PUTRAJAYA |
Kompleks Nasyrul Quran bakal menjadi pusat pengeluaran al-Quran kedua terbesar
di dunia apabila ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2016.
Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kompleks itu dilihat sebagai usaha kerajaan
dalam meningkatkan syiar Islam di negara ini.
"Bagi
tujuan ini, kerajaan telah bersetuju untuk memperuntukkan dana sebanyak RM30
juta.
"Kita harap
agar Kompleks Nasyrul Quran ini dapat mencetak sejuta naskah al-Quran sehingga
tiga juta naskah setahun untuk diedarkan ke seluruh dunia. Ini menunjukkan
bahawa kerajaan turut memberi penekanan dalam meningkatkan kefahaman al-Quran.
"Bagaimana
untuk kita memanfaatkan pusat ini, bukan sekadar ianya pusat untuk mencetak
semata-mata, namun ia juga seharusnya berperanan melatih dan mendidik
masyarakat Islam membaca dan memahami al-Quran dengan lebih mendalam, maka
inilah yang seharusnya difikirkan oleh pengurusan kompleks ini kelak,"
ujar Najib ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Tapak Kompleks Nasyrul Quran
dan Pelancaran Tabung Dana Wakaf Kertas di Presint 14 di sini hari ini.
Pada majlis
sama, Najib turut mengagihkan peruntukan RM25 juta kepada 116 sekolah pondok
berdaftar di seluruh negara.
Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga menjadi penyumbang dana sebanyak RM30
juta bagi projek ini terutama untuk pembelian mesin cetak yang sesuai dan
terbaik pada ketika ini.
Selain MAIWP,
Perbadanan Putrajaya turut mewakafkan sebidang tanah seluas 5.2 ekar bagi
pembangunan projek tersebut.
Pusat percetakan
Mushaf bersepadu utama di rantau Asia Tenggara ini bukan sahaja sebagai pusat
penyebaran al-Quran malah meliputi penyelidikan, percetakan, pentafsiran,
penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan seterusnya pengagihan
al-Quran.
Malah, pusat ini
juga akan menjadi tempat tumpuan penggiat dan penggemar seni khat dari dalam
dan luar negara.
Perancangan
pembangunan keseluruhan projek ini dijangka akan disiapkan dalam masa satu
setengh tahun dan dibahagikan kepada dua fasa.
Fasa pertama
meliputi kawasan kilang dan tempat mesin dan jentera percetakan yang akan
disiapkan dalam masa 6 hingga 8 bulan dan pembangunan selainnya seperti galeri
pameran, tempat latihan kemahiran, ruang tinjau tinjau percetakan, pejabat
pentadbiran dan beberapa lagi fasiliti lain akan disipakan sebelum penghujung
2016.
Sumber: Astro Awani
Sumber: Astro Awani
Write a comment
Catat Ulasan