Di surau tempat
saya ada terdapat seorang warga tua yang menjadi imam sekiranya imam bertugas
tiada. Didapati bacaan ayat al-Qurannya tidak bertajwid dengan betul. Kami ada
menyarankannya mengikuti kelas tajwid, tapi sayangnya ia berhenti di tengah
jalan. Ada juga jemaah yang tidak mahu bersolat berimamkannya. Apakah sah solat
saya sekiranya berimamkan beliau.
Jawapan:
Terdapat dua jenis
kesalahan dalam bacaan al-Quran. Kesalahan yang jelas seperti mengubah huruf.
Perubahan huruf mengubah ayat al-Quran dan seterusnya mengubah makna. Satu lagi
jenis kesalahan ialah kesalahan yang tersembunyi. Contohnya kesalahan dalam
aspek tajwid.
Bacaan dalam
solat tanpa tajwid yang betul sepenuhnya tidaklah membatalkan solat. Ini kerana
kesalahan tajwid dalam aspek dengung dan panjang pendek tidak mengubah makna.
Namun begitu, adalah wajib sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Jazari
untuk membaca al-Quran dengan tajwid yang betul.
Oleh itu,
sewajarnya setiap Muslim berusaha memperbaiki bacaan al-Quran. Ini kerana
al-Quran menyebut tentang perintah untuk membaca al-Quran dengan tartil
sebagaimana dalam surah al-Muzzammil ayat 4. Dalam Sahih al-Bukhari, disebutkan
bahawa bacaan Nabi SAW adalah dengan tartil. Ini bermaksud bahawa bacaan
tersebut tidak gopoh, sebutan huruf yang betul dan juga tajwidnya.
Justeru, amatlah
wajar jika seorang imam itu adalah orang yang baik bacaannya. Jika tajwidnya
lintang-pukang, tempat izhar didengungkan, tempat ikhfa tidak didengungkan,
idgham bi al-ghunnah tidak didengungkan, manakala idgham bila ghunnah pula
didengungkan, huruf mad yang patutnya dibaca enam harakat hanya dibaca satu
harakat dan sebagainya, sewajarnya imam ini mengundurkan diri.
Saranan agar
imam adalah insan yang baik bacaannya amat sesuai dengan apa yang disabdakan
oleh al-Rasul SAW:
"Hendaklah
memimpin sesuatu jamaah adalah insan yang paling baik bacaannya terhadap
al-Quran." (riwayat Abu Dawud)
Hadis ini
memberi peluang kepada masyarakat dalam pemilihan imam solat. Hendaklah
masyarakat memilih insan yang elok bacaanya. Hadis ini juga sewajarnya menjadi
neraca bagi insan yang menjadi imam atau ingin menjadi imam. Adakah bacaanku
elok?
Jika elok dengan
perakuan guru-guru tajwid dan bacaan al-Quran, maka silalah maju ke depan
sebagai imam solat. Jika guru al-Quran menyatakan masih banyak lagi kesalahan,
apa salahnya kita berundur seketika sebagai imam untuk memberi laluan kepada
orang lain.
Write a comment
Catat Ulasan