KUBANG PASU |
Pelajar Madrasah Tahfiz Taufiqillah di Kampung Lembah Arang, di sini bukan
sahaja mampu menghafaz Al-Quran, malahan mahir dalam penternakan lebah kelulut
untuk penghasilan madu di madrasah berkenaan.
Pengetuanya,
Auzaid Ismail berkata, ia membabitkan pelajar lelaki seramai 31 orang dan
pelajar perempuan 11 orang yang berusia tujuh hingga 20 tahun , sekaligus
menyumbang kepada sumber pendapatan madrasah untuk menampung kos operasi yang
meningkat.
“Sarang kelulut
kami beli dari orang kampung yang mencari di hutan dan pelajar inilah yang akan
membantu membuat kotak untuk lebah kelulut membina sarang, menyedut madu yang
dihasilkan dan membotolkan madu dengan label sebelum ia dipasarkan hingga ke
Lembah Klang.
“Ia menjadi
salah satu pengajian sampingan kepada pelajar agar mereka tahu selok-belok
penternakan sebelum mengusahakan sendiri nanti sambil membuat kerja dakwah di
tempat masing-masing nanti,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Auzaid berkata,
beliau tidak menyangka projek yang diusahakan hanya ‘suka-suka’ pada awalnya,
mampu menjadi sumber pendapatan utama madrasah selain sumbangan orang ramai dan
duit derma bagi menampung kos operasi.
“Pada musim
bunga hasil mencecah 100 kilogram dengan nilai jualan sebanyak RM24,000
sebulan, dengan ini dapatlah menampung bil elektrik dan air serta perbelanjaan
pengurusan madrasah kerana kebanyakkan pelajar di sini diberi pendidikan
percuma kerana terdiri daripada mualaf, anak yatim dan fakir miskin,” katanya.
Katanya, projek
ini turut mendapat sokongan dan bimbingan dari seorang pensyarah di Politeknik
Sultan Abdul Halim (POLIMAS) di sini yang mengajar teknik-teknik penjagaan
sarang kelulut yang betul agar dapat menghasilkan madu yang banyak.
Auzaid yakin,
projeknya ini akan terus berkembang dan berharap akan menjadi projek kelulut
yang dilawati kerana berada di lereng-lereng bukit yang kelihatan menarik.
“Saya sedang
membina sebuah galeri untuk menyimpan dan menjual madu yang dijangka siap tahun
depan, dengan adanya galeri itu akan melengkapkan lagi projek ini dan boleh
menjadi tumpuan pengunjung suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu,
seorang pelajar, Mohd Syarhan Mohd Tahir, 16 berkata, beliau bersyukur kerana
menjadi salah seorang pelajar yang diberi kepercayaan untuk menyedut madu
kelulut sebelum dibotolkan dan dijual.
“Rasa beruntung
kerana selain dapat menghafaz 30 juzuk Al-Quran, saya juga dapat mempelajari
ilmu keusahawanan yang menjadi nilai tambah kepada saya dan pelajar lain,
selain itu kami juga diajar cara membuat sabun mandian, pencuci muka berasaskan
madu kelulut,” katanya. – BERNAMA
Write a comment
Catat Ulasan