Jika melihat lembaran sejarah, guru al-Quran yang berkhidmat mengajar dan hidup bersama al-Quran telah diberikan anugerah yang tidak terlintas pada akal manusia biasa. Istilah yang sesuai digunakan untuk perkara seperti itu ialah karamah.
Oleh DR. KHAIRUL
ANUAR MOHAMAD
Pembaca al-Quran
atau dalam bahasa dikenali sebagai qurra mempunyai banyak kelebihan. Selain
pahala yang berlipat ganda, mereka juga mendapat ketenangan jiwa dan rasa
damai. Berapa ramai orang yang menghadapi masalah yang berkaitan keluarga,
kewangan dan lain-lain dapat mengatasinya dengan membaca al-Quran.
Jika melihat
lembaran sejarah, guru al-Quran yang berkhidmat mengajar dan hidup bersama
al-Quran telah diberikan anugerah yang tidak terlintas pada akal manusia biasa.
Istilah yang sesuai digunakan untuk perkara seperti itu ialah karamah.
Karamah daripada
sudut bahasa adalah kemuliaan. Istilahnya ialah sesuatu perkara luar biasa yang
berlaku daripada keikhlasan seorang hamba yang telah jelas kebaikannya kerana
ketekunan di dalam mengikuti syariat nabi dan mempunyai akidah yang benar.
Apa yang ingin
dibawakan dalam perbincangan ini ialah anugerah dan kemuliaan yang Allah SWT
berikan kepada hamba-Nya yang selalu berdampingan dengan al-Quran. Cerita yang
pelik ajaib berkaitan qurra sebenarnya banyak dicatat oleh Imam Ibnu al-Jazari
melalui beberapa penulisannya antaranya Ghayah al-Nihayah fi Tabaqat al-Qurra
(غاية النهاية في طبقات القراء).
Berbau Wangi
Sebagai
permulaan, saya membawa satu kisah berkaitan seorang guru Quran terkenal di
Madinah al-Munawarrah iaitu Imam Nafei’ al-Madani.
Selain mengajar al-Quran beliau juga adalah imam di Masjid Nabi selama 70
tahun. Sumbanganya cukup besar dan salah seorang muridnya ialah Imam Malik Ibnu Anas pengasas mazhab Maliki.
Karamah atau
kemuliaan yang Allah SWT berikan kepadanya ialah mulutnya sentiasa berbau wangi
sehingga mereka yang berada di sekelilingnya merasakan Imam Nafei’ memakai wangian sebelum sesi
pengajaran. Lantas beberapa muridnya bertanya soalan dan beliau menjawab: Aku
tidak pernah menyentuh wangian tetapi aku melihat Rasulullah SAW dalam mimpiku
membaca al-Quran dan menghembus ke arah mulutku. Semenjak itu mulutku berbau
wangi.
Buta Tapi Terang Hati
Perkara pelik
sebegitu tidak boleh berlaku kepada kebanyakan orang walaupun mereka berusaha
mendapatnya, tetapi ia anugerah Allah SWT.
Bagi Imam Syatibiy yang meninggal pada 590 Hijrah,
walaupun beliau adalah seorang yang cacat penglihatan tetapi hatinya begitu
terang dan bersih. Hatinya mampu melihat apa yang tidak nampak oleh mata.
Setiap hari Imam Syatibiy mengajar al-Quran. Ramai yang datang
untuk bertalaqqi dan musyafahah dengan beliau. Memandang kepada ramainya yang
datang, Imam Syatibiy menggunakan kaedah sesiapa yang datang awal, dialah orang
yang pertama membaca. Setiap kali sesi pengajarannya, beliau akan menyebut
perkara itu.
Terjadi kisah
seorang pelajar yang ingin menjadi orang pertama membaca di hadapan Imam Syatibiy. Tetapi beliau telah berhadas di
waktu malamnya. Dek ingin membaca tempat yang pertama, pelajar tersebut terlupa
untuk mengangkat hadasnya. Ketika Imam Syatibiy mengambil
tempatnya untuk memulakan sesi pengajaran Imam
Syatibiy mengubah skrip yang selalu diucap sebelum pengajaran
dengan berkata siapa yang datang kedua membaca dahulu.
Si lelaki yang
datang pertama merasa pelik dengan arahan Imam
Syatibiy dan melakukan muhasabah apakah dosa yang telah
dilakukan sehingga gurunya tidak menyuruhnya membaca dahulu. Lantas beliau
teringat peristiwa semalam dan bergegas pergi mengangkat hadas.
Selepas siap
semuanya, Imam Syatibiy pun berkata siapa
yang datang pertama membaca dahulu. Lihat bagaimana karamah atau kemuliaan yang
Allah berikan kepada Imam Syatibiy yang boleh
merasakan di hadapannya orang berhadas yang tidak boleh membaca al-Quran.
Kehebatan Tersendiri
Cerita karamah
sebegini adalah untuk memberi maklum kepada kita bahawa al-Quran adalah kalam
Allah SWT yang mempunyai kehebatannya yang tersendiri. Mereka yang memahaminya
dan berkhidmat untuknya diberikan kelebihan. Namun begitu mereka yang tidak
diberi karamah walaupun banyak membaca al-Quran sebenarnya tersilap tafsir.
Hakikatnyanya
membaca al-Quran itu adalah satu ibadat yang besar nilainya dan perlu selalu
berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberikan masa yang cukup untuk membaca
al-Quran pada siang dan malam hari. Sebagaiman doa yang selalu dinasyidkan: Ya
Allah kurniakanlah kepada kami untuk membaca al-Quran sepanjang malam dan
siang, Amin ya rab al-Alamin.
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
syabas,syeikh...melalui blog ini,saya dapat kongsi mengenai qari-qari alquran dan tahu serba sedikit tentang keramat mereka
BalasPadamsila tuan...email kepada saya,..hassrie@gmail.com.my atau blog saya:suka-sukasamsuri@blogspot,..shamsuri,yayasan islam terengganu...
BalasPadam