Oleh MOHD. SHAH
CHE AHMAD
Gambar ABDUL
RAZAK LATIF
SETELAH hampir
11 bulan menahan penat dan lelah berulang alik ke sekolah serta bertungkus
lumus ‘mengadap’ buku untuk menghadapi peperiksaan, cuti sekolah merupakan saat
yang pastinya paling ditunggu-tunggu para pelajar.
Musim cuti
merupakan tempoh yang paling sesuai untuk melepaskan segala keletihan dan
tekanan yang telah dilalui di sekolah.
Sehinggakan,
terdapat segelintir pelajar yang sentiasa menghitung hari dan mengeluh apabila
melihat sesi persekolahan baru semakin hampir.
Namun, bagaimana
pula golongan tersebut menggunakan tempoh cuti yang panjang itu?
Adakah dipenuhi
dengan aktiviti yang bermanfaat atau sebaliknya?
Adakah sekadar
bermain bersama rakan-rakan, menghabiskan masa dengan berkurung dalam bilik
bermain komputer dan permainan video ataupun sekadar mengisi masa dengan tidur
sepanjang hari?
Apa yang
dibimbangi, masa yang terluang itu digunakan dengan melakukan aktiviti tidak
berfaedah seperti bergaul bersama kumpulan yang tidak bermoral, terpengaruh
dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kesan negatif.
Tetapi
sebenarnya bagaimana si anak menghabiskan masa cuti mereka terletak di tangan
ibu bapa sendiri.
Ibu bapa
memainkan peranan penting sebagai acuan yang mencorakkan masa depan anak-anak
mereka, sama ada ke arah yang baik atau sebaliknya.
Oleh itu, masa
yang terluang itu perlulah dimanfaatkan oleh ibu bapa dengan sebaiknya bagi
membentuk peribadi anak-anak dengan aktiviti yang membina dan bermotivasi.
Pelbagai
perancangan boleh direncanakan oleh ibu bapa kepada anak-anak sepanjang cuti
sekolah antaranya menghantar anak ke kem cuti sekolah.
Sejak
pertengahan tahun 90-an lagi kem musim cuti telah mula bergiat aktif oleh
pelbagai organisasi kerajaan mahupun swasta dengan menyediakan pelbagai jenis
pendekatan yang sesuai untuk penerimaan individu.
Benarlah seperti
yang dikata, hidayah Allah itu ada di mana sahaja dengan apa juga keadaan. Kem
cuti sekolah juga ternyata mampu memberikan kesan positif kepada peserta dalam
mencorakkan gaya hidup mereka positif.
Penganjur
program motivasi, Mohd. Nasir Rustam al-Hafiz berkata, ibu bapa pada masa kini
ramai yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga terlupa tanggungjawab kepada
keluarga dan anak-anak.
Katanya lagi,
perkara itu membuatkan anak-anak merasakan mereka kurang mendapat perhatian dan
kasih sayang daripada ibu bapa sehingga mendorong mereka terjebak dengan
aktiviti kurang sihat.
Oleh itu
jelasnya, dengan menyertai aktiviti kem musim panas yang dibimbing oleh
fasilitator yang berpengalaman, sedikit sebanyak peserta merasakan bahawa
mereka sentiasa diawasi dan diambil perhatian.
Secara tidak
langsung peserta mudah untuk menerima apa yang dipelajari selepas mendapat
kepercayaan daripada fasilitator masing-masing.
Mohd. Nasir yang
juga pengetua Tahsin Al-Quran Training Centre itu berkata, pihaknya menggunakan
pendekatan ala madrasah.
Kursus selama 14
hari yang dianjurkannya diyakini mampu memberikan perubahan dan sesuatu yang
baru kepada peserta.
“Pendekatan yang
kita lakukan dalam kursus ini adalah menggunakan kaedah sunnah Rasulullah SAW
dalam berdakwah iaitu menjadikan al-Quran sebagai asas panduan dalam
menyelesaikan segala masalah.
“Apabila kita
menghidupkan suasana kehidupan ala madrasah dengan memfokuskan pengisian
program kepada bacaan al-Quran, secara tidak langsung mukjizat yang terdapat
dalam setiap ayat al-Quran itu mampu mengubah dan menyelinap masuk ke dalam
diri seseorang,” katanya.
Beliau berkata
demikian ketika ditemui pada program itu di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu
Langat, baru-baru ini.
Seramai 130
peserta dari seluruh negara termasuk Singapura menyertai kem tersebut.
Antara pengisian
yang diadakan termasuk cabaran aktiviti luar dan permainan sukaneka untuk
mempersiapkan peserta dengan kekuatan dari segi mental dan fizikal seperti
fying fox, berakit, sukaneka dan sebagainya.
Ujarnya,
mengambil risiko menganjurkan kem paling lama yang belum pernah dilakukan
penganjur lain. Kursus ala tahfiz menjamin satu pengajaran baru kepada peserta.
“Kami percaya,
untuk membentuk peribadi seseorang bukan perkara yang mudah dan memerlukan masa
yang agak panjang.
“Oleh itu, kita
cuba mengambil risiko menganjurkan kem yang panjang iaitu selama 14 hari untuk
memastikan objektif utama kursus tercapai melalui perubahan peserta,” kata
Mohd. Nasir.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat.
23/12/2011.
Write a comment
Catat Ulasan