Oleh DR. KHAIRUL
ANUAR MOHAMAD
- Penulis ialah
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Universiti Sains Islam
Malaysia.
Ketika ini
tersebar satu klip di laman Internet berkaitan cara bacaan al-Fatihah menurut
bacaan Rasulullah SAW. Saya pada mulanya tidak berminat memberi apa-apa ulasan.
Namun telah dihubungi seorang kawan yang memerlukan jawapan yang berbentuk
ilmu. Apakah yang diterangkan penceramah tersebut menepati kaedah ilmu tajwid?
Selepas beberapa
kali mengamati huraian yang dikemukakan oleh al-fadhil penceramah timbul
beberapa persoalan yang memerlukan kepada penjelasan. Saya merasakan penjelasan
sebegini penting bagi mengelak kekeliruan dan salah faham terhadap bacaan
Rasulullah SAW.
Bacaan al-Quran
dikawal oleh ilmu tajwid. Ulama meletakan kaedah ilmu tajwid dalam semua babnya
seperti hukum nun sakinah, mim sakinah, mad, waqaf ibtida dan lain-lain adalah
untuk memastikan bacaan al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW terus terjaga.
Dalam prinsip 10
pengenalan ilmu tajwid dinyatakan matlamat mempelajarinya adalah untuk menjaga
lidah daripada tersalah menyebut atau membaca al-Quran.
Walaupun begitu
mempelajari tajwid melalui buku atau secara dalam talian (online) melalui laman
sesawang dan sebagainya adalah tidak mengesahkan bacaannya.
Bacaan al-Quran
memerlukan talaqi daripada guru secara bersemuka atau disebut menerima daripada
mulut guru. Bermaksud murid membaca di hadapan guru dan guru akan membetulkan
bacaan yang tidak tepat.
Talaqqi dan kaedah tajwid perlu selari. Jika ada murid yang
menghikayatkan menerima daripada gurunya cara bacaan sebegini namun tidak
menepati kaedah tajwid yang disepakati ulama, maka dalam situasi sebegini
seseorang perlu memilih dan menerima kaedah tajwid.
Penceramah ada
menyebut cara bacaan di akhir ayat kedua pada kalimah al-‘Alamin [العالمين],
yang di akhirnya ialah huruf nun dan akhir ayat ketiga pada kalimah al-Rahim [الرحيم]
yang akhirnya ialah huruf mim. Kadar ghunnah [غنة] atau dengung yang diterangkan adalah
terlebih daripada kadar yang sepatutnya.
Perlu difahami
bahawa sifat huruf nun dan mim ialah ghunnah. Ghunnah mempunyai beberapa
peringkat, jika huruf tersebut bertasydid dinamakan idgham wajib al-Ghunnah [واجب الغنة].
Jika kedua-duanya bertasydid tetapi disukunkan dengan sebab waqaf, kadar sifat
dengungnya kekal dua harakat. Tetapi jika keduanya tidak bertasydid dan
disukunkan dengan sebab waqaf, sifat dengungnya daif dan sedikit sahaja.
Dalam huraiannya
juga menyatakan cara menyebut huruf wau pada ayat wa Iyyak [وإياك]
dan wau pada kalimah terakhir surah al-Fatihah dengan “heruk” mulut. Secara
asasnya wau di dua tempat itu adalah berbaris di atas atau disebut fathah.
Fathah bermaksud
buka mulut dengan kadar sederhana. Semua huruf hija’iyyah apabila berbaris di
atas akan dibukakan mulut dengan kadar sederhana. Jika “herukkan” mulut seakan
dengarnya seperti imalah. Sedangkan imalah mempunyai cara sebutannya yang
tersendiri. Justeru yang tepatnya ialah menyebut huruf wau dengan baris fathah
tanpa “diherukkan” mulut.
Disebutkan juga
cara bacaan kalimah nasta’in, iaitu nun di akhir kalimah tersebut dibaca dengan
memuncungkan mulut. Istilah untuk muncung mulut atau dua bibir dalam ilmu
Tajwid dipanggil Isymam [إشمام].
