Fitnah Diulang 30 Kali Dalam Al-Quran


Soalan:

Saya mendengar ada orang mengatakan fitnah yang disebut dalam al- Quran bukan bermaksud menuduh seperti difahami oleh orang Melayu. Benarkah demikian. Apa perbezaan bala dan fitnah. Adakah musibah dengan azab membawa maksud sama. Mohon pencerahan dari ustaz.

Rashid, Seremban

Jawapan:


Fitnah bererti ujian atau cubaan. Ia diambil dari kata dasar bererti memasukkan emas ke dalam api untuk diketahui kadarnya. Ia juga diertikan sebagai ‘membakar’ atau ‘memperluas’. Secara berdiri sendiri, kalimat ini diulang-ulang dalam al-Quran sebanyak 30 kali.

Menurut ahli tafsir terkemuka Indonesia, M Quraish Shihab, perlu digaris bawah bahawa tidak ada satu pun dari kalimah ini yang bermaksud perkataan yang memburukkan orang lain seperti biasa dipakai. Menurut pakar dalam bidang kosa kata al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani [راغب الأصفهاني], penekanan dan penggunaan kata fitnah lebih banyak ditujukan pada sesuatu yang bersifat kesukaran. Inilah salah satu perbezaan penggunaan kata bala dan fitnah.

Di sini kata fitnah tidak selalu bererti ‘ujian’ yang dialami seseorang dalam kehidupan dunia tetapi boleh juga dalam erti seksaan di akhirat. Firman Allah SWT: “(Hari Pembalasan adalah) hari ketika mereka disiksa di atas api neraka. (Dikatakan kepada mereka), “Rasakanlah seksaan itu. Inilah seksa (fitnah) yang dulu kamu minta supaya disegerakan.” (Surah az-Zariyat, ayat 13-14)

يَوْمَ هُمْ عَلَى النَّارِ يُفْتَنُونَ (١٣)ذُوقُوا فِتْنَتَكُمْ هَذَا الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تَسْتَعْجِلُونَ (١٤)

Perbezaan ketiga, fitnah tidak selalu mesti berbentuk sesuatu yang berlangsung lama atau nampak lama. Perkataan musibah diambil dari kata dasar bererti mengenai atau menimpa.

Pada mulanya, kata akar ini berkaitan lemparan yang mengena sasaran.

Kata musibah diulang dalam al-Quran sebanyak sepuluh kali. Semuanya digunakan untuk sesuatu yang tidak menyenangkan. Namun, hendaklah diingat bahawa apa yang tidak menyenangkan, bila direnungkan pasti tepat dan benar.

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ (٣٠)

Firman Allah SWT: “Dan apa saja musibah yang menimpa dirimu, maka hal itu disebabkan perbuatan tanganmu sendiri.” (Surah as-Syura, ayat 30)

Ulama berbeza pendapat mengenai makna dasar perkataan azab. Ada yang berpendapat perkataan ini diambil dari kata akar yang bererti menjadikan seseorang mengalami lapar yang luar biasa atau diambil dari kata kata dasar bererti hujung cambuk atau segar nyaman (seperti air yang segar yang sedap diminum. Perkataan mengazab (azzaba) bererti menghilangkan kesedapan.

Walau bagaimanapun ketiga makna di atas pada akhirnya mengandungi makna seksaan. Tentu saja seksaan tidak selalu bererti ujian atau cubaan, walaupun ada cubaan atau ujian yang dirasakan sebagai seksaan.

- Berita Harian.

Write a comment