Khulasah
Golongan yang
berpendapat wanita yang didatangi haid boleh membaca dan menyentuh al-Quran
berdalilkan antara lain:
1. Umum hadith Aisyah
r.a Rasulullah SAW berzikir kepada Allah pada setiap masa.75
2. Hadith
al-Bukhari yang menjelaskan wanita yang didatangi haid boleh melakukan semua
amalan haji kecuali tawaf. Hadith ini membuktikan seorang wanita yang didatangi
haid dan berjunub boleh membaca al-Quran dan menyentuhnya, sebagaimana yang
dinyatakan oleh Ibn Rasyid sebagai mengikut pandangan al-Battal. al-Imam
al-Tabari berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi wanita yang sedang haid
membaca al-Quran.
3. Ibn Abbas
membaca wiridnya dalam keadaan berjunub. Beliau menyatakan: Abu Sufyan
menceritakan kepada saya, Herculis maharaja Rom meminta supaya surat yang
dihantar oleh Nabi SAW dibawa kepada beliau dan beliau membaca surat tersebut.
Di dalam surat tersebut terdapat ungkapan:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ
تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلا نَعْبُدَ إِلا
اللَّهَ وَلا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا
مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
(٦٤)
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah
yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah
melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan
pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan
orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika
mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada
mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.
Surah
Ali Imran: 64
4. Ayat 79 dari
surah al-Waqiah membawa maksud al-Quran tidak boleh disentuh kecuali oleh orang
yang suci. al-Quran yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah yang terdapat di
tangan malaikat. Anas bin Said bin Jubir RA menyatakan maksud orang yang suci
yang boleh menyentuh al-Quran ialah malaikat, kerana malaikat suci dari
sebarang dosa.76
Bagi majoriti
ulama yang mengharamkan kepada wanita yang sedang haid membaca dan menyentuh
al-Quran, mereka menafsirkan ayat di atas sebagai “Al-Quran itu tidak boleh
disentuh kecuali oleh orang-orang yang bersuci daripada hadas”. Bermakna orang
yang tidak bersuci daripada hadas tidak boleh membaca mahupun menyentuh
al-Quran.77
Menurut al-Syeikh Jasim, wanita yang didatangi
haid, boleh melancarkan hafalan al-Quran (muraja’ah), tetapi hendaklah berlapik
ketika menyentuh al-Quran seperti menggunakan kertas, kayu, cebisan kain,
sarung tangan dan lain-lain, sebagai mengelakkan daripada terlibat dengan
khilaf ulama dari segi harus atau tidak menyentuh al-Quran bagi wanita yang
didatangi haid, sebagaimana juga harus kepadanya duduk dalam majlis tadarus
al-Quran dan membaca wind hariannya.
Antara ulama
yang mengharuskan wanita yang sedang didatangi haid membaca dan menyentuh
al-Quran ialah al-Imam Malik dan berdasarkan pendapat qadim. Pendapat ini juga
dipegang oleh Imam al-Bukhari, Ibn Jarir al-Tabari dan juga Ibn al-Munzir,
kerana haid kadang-kadang berlanjutan sampai kepada tempoh ghalib atau
maksimum. Sekiranya wanita yang mengalami haid itu ditegah daripada membaca
al-Quran sudah tentu hilanglah matlamat yang hendak dicapainya daripada membaca
al-Quran. Mungkin dia akan lupa ayat-ayat al-Quran yang dihafaznya pada masa
suci nanti.78
Keharusan wanita
yang didatangi haid membaca dan menyentuh al-Quran dalam mazhab Malik, dapat
dilihat di dalam kitab al-Syarh al-Saghir hasil karya al-Syeikh Dardir, jilid
1, halaman 65. 92 dan 93. Begitu juga di dalam syarah al-Kharsyi Ala Mukhtasar
Khalil jilid 1, halaman 161 dan 209. Kedua kitab ini dicetak pada bahagian nota
kaki Hasyiyah al-Sawidan Has yiyah al-Adawi.
Menurut Syeikhul
Islam Ibn Taimiyyah, larangan membaca al-Quran kepada wanita yang didatangi
haid, tidak mempunyai sandaran sama sekali. Malah menurut beliau hadith yang
dijadikan hujah oleh majoriti ulama yang mengharamkan wanita yang sedang haid
membaca dan menyentuh al-Quran iaitu “Wanita haid dan junub tidak boleh membaca
al-Quran” adalah sebuah hadith yang lemah berdasarkan sepakat ahli-ahli hadith.
Wanita Islam pada zaman Rasulullah SAW didatangi haid, namun mereka tidak
dilarang oleh Rasulullah SAW dari membaca al-Quran. Sekiranya membaca al-Quran
dalam keadaan haid dilarang kepada wanita tersebut, seperti mana juga solat,
sudah tentu dijelaskan oleh nabi kepada umatnya dan diketahui oleh
isteri-isteri baginda SAW sendiri.
Al-Syeikh
Mustafa al-Adawi (الشيخ مصطفى العدوي)
di dalam kitabnya Jami’ Ahkam al-Nisa’ (جامع أحكام النساء)
membantah pendapat majoriti ulama yang tidak membolehkan wanita yang sedang
didatangi haid, membaca al-Quran, kerana tidak ada dalil yang sahih lagi jelas
yang mengharamkan wanita yang sedang haid berbuat demikian, bahkan sebaliknya
terdapat dalil yang membolehkan wanita yang sedang haid membaca al-Quran.79
Bagi majoriti
ulama yang mengharamkan wanita yang sedang haid membaca al-Quran, larangan
tersebut ditujukan kepada membaca al-Quran secara lisan, tetapi jika tidak
secara lisan, sebaliknya melalui hati, hukumnya adalah harus. Begitu juga
melihat al-Quran menurut al-Imam al-Nawawi adalah harus, malah keharusan
membaca al-Quran tidak melalui lisan telah disepakati oleh ulama.80
Pendek kata
mazhab Maliki sahaja mengharuskan wanita yang didatangi haid membaca al-Quran
dan menyentuhnya untuk tujuan belajar dan mengajar. Pandangan ini sebernarnya
lebih memberi kemudahan kepada para pelajar dan guru wanita yang kebetulan
didatangi haid sewaktu mereka hendak mengajar al-Quran kepada anak murid
mereka.
Sumber: Dr.
Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari. Penyelesaian Persoalan Dan Isu Semasa
Haid. Bayt Al-Hikmah, Gong Badak, Terengganu. 2005.
75Hadith
riwayat Muslim.
76Jasim,
him. 29.
77Nurudin,
al-Ihatah. him. 50-52.
78al-Kaylani,
al-Mar'ah Bayna Taharah al-Batin Wa al-Zahir, him. 462
79al-Seikh
Mustafa al-Adawi, Jami’ al-Ahkam al-Nisa’, jil. 1, him. 183-187.
80al-Nawawi,
Syarah al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 19.
Write a comment
Catat Ulasan