Nota Ringkas Penyebaran Qiraat

Peringkat Pertama | Penyebaran Qiraat di Zaman Nabi SAW


1. Jibril a.s sumber utama dimana Rasulullah SAW mengambil darinya. Setelah itu Rasulullah SAW menjadi guru pertama mengajar ilmu qiraat. Segala kemusykilan bacaan Quran waktu itu terus dirujuk kepada Rasulullah SAW.

2. Para Sahabat belajar samada dengan perintah Rasulullah atau inisiatif sendiri.

3. Muncul beberapa Sahabat r.a menuntut khusus ilmu qiraat kerana seramai 70 orang Sahabat mati syahid dalam Perang Bir Maunah. Sahabat r.a tersebut ialah:

Abu Bakar, Uthman, Ali Abi Talib, Ubai bin Kaab, Abdullah bin Mas’ud, Zaid bin Harithah, Abu Musa al-Asyari dan Abu Darda’.

4. Daripada merekalah Quran sampai kepada kita. Kebanyakkan sanad Quran bersumber kepada nama Sahabat di atas sebelum sampai kepada Rasulullah SAW.

Peringkat Kedua | Qiraat di Zaman Sahabat r.a


1. Rasulullah SAW telah wafat. Ini menyebabkan sumber utama tiada maka sumber yang ada sekarang ialah para Sahabat r.a.

2. Peringkat ini muncul Tabiin belajar qiraat dengan para Sahabat r.a.

3. Musuh Islam mula menyerang dengan menimbulkan kepelbagaian bacaan qiraat seiring dengan peluasan wilayah jajahan kerajaan Islam.

4. Pada zaman Uthman tahun 30H, beliau telah mengarah Mashaf Rujukan dikirim ke wilayah jajahan. Digelar Mashaf Uthmani. Maka dikirimnya Mashaf Uthmani berserta guru Quran:

Makkah: Abdullah bin Saib al-Makhzumi
Kufah: Abu Abdul Rahman Sulami (pada zaman Umar al-Khattab telah dikirim Ibnu Mas’ud menjadi guru Quran)
Basrah: Amir bin Qis (pada zaman Umara al-Khattab telah dikirim Abu Musa al-Asyaari menjadi guru Quran).
Syam: Mughirah bin Abi Syihab (pada zaman Umara al-Khattab telah dikirim Abu Darda' menjadi guru Quran).
Madinah: Zaid bin Harithah

Satu lagi disimpan Khalifah Uthman Affan sebagai ibu sumber dikenali Mashaf Imam.

5. Pada zaman Umar al-Khattab hanya dikirim Guru Quran bukan mashaf lengkap seperti zaman Uthman r.a.

6. Para Sahabat yang menjadi Guru Quran ialah yang mendapat surat daripada Khalifah sebagai Guru Rujukan Rasmi Kerajaan. Namun disana bertebaran para Sahabat r.a yang mengajar Quran kepada orang awam.

Peringkat Ketiga | Qiraat di Zaman Tabiin dan Tabi’ Tabiin


1. Bermula separuh kedua abad pertama sehingga zaman awal kemajuan ilmu Umat Islam.

2. Muncul para ulama qiraat yang menjadi panutan umat Islam ketika itu:

Madinah: Abu Jaafar bin Zaid al-Qa’qa’ (أبو جعفر زيد بن القعقاع) wafat 130H, Syaibah bin Nassoh (شيبة بن نصاح) wafat 130H dan Nafi’ bin Abi Nuaim (نافع بن أبي نعيم) wafat 169H.

Makkah: Abdullah bin Kathir (عبد الله بن كثير) wafat 120H, Humaid al-A’raj (حميد الأعرج) wafat 130H dan Muhammad bin Muhaisin (محمد ابن محيصن) wafat 123H.

