Putrajaya | Kementerian
Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 berikutan
terdapat banyak kesalahan dilakukan pihak tertentu dalam percetakan, pempameran
dan penyalahgunaan ayat al-Quran.
Menterinya,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pindaan akta itu dijangka
dibentangkan di Parlimen tahun ini selepas selesai perbincangan bersama Majlis
Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain mendapat
perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.
Seleweng akidah
“Antara pindaan
nanti termasuk penyalahgunaan ayat al-Quran sebagai azimat dan mempamerkannya,
terutama di kedai, untuk tujuan melariskan jualan. Ini tidak termasuk dalam
sebarang akta dan dikhuatiri boleh menyelewengkan akidah.
“KDN akan
berbincang lanjut mengenai perkara ini bersama semua Majlis Agama Islam Negeri
kerana hal berkaitan agama di bawah bidang kuasa setiap negeri serta JAKIM dan
dipersembahkan untuk diperkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum
dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya pada sidang media, di sini,
semalam.
Terdahulu, Ahmad
Zahid menyertai Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Ahli Lembaga
Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) serta Ahli Lajnah Tashih
al-Quran (LTAQ). Hadir sama, Pengerusi LPPPQ, Tan Sri Harussani Zakaria.
Ahmad Zahid
berkata, berdasarkan akta yang dibentang dan diwartakan pada 1986 itu, adalah
tidak salah untuk mempamerkan ayat al-Quran, namun ia mesti diletakkan di
tempat yang sesuai, bersih dan tidak disalahgunakan.
“Kita turut
mempertimbangkan dari segi menaikkan denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara
tidak lebih lima tahun berbanding denda RM500 dan penjara sehari yang dikenakan
sebelum ini. Ini bagi disesuaikan mengikut peredaran zaman,” katanya.
Mengulas lanjut,
Harussani yang juga Mufti Perak, berkata adalah satu penghinaan jika ayat
al-Quran diletakkan di tempat tidak baik.
Ayat di kedai kotor
“Ada kedai makan
yang letakkan ayat Seribu Dinar, sedangkan kedai itu kotor. Kalau keadaan kedai
kotor, makanan tidak terjaga, itu satu penghinaan (bila meletakkan ayat
al-Quran).
“Ada juga kes
yang mana orang bukan Islam turut menjual ayat al-Quran. Malah, ada segelintir
yang meletakkannya di atas lantai selain ayat turut diletakkan di kedai menjual
arak. Ayat al-Quran bukan untuk azimat dan juga bukan untuk perhiasan tapi
sebagai panduan,” katanya.
Selain itu,
Ahmad Zahid berkata dalam pertemuan sama, pihaknya turut membincangkan soal
memperkukuhkan akta dan perkara yang termasuk dalam penyalahgunaan hadis
bertujuan memerangi kumpulan anti- hadis, menangani hadis palsu atau rekaan
serta salah tafsir dalam tafsiran makna hadis.
Sementara itu
ditanya mengenai pandangan Harussani supaya mengkaji penyalahgunaan ayat
al-Quran dan hadis oleh penceramah politik yang bertujuan memecah-belahkan
ummah, beliau berkata, ayat al-Quran dan hadis tidak sepatutnya dijadikan modal
untuk tujuan salah.
“Ayat al-Quran
seharusnya digunakan untuk kebaikan, tapi bila ayat ditafsirkan untuk
menyebabkan perpecahan, pergaduhan dan perkelahian, itu yang salah.
“Biarpun perkara
ini belum dimasukkan dalam akta, Tan Sri (Harussani) ada memaklumkan
kemungkinan suatu ketika nanti ia perlu dimasukkan dalam akta supaya al-Quran
tidak digunakan untuk tujuan memecah-belahkan ummah,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sumber: Berita Harian
Write a comment
Catat Ulasan