KUALA LUMPUR |
Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam
Negeri (KDN) melarang aktiviti menulis dan membaca Al-Quran dalam bahasa lain
selain daripada bahasa Arab.
Pengerusinya,
Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T dalam
bahasa Arab dan bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran maka Al-Quran tidak boleh
ditulis dalam bahasa lain kecuali tafsirannya.
Sehubungan itu,
katanya, LPPPQ memandang serius ke atas kempen “Lets Read The Quran” yang
sedang digerakkan pihak tertentu di negara ini bagi menulis dan membaca
Al-Quran dalam bahasa selain bahasa Arab.
“Al-Quran ada
kaedah pembacaannya dengan bertajwid, bertarannum dan makhraj yang betul,
Al-Quran yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan mereka
yang tidak memahami bahasa Arab memahami makna Al-Quran.
“Namun,
terjemahan tersebut bukan merupakan naskah Al-Quran, tetapi merupakan
terjemahan Al-Quran atau tafsiran Al-Quran.
“Namun begitu,
terjemahan Al-Quran hendaklah bersama-sama dengan teks Al-Quran dalam bahasa
Arab, terjemahan naskah Al-Quran tanpa teks bahasa Arab dilarang dan ditakuti
disalah fahami dan membacanya tidak mendapat pahala,” katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
Harussani dalam
pada itu menegaskan, Al-Quran adalah kalam Allah dan membacanya akan diberikan
ganjaran pahala oleh Allah S.W.T walaupun tidak mengetahui maknanya.
Menurutnya,
Al-Quran kitab suci yang mempunyai hukum tertentu apabila berkait dengannya dan
Al-Quran haram disentuh melainkan dalam keadaan berwuduk selain dilarang
membacanya dalam keadaan berhadas besar.
“Ini adalah cara
memuliakan Al-Quran sebagai kalam Allah,” tegas beliau yang juga merupakan
Mufti Perak.
Justeru, kata
beliau, menulis dan membaca naskah Al-Quran dalam bahasa lain selain daripada
bahasa Arab adalah dilarang sama sekali.
Kata Harussani,
penulisan Al-Quran dalam bahasa lain tanpa ada teks bahasa Arab tidak boleh
dianggap sebagai Al-Quran.
“Perbuatan ini
boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran
(APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984.
“LPPPQ
bersama-sama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri di seluruh Malaysia akan
mengambil tidakan tegas bagi menyekat gerakan dan kempen berkenaan,” katanya.
Sumber: Mynewshub
Sumber: Mynewshub
Write a comment
Catat Ulasan