Populariti Tafsir Jalalain

Kelebihan Tafsir Jalalain berbanding tafsir lain.


Tafsir Jalalain merupakan kitab tafsir karya Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli (791 Hijrah - 864 Hijrah) dan Abu al- Fadl Abdur Rahman bin Abu Bakar bin Muhammad Jalaluddin as-Suyuti (849-911 Hijraj). Ia disebut Jalalain yang bererti dua (ulama tafsir bernama) Jalal.

Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Jilid pertama yang memuat mukadimah dan tafsir surah al-Baqarah hingga akhir surah al-Isra’ merupakan karya Jalaluddin as-Suyuti.

Jilid kedua memuatkan tafsir surah al-Kahfi hingga akhir surah an-Nas, surah al-Fatihah yang diletakkan sesudah surah an-Nas dan tatimmah (penutup). Kecuali bahagian penutup, jilid kedua merupakan karya Jalaluddin al-Mahalli. Bahagian penutup merupakan karya Jalaluddin as-Suyuti.

Penulisan Tafsir Jalalain dilatarbelakangi oleh dua perkara. Pertama, merosotnya bahasa Arab yang disebabkan oleh perhubungan yang terjadi antara bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain yang tidak berbahasa Arab, seperti Parsi, Turki, dan India.

Akibatnya, bahasa Arab tidak mudah lagi dimengertikan oleh orang-orang Arab asli kerana susunan kalimatnya mulai berbelit-belit mengikuti susunan bahasa ajam. Hal ini juga melanda kosa kata bahasa Arab.

Semakin hari, semakin banyak kosa kata ajam yang masuk ke dalamnya. Keadaan tersebut dikenal dengan istilah zuyua’ al-Lahn (keadaan ketika penyimpangan mudah ditemui). Banyak kaedah-kaedah nahu (gramatik) dan saraf (morfologi) dilanggar.

Kedua, adanya keyakinan bahawa al-Quran adalah sumber bahasa Arab yang paling autentik. Kerana itu, untuk mendapatkan kaedah-kaedah bahasa yang benar, pengkajian dan pemahaman terhadap al-Quran harus dilakukan.

Tafsir Jalalain telah dikenal di alam Melayu sejak abad ke-17, bahkan ada kemungkinan tafsir itu telah popular pada abad itu. Hal ini terbukti daripada banyaknya manuskrip tafsir tersebut di Muzium Nasional Jakarta.

Populariti Tafsir Jalalain di alam Melayu secara tidak langsung ditandai pula daripada kemunculan kitab tafsir Murah Lubaid li Kasyf Ma’na al-Quran al-Majid (Kitab yang Tebal Isinya untuk Mengungkap Makna Al-Quran al-Majid), yang merupakan karya Imam Muhammad Nawawi al-Bantani atau dikenal juga dengan Syeikh Nawawi al-Jawi (1813-1897).

Kaedah Penafsiran


Di Indonesia kitab tafsir ini dikenal dengan nama Tafsir al-Munir. Tafsir ini terhitung tafsir menengah dan banyak dipelajari di Indonesia dan Malaysia. Tafsir al-Munir melengkapi dan memperluas cara penafsiran Tafsir Jalalain dengan merujuk pada kitab al-Futuhat al-Ilahiyyah (Keterbukaan Ilahi) karya al-Jamal (Sulaiman bin Umar al-Ujaili al-Azhari) berisi komentar tentang Tafsir Jalalain.

Selain Futuhat, kitab-kitab lain yang menjadi rujukan Imam Nawawi adalah Mafatih al-Gaib (Pembuka Keghaiban), karya Fakhruddinn ar-Razi dan lain-lain.

Di samping itu, terdapat pula kitab tafsir Hasyiyyah al-Allamah as-Sawi yang biasa dikenali dengan Tafsir as-Sawi. Kitab tafsir karya Syeikh Ahmad as-Sawi al-Maliki ini berisi komentar yang cukup luas atas Tafsir Jalalain. Tafsir as-Sawi banyak dipelajari di Tanah Melayu, khususnya Indonesia.

Sehingga sekarang, Tafsir Jalalain masih banyak dipelajari di Malaysia dan Indonesia. Banyak pondok pengajian yang masih menggunakannya sebagai kitab pelajaran asas. Penterjemahan terhadap tafsir ini telah banyak dilakukan dan dicetak berulang kali, baik dalam bahasa Indonesia mahupun bahasa daerah.

Write a comment