Oleh MOHD. SHAH
CHE AHMAD
BUDAYA guru
al-Quran datang ke rumah untuk mengajar mengaji bukan bermakna ia merupakan
usaha untuk menghapuskan adat menuntut ilmu. Tetapi disebabkan zaman berubah,
maka tuntutan untuk menuntut ilmu dan mempelajari al-Quran juga berubah. Sebaliknya
kaedah yang fleksibel itu akan memudahkan lagi para ibu bapa untuk memberikan
ilmu al-Quran kepada anak-anak mereka. Oleh itu Presiden Akademi Al-Jazari,
Ahmad Arshad Ezhar menolak dakwaan sistem tersebut menghapuskan adat menuntut
ilmu. Malah katanya, ia memberi galakan kepada ibu bapa dan pelajar untuk terus
berusaha mencari ilmu walaupun dalam kesibukan dan pelbagai halangan.
“Memang sistem
ini serba sedikit bertentangan dengan adat menuntut ilmu seperti yang dilakukan
oleh ulama dan orang terdahulu.
“Namun ia sama
sekali tidak menghapuskan tradisi menuntut ilmu.
“Apa yang
penting, ilmu itu dapat disebarkan kepada setiap individu tanpa berkecuali.
“Ia juga
menunjukkan semangat ibu bapa atau pelajar itu sendiri untuk menuntut ilmu
walaupun mempunyai pelbagai halangan,” ujarnya.
Dengan adanya
kaedah mengaji al-Quran yang fleksibel dengan guru boleh datang ke rumah ia
membantu mengatasi gejala buta al-Quran di kalangan umat Islam di negara ini. Mereka
yang tidak berpeluang mempelajari al-Quran ketika kecil boleh berbuat demikian
walaupun kini telah lanjut usia tanpa perlu rasa malu kerana guru boleh
didatangkan khusus ke rumah masing-masing. Dengan trend terkini itu juga,
mereka yang buta al-Quran tidak lagi boleh menjadikan sibuk dengan kerja atau
mencari rezeki sebagai alasan tidak belajar membaca al-Quran.
Belajar membaca
kitab suci Allah itu merupakan fardu ain yang perlu dilakukan denga apa cara
sekalipun tanpa sebarang alasan. Dengan adanya guru yang boleh datang ke rumah
pada bila-bila masa maka faktor malu kerana telah umur juga tidak lagi relevan.
Pengarah Operasi Akademi Al-Jazari, Ahmad Azlan Raihan pula berkata, ibu bapa
juga tidak perlu lagi bimbang terhadap keselamatan anak-anak untuk menghantar
mengaji di luar yang menyebabkan pelbagai risiko tidak diingini berlaku.
“Dengan khidmat
pengajian terus ke rumah ini, pelajar hanya perlu menyediakan alat untuk
belajar sahaja. Sementara urusan lain akan dilakukan oleh guru itu sendiri.
“Oleh kerana
kebiasaan masa lapang untuk mengaji al-Quran adalah pada waktu malam,
kanak-kanak juga terhindar daripada pelbagai risiko yang tidak diingini berlaku
ketika dalam perjalanan untuk ke tempat mengaji,” katanya.
Dari segi proses
pemilihan tenaga pengajar pula, Azlan menerangkan, terdapat beberapa proses
tapisan yang diberikan kepada setiap pengajar.
“Antaranya, kita
akan menyelidik latar belakang pengajar tersebut, dan mengadakan temuduga untuk
menguji kebolehan mereka. Pengajar haruslah mempunyai kelayakan sekurang-kurang
Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau yang setaraf dengannya.
“Kita juga
mempunyai borang prestasi untuk menilai tahap disiplin dan pencapaian pengajar
tersebut yang akan diisi oleh keluarga tersebut.
“Sekiranya
berlaku permasalahan pihak akademi akan menukarkan pengajar tersebut dengan
pengajar yang lain atau terus akan melucutkan kontraknya bersama syarikat ini
setelah diberikan nasihat dan dikenalpasti kesalahan yang kritikal.
“Kita mempunyai
perjanjian antara pengajar dan juga pelajar. Sekiranya salah satu pihak
melanggar perjanjian ini, maka mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Bagi bekas
pelajar Maahad Tahfiz Misbahul Munir Baling, Kedah, Mukit Abdul Hadi atau lebih
mesra dengan panggilan Ariff Hasan, apa yang dilakukan oleh guru yang bergerak
dari rumah ke rumah bukan bermotifkan keuntungan. Katanya, biarpun ada yang
melabelkan khidmat mereka itu dengan tuduhan negatif, tetapi matlamat utama
ialah untuk menyebarkan ilmu al-Quran kepada setiap umat Islam terutama
generasi muda.
“Ada segelintir
pihak yang menuduh orang seperti kami ini mengambil kesempatan dengan
meletakkan harga yang mahal.
“Tetapi bagi
saya keikhlasan itu jauh lebih utama. Soal kadar bayaran itu jatuh kemudian
kerana niat kita ialah untuk umat Islam menguasai al-Quran sebagaimana yang
diperintahkan Allah SWT,” tegas Ariff.
Katanya,
dikatakan mementingkan keuntungan semata-mata tentu mereka tidak sanggup
meredah hujan dan panas untuk mengajar.
“Kalau orang
kata saya ini pentingkan keuntungan semata-mata itu tidak elok kerana saya
bersama seorang teman turut menyediakan kelas mengaji di Taman Impian Ehsan,
Balakong, enam kali seminggu kecuali hari Khamis. Kelas diadakan selepas
Maghrib,” katanya.
Menurutnya
itulah khidmat baktinya kepada mereka yang benar-benar ingin belajarn dan
mendalami pengajian al-Quran.
Sumber:
Utusan
Malaysian. Jumaat. 6 Apr 2012.
Write a comment
Catat Ulasan