Terdapat satu
bab khusus yang membicarakan isymam. Dalam riwayat Hafs yang diamalkan hanya
satu tempat sahaja yang wajib dibaca dengan isymam iaitu dalam surah Yusuf,
ayat yang ke-11.
Selain itu
isymam juga boleh dibaca pada kalimah yang berbaris di hadapan tetapi
disukunkan dengan sebab waqaf termasuk kalimah nasta’in yang dihuraikan penceramah.
Tujuan isymam
atau muncung dua bibir adalah untuk menunjukkan bahawa huruf terakhir kalimah
tersebut adalah berbaris di hadapan.
Dalam ilmu
tajwid apabila pada sesuatu kalimah kaedah asalnya ialah sukun. Adapun isymam
atau raum ia adalah khilaf al-Jaiz iaitu pilihan sama ada mahu membacanya atau
tidak. Bermakna jika waqaf pada kalimah tersebut kena dahulukan wajah sukun
berbanding isymam atau raum.
Seterusnya
dihuraikan juga cara sebutan kalimah sirat iaitu muncungkan mulut pada sebutan
huruf sad. Ramai daripada kita mengamalkan ketika menyebut huruf sad dengan
memuncungkan mulut. Dalam perkara ini kita perlu memahami bahawa makhraj huruf
sad keluar dari hujung lidah yang diletakkan pada bahagian atas gigi kacip
sebelah bawah.
Daripada makhraj
tersebut keluar tiga huruf zai, sin dan juga sad. Walaupun keluar dari tempat
yang sama namun sebutannya berbeza kerana setiap satunya mempunyai sifat yang
berbeza. Bagi sad sifatnya ialah isti’la [الإستعلاء], hams [الهمس], itbaq [الإطباق], rakhawah [الرخاوة], safir [الصفير]
dan ishmat [الإصمات].
Semua sifat ini tidak memberi maksud muncungkan mulut ketika menyebut sad.
Memuncungkan
mulut atau tidak sebenarnya bergantung kepada harakat atau baris. Jika huruf
berbaris hadapan maka hendaklah dimuncungkan dua bibir. Baris fathah adalah
membuka mulut dengan kadar sederhana dan baris kasrah bermaksud merendahkan
tulang rahang. Kalimah sirat [صراط], huruf sadnya berbaris kasrah atau bawah.
Justeru, sama sekali tidak memuncungkan dua bibir.
Mungkin video diatas yang menjadi perbahasan di atas. Saya bersetuju
dengan pandangan Ustaz Khairul Anwar yang juga guru saya. Juga sepanjang saya
talaqi dengan sheikh-sheikh qiraat di Mesir tiada sebutan seperti itu. Kalau
ada pun ianya dalam qiraat yang lain bukan Hafs. Paling ketara sebutan Wau yang
leweh bukan sebutan Riwayat Hafs yang fasohah.
Di Mesir pun dikalangan Sheikh sendiri pun kadang baca Quran pun tidak fasohah. Saya tidak kata salah, tapi tidak fasohah. Kadang terpengaruh dengan sebutan lahjah daerah maka bila membaca Quran terkesan sama. Sana sini ada imalah padahal tidak boleh imalah. Ini biasa berlaku pada sheikh yang bukan sheikh Quran. Kalau sheikh Quran memang sebutan fasohah.
Walaubagaimanapun semua ini dipanggil khilaf guru masing-masing. Bila anda berguru maka sahlah bacaan anda.
Di Mesir pun dikalangan Sheikh sendiri pun kadang baca Quran pun tidak fasohah. Saya tidak kata salah, tapi tidak fasohah. Kadang terpengaruh dengan sebutan lahjah daerah maka bila membaca Quran terkesan sama. Sana sini ada imalah padahal tidak boleh imalah. Ini biasa berlaku pada sheikh yang bukan sheikh Quran. Kalau sheikh Quran memang sebutan fasohah.
Walaubagaimanapun semua ini dipanggil khilaf guru masing-masing. Bila anda berguru maka sahlah bacaan anda.
Write a comment
Catat Ulasan