Hukum Wanita Masuk Masjid Ketika Haid (2)


Pandangan Golongan Kedua


Walau bagaimanapun terdapat juga di kalangan ulama yang mengharuskan wanita yang sedang haid masuk ke dalam masjid kerana sesuatu darurat. Seperti tidak kerana takut kepada pencuri, binatang atau mendapatkan sesuatu keperluan yang tidak diperolehi SAW melainkan di dalam masjid. Misalnya untuk mendapatkan air di dalam masjid, kerana di tempat lagi lain tidak ada air. Ini sesuai dengan kaedah:


Darurah itu mengharuskan yang haram.

Pendapat ini dinaqalkan daripada Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Ibn Musayyab, al-Hasan, Malik dan juga Iman al-Syafi’i. Imam al-Syafi’i sendiri contohnya pernah menyatakan:

Saya memakruhkan wanita yang sedang haid masuk ke dalam masjid kecuali kerana darurat yang ditentukan kadar keperluannya.87

Ini berdasarkan antara lain kepada hadith Aisyah r.a: Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya:

Bawakan sejadah (tikar solat) kepada saya. Saya berkata: Saya sedang didatangi haid. Sabda baginda:

Haid anda tidak berada pada tangan anda.88 Ini menunjukkan keharusan wanita yang sedang dalam haid memasuki masjid kerana keperluan.

Ada juga di kalangan ulama yang berpendapat wanita yang sedang dalam haid boleh masuk ke dalam masjid, kerana tidak terdapat larangan berbuat demikian daripada hadith sahih. Kerana itu hukumnya kekal sebagaimana asal iaitu harus duduk di dalam masjid walaupun dalam keadaan haid. Selain daripada itu, Rasulullah SAW menyatakan “Orang mukmin itu tidak najis”.89

Ahli al-Suffah menetap di beranda masjid Nabi SAW di Madinah setelah mendapat kebenaran Rasulullah. Jumlah mereka ramai dan tidak diragui lagi ada di kalangan mereka yang berjunub. Namun begitu mereka tidak dihalang dari menetap di situ. Selain daripada itu hadith-hadith yang melarang wanita yang sedang haid masuk ke dalam masjid berlegar sekitar hadith batil dan tidak masyhur. Dinaqalkan Imam Ahmad mengharuskan wanita yang didatangi haid, duduk dalam masjid, kalau telah mengambil wuduk.90 Inilah juga pendapat Daud al-Zahiri dan lain-lain.

Syeikh Jasim menyimpulkan daripada perbahasan di atas, harus kepada wanita yang didatangi haid masuk ke dalam masjid dan duduk di dalamnya, bagi mendengar pengajaran ilmu, dengan syarat hendaklah dipastikan darah haidnya tidak mencemarkan masjid. Pada zaman kita ini tidak sukar

kepada wanita yang didatangi haid mengelakkan diri dari mencemarkan masjid dan tidak sukar juga kepadanya mengambil wuduk, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ahmad di atas. Dalam Sahih al-Bukhari ada menceritakan tentang wanita berkulit hitam yang biasa membersihkan masjid pada zaman Nabi SAW. Tidak terdapat keterangan Nabi SAW memerintahkannya meninggalkan masjid pada masa haidnya.

Dalam Sahih al-Bukhari juga menjelaskan Rasulullah SAW menyuruh Aisyah r.a yang pada masa itu sedang didatang haid supaya menunaikan semua amalan haji kecuali tawaf. Suruhan tersebut menunjukkan Nabi SAW tidak melarang beliau memasuki masjid. Ini bermakna sebagaimana orang yang menunaikan fardu haji, boleh masuk ke dalam masjid, begitu juga dengan wanita, juga boleh memasuki masjid pada mula-mula menunaikan ibadat haji.

Ata’ bin Yasar meriwayatkan:

Aku melihat beberapa orang sahabat Rasulullah SAW duduk di dalam masjid dalam keadaan berjunub, apabila mereka telah berwuduk seperti wuduk solat.91

Syeikh Mustafa al-Adawi menjelaskan tidak ada dalil yang sahih lagi jelas yang melarang wanita haid masuk ke dalam masjid dan berdasarkan hal ini boleh dan bagi wanita yang sedang haid duduk di dalam masjid.92

Sumber: Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari. Penyelesaian Persoalan Dan Isu Semasa Haid. Bayt Al-Hikmah, Gong Badak, Terengganu. 2005.

87al-Kaylani, hlm. 462.
88Hadith riwayat al-Jamaah kecuali al-Bukhari.
89al-Syawkani, Nil al-Awtar, jil. 1, hlm. 266.
90al-Asfahani, Hilyah al-Ulama, jil. 1, hlm. 173. al-Buhuti Kasysyaf al-Qina’, jil. 1, hlm. 142.
91Dikeluarkan oleh Said bin Mansur di dalam Sunannya dengan isnad yang hasan.
92Syeikh Mustafa al-Adawi, Jami’ Ahkam al-Nisa’, jil. 1, hlm. 191-195. 

Write a comment