YBhg Tan Sri
Dato’ Seri (DR) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria
Pengerusi,
Lembaga
Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran,
Kementerian
Dalam Negeri.
Assalamualaikum
W.B.T. YBhg Tan Sri Dato’ Seri (DR),
KEMPEN LET’S
READ THE QURAN 2016
Dengan
hormatnya, kami merujuk kepada kenyataan media bertarikh 3 Mac 2016 bertajuk
“Larangan Penerbitan Teks Al-Quran dalam Bahasa Lain Selain daripada Bahasa
Arab” yang telah dimuat naik di laman web Kementerian Dalam Negeri.
2. Pertama
sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas nasihat pihak Tan Sri
Harussani Zakaria berkenaan kempen Let’s Read The Quran (LRTQ) 2016. Kami ingin
mengambil peluang ini untuk menerangkan mengenai kempen LRTQ. Kempen ini telah
pertama kalinya diadakan pada tahun 2009 dan telah menerima sambutan baik warga
Muslim dan juga bukan Muslim. Pada tahun ini, kami ingin membawa kempen ini
pada tahap yang lebih luas dan menyebarkan mesej dan ajaran Al-Quran kepada
lebih ramai lagi bukan hanya di Malaysia, bahkan ke luar negara.
3. Kami
bersetuju dengan pandangan pihak Lembaga bahawa Al-Quran yang telah
diterjemahkan dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan mereka yang tidak memahami
Bahasa Arab memahami makna Al-Quran, namun terjemahan tersebut bukan merupakan
naskhah Al-Quran tetapi merupakan “terjemahan Al-Quran” atau “tafsir Al-Quran”
sahaja. Sebagai contoh, pihak kami ingin berkongsi petikan artikel (yang telah
diterjemahkan ke Bahasa Malaysia) daripada bab ke-2 kisah cereka ‘The Righteous
Mufti’ yang telah kami terbitkan di laman blog kempen LRTQ. Dalam tulisan
fiksyen tersebut, watak Ustaz Din menasihatkan watak Manfi seorang pemuda,
“Ya, adalah
wajib untuk kita membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab. Walau bagaimanapun,
penting juga untuk kita memahami Al-Quran dalam bahasa yang kita kuasai agar
kita mampu untuk mengamalkan dan mengaplikasikan ajaran-ajaran Al-Quran.”
(Untuk membaca kisah ini secara penuh, sila layari
http://letsreadthequranlrtq.blogspot.my.
Pendirian ini
adalah bertepatan dengan kenyataan Tan Sri di akhbar The Malay Mail pada 20
Februari iaitu “Jika anda membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab, anda telah pun
mendapat pahala. Jika anda membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab dan memahaminya,
anda akan mendapat ganjaran yang lebih besar. Dan jika kita membacanya dalam
Bahasa Arab, memahaminya, dan mengamalkan ajarannya, itulah ganjaran yang
terbesar.”
4. Objektif kami
adalah untuk menggalakkan lebih ramai untuk memahami Al-Quran dalam bahasa
mereka sendiri, supaya mesej Al-Quran disebarkan secara meluas dengan lebih
efektif. Pendekatan ini telah mendapat sambutan bukan hanya oleh kaum Muslim,
tetapi juga kaum bukan Muslim. Ramai di antara rakan-rakan saya dan para
pembaca yang bukan beragama Islam telah memberi maklum balas bahawa mereka
tertarik dengan mesej-mesej universal dan murni Al-Quran sejak kempen ini
diadakan.
5. Kami amat
gembira bahawa bukan sahaja kaum Islam yang menyuarakan sokongan terhadap
kempen ini, tetapi juga kaum bukan Islam. Sebagai contohnya, perkongsian poster
kami telah mendapat sokongan pemimpin Islam seperti Senator Datuk Dr Asyraf
Wajdi Dusuki dan Tun Dr Siti Hasmah dan juga pemimpin bukan Islam seperti
Archbishop Julian Leow dan Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana
yang turut berkongsi ayat-ayat Al-Quran pilihan mereka.
6. Untuk
memudahkan orang awam menyertai kempen ini, kami juga memuat naik buku
elektronik, Share The Quran yang diterbitkan dalam empat terjemahan iaitu
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin bersama
ayat-ayat asal dalam Bahasa Arab. Buku elektronik ini boleh di muat turun di
pautan berikut: https://issuu.com/juste-books/docs/share_the_quran_/1?e=05.
7. Kami
berpendapat bahawa kempen ini adalah suatu usaha murni yang ingin mendekatkan
masyarakat kepada mesej universal al-Quran. Kami berharap ia tidak akan
dihentikan dan mengalu-alukan sebarang nasihat serta cadangan bagaimana untuk
mara ke hadapan dengan garis panduan daripada Jakim dan Kementerian Dalam
Negeri.
8. Saya berbesar
hati untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan cara terbaik untuk meneruskan
kempen ini selari dengan garis panduan dari pihak Tan Sri dan pihak Lembaga
Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran.
* Tulisan ini
pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan
pandangan Malay Mail Online.
Write a comment
Catat Ulasan