TASHKENT 7 Mei |
Malaysia menghargai dan melahirkan rasa bangga serta berterima kasih kepada
kerajaan Uzbekistan kerana menjaga dan memelihara dengan baik naskhah manuskrip
asal kitab suci al-Quran milik Saidina Uthman bin Affan di Kompleks Imam
Hazrati di sini.
Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee
Abdul Rahman meluangkan masa lebih sejam melawat kompleks yang merangkumi
masjid, muzium dan madrasah yang dijadikan pusat kraf tangan itu semalam.
Rombongan Timbalan
Perdana Menteri yang diiringi Duta Malaysia ke Uzbekistan, Abd. Aziz Harun
disambut dan diberi penerangan tentang artifak termasuk manuskrip milik
khalifah Islam ketiga itu oleh Ketua Lembaga Muslim Antarabangsa Uzbekistan,
Mohammad Akhmal Khan Shakirav.
Muhyiddin dalam
catatan tulisan Jawi dalam buku pelawat menyatakan: "Saya kagum dengan
sejarah al-Quran yang pertama di dunia ini (di Uzbekistan)... mudah-mudahan
mukjizat al-Quran ini akan terus menguatkan semangat juang umat Islam untuk
meningkatkan syiar Islam di seluruh dunia. Terima kasih kerajaan
Uzbekistan."
Kitab suci
al-Quran setebal 338 muka surat itu hanya tinggal satu pertiga daripada naskhah
asalnya.
Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO)
turut mengesahkan bahawa kitab suci itu milik Saidina Uthman termasuk bukti
darah khalifah itu terdapat di al-Quran tersebut setelah beliau dibunuh semasa
sedang membacanya.
Berdasarkan
sumber, naskhah al-Quran itu dibawa dari Transoksiana di Kota Basra, Iran oleh
Amir Timur pada kurun ke-14.
Pada malamnya,
Timbalan Perdana Menteri dan isteri turut diraikan dalam majlis makan malam
bersama warga Malaysia di Uzbekistan.
Sumber: Utusan Melayu
Write a comment
Catat Ulasan