Tahfiz Untuk Warga Emas

Sinonim dengan pusat pengajian dan hafalan al-Quran, penubuhan maahad tahfiz yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat masa kini turut dikenali sebagai pusat pembelajaran ilmu agama kepada golongan muda dan kanak-kanak. Ia dalam usaha melatih serta melahirkan lebih ramai generasi al-Quran bagi meneraju kepimpinan negara berkonsep pemeritahan berlandaskan al-Quran dan sunah pada masa akan datang.

Namun, penubuhan pusat Tahfiz Darul Quran Nurul Hasanah (TDQNH) tidak hanya memfokuskan kepada golongan muda sahaja. Maahad tahfiz yang terletak di Kampung Belimbing, Kuala Selangor itu turut membuka peluang kepada golongan berusia mempelajari dan menghafal al-Quran dengan menubuhkan Pondok Nurul Hasanah.

Pengetuanya, Yusri Abdul Karim berkata, langkah itu adalah bagi memanfaatkan masa golongan warga emas itu dengan pelbagai pengisian keagamaan serta pembelajaran al-Quran di samping mempraktikkan kehidupan Islam sebenar.

“Ramai dalam kalangan warga emas dan golongan selepas pencen terutama di kawasan Lembah Klang ini yang ingin mendalami agama Islam, malangnya mereka tidak mempunyai tempat untuk memenuhi hajat tersebut.

“Jika ada sekalipun sekadar ibadah asas seperti menunaikan solat dan mengukuti kuliah atau pengajian agama tanpa pengkhususan kepada mereka.

“Sedar kepada permintaan itu, kita mengambil inisiatif menyediakan satu ruang bagi mendedahkan kepada warga emas ini cara-cara untuk beribadat dengan sempurna berlandaskan ilmu yang dipelajari, bukan sekadar ikut-ikutan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berkonsepkan pengajian sepanjang hayat, penghuni tambahnya, akan didedahkan dengan pengisian ilmu al-Quran, hafalan dan juga pengajian kitab turath (kitab pengajian Islam lama) dan juga fardu ain.

“Dengan berada di sini, penghuni dapat menumpukan seluruh masa untuk menuntut ilmu dan beribadah, lebih-lebih lagi mempunyai rakan-rakan seusia. Penghuni akan tinggal di sini dan mengikuti setiap kelas yang dianjurkan," katanya.

Berkongsikan penubuhannya, Yusri berkata, penubuhan tahfiz warga emas itu merupakan kaedah untuk didedikasikan kepada kedua ibu bapanya.

“Penubuhan tahfiz bagi warga emas ini merupakan salah satu cara untuk saya membalas jasa ibu bapa saya yang telah berkorban mendidik saya sejak kecil. Justeru, melalui khidmat kepada warga emas ini merupakan bakti saya kepada ibu bapa saya juga," luahnya.

Bagaimanapun katanya, tidak menyingkirkan konsep asal penubuhannya pada 1996, TDQNH yang ditubuhkan bagi sebagai pusat pendidikan berorientasikan keagamaan tanpa mengabaikan aliran akademik masih diteruskan.

“Pondok Nurul Hasanah ditubuhkan pada 2012 hasil daripada pendapatan yang diperoleh melalui sumbangan orang ramai dan infak harta daripada penubuhan TDQNH.

“Walaupun mengusahakan pusat tahfiz bagi golongan warga emas itu, kita tetap mengekalkan TDQNH yang kini mempunyai seramai 70 pelajar berusia sembilan hingga 13 tahun.

“Ia bagi melahirkan generasi hufaz profesional yang dalam masa sama tidak meninggalkan pembelajaran akademik seperti sekolah lain," katanya.

Menubuhkan resort

Tidak terhad sebagai pondok dan pusat tahfiz, rumah penginapan penghuni yang dibina dengan kemudahan yang lengkap turut menawarkan khidmat ala resort dan pelbagai program yang boleh dianjurkan di maahad tersebut.

Yusri berkata, ia bagi mengimarahkan kawasan tersebut dengan pelbagai aktiviti keagamaan di samping mempelbagaikan fungsi tahfiz bukan sekadar pusat pengajian al-Quran ketika tiada penghuni.

Bagaimanapun tambahnya, prasarana lengkap resort itu masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei ini.

“Kita turut mensasarkan untuk menjadikan pondok Nurul Hasanah ini sebagai resort untuk kegunaan mana-mana agensi, institusi mahupun pertubuhan yang ingin mengadakan program.

“Boleh menampung seramai 50 orang dalam satu masa, Pondok Nurul Hasanah turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan seminar dan juga kolam renang yang kini sedang dalam pembinaan.

“Di samping itu, kita juga mempunyai kuda sebanyak 12 ekor yang membolehkan peserta yang hadir ke sini untuk mencuba dan belajar menunggang kuda," katanya.

Usaha itu katanya, merupakan hasil bakti sumbangan orang ramai kepada TDQNH untuk dimanfaatkan kembali bagi kegunaan masyarakat.

“Penubuhan resort ini adalah merupakan hasil bakti yang disumbangkan oleh orang ramai samaada melalui sumbangan terus mahupun pembelian produk yang dikeluarkan oleh maahad. Ia bagi disumbangkan kembali sebagai manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat," ujarnya.

Ulasan

(1)

Catat Ulasan