Selangor Ungguli Majlis Menghafaz Al-Quran Kebangsaan

IPOH 20 Feb. | Peserta dari Selangor muncul pemenang bagi ketiga-tiga kategori lelaki (hafiz) sempena majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-37 di sini malam ini. Mereka ialah Mohamad Omar Mansu untuk kategori satu hingga 30 juzuk, Syazri Muhammad Husni Mohd. Sharoni (satu hingga 20 juzuk) dan Ahmad Aidil Luqman Nor Ismail bagi kategori satu hingga 10 juzuk.

Bagi peserta wanita (hafizah) pula, Farihah Zulkifli yang mewakili Wilayah Persekutuan mengungguli kategori satu hingga 30 juzuk manakala Putri Aminah Mohd. Hanif dari Kelantan (satu hingga 20 juzuk) dan peserta Selangor, Fakhira Izzah Fahmi (satu hingga 10 juzuk). Farihah merupakan johan bertahan pertandingan sama tahun lalu.

Kesemua mereka membawa pulang hadiah wang tunai antara RM4,000 hingga RM10,000, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan. Mohd. Omar dan Farihah turut menerima pakej menunaikan fardu haji sementara Syazri Muhammad Husni dan Putri Aminah pakej menunaikan umrah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Sebanyak 78 peserta dari seluruh negara menyertai majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 40 peserta merupakan hafiz manakala 38 lagi adalah hafizah yang berumur antara tujuh hingga 25 tahun.


Sumber: Utusan

Write a comment