Hukum Wanita Masuk Masjid Ketika Haid (1)


Wanita haid masuk ke dalam masjid menimbulkan beberapa pandangan daripada ulama.

Pandangan Golongan Pertama


Wanita yang didatangi haid dilarang memasuki dan duduk di dalam masjid apatah lagi melakukan iktikaf di masjid tersebut. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا (٤٣)


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[Surah an-Nisa’: 43]

Ini bererti wanita yang sedang haid, haram duduk di dalam masjid dengan tujuan beriktikaf atau duduk atau tidur dan berulang-alik di dalamnya.

Rasulullah SAW bersabda:

Saya tidak menghalalkan masjid untuk orang yang berjunub dan wanita yang berhaid.81

Hukum ini merupakan pandangan dan pendapat majoriti ulama yang terdiri daripada ulama mazhab Hanafi, Maliki, al-Syafi’i, Hanbali dan golongan yang selain daripada mereka. Termasuk dalam erti masjid ialah ruang udara dan dinding atau sirdab (saluran air pada musim panas untuk mendinginkan udara) yang berada di bawahnya82.

Para ulama sepakat wanita yang didatangi haid dilarang berjalan dalam masjid, jika dibimbangi mengotorkan masjid dengan darahnya seperti halnya najis-najis yang lain yang mencemarkan masjid. Larangan ini bertujuan memelihara kesucian masjid. Jika tidak dibimbangi mencemarkan masjid, kebanyakan ulama berpendapat harus bagi wanita berkenaan berjalan dalam masjid, tetapi hukumnya adalah makruh, jika tidak mempunyai sebarang keperluan atau hajat83.

Diriwayatkan daripada Maimunah r.a katanya:

Rasulullah SAW meletakkan kepalanya pada riba salah seorang daripada kami yang sedang didatangi haid, lalu membaca al-Quran, lalu salah seorang daripada kami yang sedang haid bangun membawa tikar baginda ke dalam masjid lalu menghamparkannya.84

Khalifah Umar bin al-Khattab r.a pernah memberi nasihat pada akhir hayatnya kepada al-Qasim bin Abd al-Rahman:

Jangan anda putuskan hukuman di masjid, kerana wanita yang sedang haid dan orang yang berjunub akan datang menemui anda di masjid.85

Menurut al-Syeikh Muhammad Uthaimin, wanita yang sedang haid diharamkan berada atau duduk dalam masjid, termasuk padang yang digunakan untuk solat hari raya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Umm ‘Atiyyah r.a Rasulullah SAW bersabda:

Suruhlah keluar wanita-wanita dan anak-anak gadis yang berada dalam rumah (kepada solat dua hari raya) supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan orang mukmin, dan jauhilah wanita haid daripada musalla (tempat lapang solat Hari Raya).86

81Hadith riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi dan dianggap sahih oleh Ibn Khuzaimah.
82Mughni al-Muhtaj 1/71. al-Syarqawi Ala al-Tahriri 1/89. Subul al-Salam 1/92. Hasyiyah al-Dusuqi 1/173. Manar al-Sabil 1/57 dan Hasyiyah ibn Abidin 1/291-292.
83Nurudin, al-Ihatah, hlm. 55.
84Hadith riwayat al-Nasa’i.
85Qalahji, Mawsu’ah Umar bin al-Khattab, hlm. 291.
86Al-Syeikh Muhammad Uthaimin, Risalah Fi al-Dima’ al-Tabi’iyah Li al-Mar’ah, http://www.othaimeen.com/all/books/articels 16961. shtml. 

Write a comment