ditutupkan kepada mereka sehingga tidak dapat keluar dan tidak mampu untuk keluar. Setiap kali mereka ingin keluar mereka dikembalikan semula ke dalamnya (api neraka).

Tidak ada pintu yang dibukakan kepada mereka, tidak pula dimasukkan roh kepada mereka. Ini menggambarkan betapa kuatnya penutupan api itu kepada mereka, di samping menambahkan kehangatan api itu sehingga hati mereka putus asa untuk melepaskan diri daripada seksaan tersebut.

Kita wajib beriman kepada perkara itu dan tidak perlu mengkaji tentang tiang-tiang itu adakah ia dibuat daripada api atau besi.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 20/5/2011.

Write a comment