Kufah: Yahya bin Wasab (يحيى بن وثاب) wafat 103H, ‘Asim bin Abi Najud (عاصم بن أبي النجود) wafat 129H, Sulaiman al-A’masy (سليمان الأعمش) wafat 148H, Hamzah az-Zayyat (حمزة الزيات) wafat 156H dan Ali al-Kisai (علي الكسائي) wafat 189H.

Basrah: Abdullah bin Abi Ishaq (عبد الله بن أبي إسحاق) wafat 129H, Isa bin Umar (عيسى بن عمر) wafat 149H, Abu Amru bin ‘Ala (أبو عمرو بن العلاء) wafat 153H, Asim al-Jahdari (عاصم الجحدري) wafat 128H dan Yaaqub al-Hadhrami (يعقوب الحضرمي) wafat 205H.

Syam: Abdullah bin Amir (عبد الله بن عامر) wafat 118H, Atiyah bin Qis al-Kilabi (عطية بن قيس الكلابي) wafat 121H dan Yahya bin Harith az-Zumari (يحيى بن الحارث الذماري) wafat 145H.

Peringkat Keempat | Tadwin


1. Orang pertama menyusun ilmu qiraat iaitu Imam Abu Ubaid Qasim bin Salam (الإمام أبو عبيد القاسم بن سلام) wafat 224H. Qil Abu Hatim Sijistani (أبو حاتم السجستاني) wafat 225H mengikut pendapat Ibnu Jazari. Qil Yahya bin Yu’mar (يحيى بن يعمر) wafat 90H.

2. Timbul istilah Qiraat 7 oleh Ibnu Mujahid wafat 324H dengan membahagi qiraat sahih dan tidak sahih.

3. Kitab pertama ditulis dalam Qiraat 7 bertajuk Tabsirah wal Kasyaf (التبصرة والكشف) oleh Makki bin Abi Talib al-Qisi (مكي ابن أبي طالب القيسي). Aby Amru ad-Dani bertajuk Taisir fil Qiraat Sabi’ (التيسير في القراءات السبع) dan Jami’ul Bayan (وجامع البيان) wafat 444H, Syair Imam Syatibi bertajuk Hirzul Amani wafat 590H dan Tayyibah Nashr oleh Ibnul Jazari.

4. Penulisan kitab samada secara jama’ atau ifrad sebagai benteng akibat kerancuan ilmu yang ditimbulkan oleh musuh Islam.

Peringkat Kelima | Qiraat di Zaman Sekarang


Zaman sekarang sudah banyak pusat ilmu dibuka dan ramai pula para syeikh sudi mengajar dan talaqi qiraat.

1. Riwayat Hafs ‘an ‘Asim adalah riwayat bacaan Quraan yang paling banyak tersebar di dunia Islam. Kira-kira 95%, lebih-lebih lagi sekarang banyak Quran dicetak dalam Qiraat Hafs. Asal disebar oleh pengikut mazhab Hanafi di zaman Uthmaniah ke kebanyakkan negara Islam terutama di Mesir. Pengikut mazhab Hanafi amat taksub dengan riwayat ‘Asim (Hafs dan Syu’bah) kerana Imam Abu Hanifah mengambil qiraat ini daripada ‘Asim di Kufah.

2. Riwayat Qalun ‘an Nafi’ di Libya (sebagai Qiraat Rasmi), Tunisia dan sebahagian Algeria.

3. Riwayat Warsy ‘an Nafi’ di Algeria, Maghribi, Mauritania dan sebelah Afrika Barat iaitu Senegal, Niger, Mali dan Nigeria. Juga diamalkan di Mesir, Libya, Chad, barat Tunisia. Qiraat ini tersebar di Mesir pada kurun pertama kemudian dari situ tersebar ke kebanyakkan negara Afrika.

4. Riwayat Durri ‘an Abu ‘Amru di Sudan, Somalia, Chad, Nigeria, sebelah tengah Afrika dan Hadhramaut di Yaman.

5. Riwayat Abdullah bin Amir di Yaman.


Write a comment