Oleh MOHD. SHAH
CHE AHMAD
Sabda Rasulullah
SAW menerusi hadis jelas menunjukkan kepada kita ganjaran yang Allah janjikan
kepada orang yang membaca al-Quran dan menghayatinya.
Ramai yang
beranggapan ketenangan boleh dicari dan mudah diperolehi seperti menikmati
keindahan semulajadi atau melawati kawasan yang indah dengan suasana yang
permai.
Namun, sejauh
mana ketenangan itu dikecapi dan berkekalan dalam diri seseorang, atau ia hanya
bersifat sementara.
Pendakwah bebas,
Asni Mansor berkata, ketenangan sebenar adalah apabila seseorang itu dapat
menikmati nikmat hidup tanpa dibelenggu perasaan keluh kesah.
Seseorang itu
belum dikatakan mendapat ketenangan sebenar jika sentiasa resah dan tidak
tenteram memikirkan masalah harian walaupun memiliki pelbagai kemewahan dan
kesenangan dunia.
Beliau berkata,
salah satu kaedah untuk mengecapi ketenangan itu adalah dengan mempelajari,
membaca dan menghayati al-Quran.
“Jiwa manusia
memerlukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai penyucian jiwa. Oleh itu,
mukjizat al-Quran merupakan sumber ketenangan sebenar yang mampu dikecapi oleh
setiap insan.
“Tanpa
ketenangan jiwa maka akan mengakibatkan berlakunya pelbagai keruntuhan akhlak,
perkembangan gejala sosial dan perbuatan tidak sihat dalam kalangan masyarakat
terutama golongan muda,” katanya ketika ditemui di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu
Langat, baru-baru ini.
Beliau berkata,
pendidikan al-Quran perlu diterapkan oleh setiap kanak-kanak bagi mendidik
mereka menjadi generasi al-Quran pada masa depan.
Tambahnya,
setelah hampir 11 bulan murid diberikan dengan pelbagai pendedahan ilmu
akademik, maka sedikit ruang perlu disediakan bagi memenuhi hati dan fikiran
dengan santapan nurani iaitu menggunakan ayat suci al-Quran.
“Hati dan jiwa
kita juga memerlukan sesuatu sebagai landasan penyucian rohani yang dapat
memberikan ketenangan. Dengan menghayati kalam Allah itu, secara tidak langsung
mampu membersihkan sifat buruk seseorang dan mengubah sikap mereka kepada lebih
baik,” katanya.
Seorang peserta
kem Tahsin al-Quran, Adib Fikri Jamil, 17, berkata, timbul satu perasaan dalam
dirinya yang sebelum ini belum pernah dirasakan apabila dapat memberi fokus
sepenuhnya kepada al-Quran.
“Sukar untuk
saya gambarkan perasaan ini, tetapi apa yang mampu saya katakan adalah jiwa
saya terasa tenang dan gembira apabila mengikuti kem ini yang menekankan
pendekatan ala madrasah.
“Tidak sangka,
kelapangan jiwa dan fikiran yang dianugerahkan ini membuatkan saya mampu
menghafal hampir sembilan juzuk selama dua minggu berada di kem Tahsin al-Quran
ini,” katanya.
Anak pertama
daripada empat adik beradik itu bercita-cita untuk menjadi tukang masak
profesional yang mengamalkan prinsip al-Quran dalam perniagaan dan masakan.
Bagi peserta
dari Singapura, Afiq Prasanto, 10, menyertai kem bermatlamatkan penguasaan
al-Quran menanamkan minatnya untuk mempelajari dan mengkaji al-Quran dengan
lebih mendalam.
“Jika sebelum
ini saya jarang membaca al-Quran kecuali pada masa tertentu seperti di sekolah
atau masa mengaji sahaja, tetapi dengan menyertai kem al-Quran, saya bertekad
untuk mempelajari dan mengkaji ayat-ayat al-Quran dengan mendalam.
“Ini kerana saya
ingin mengetahui segala rahsia al-Quran yang belum ditemui pada masa ini.
Walaupun pada mulanya saya menolak untuk menyertai kem ini, tetapi akhirnya
saya sungguh tertarik dan gembira,” katanya.
Anak muda yang
peramah itu menanamkan niat untuk memartabatkan pengajian al-Quran di Singapura
dan mengembangkan dakwah Islam agar lebih meluas diamalkan di seluruh negara
kelahirannya itu.
Sementara itu,
bagi Azrina Hidayah Azhar, 11, dia ingin menyambung kursus dan tidak mahu
meninggalkan kem kerana terlalu gembira walaupun sedih kali pertama menjejak
kaki di kem tersebut.
“Saya selalu
menangis sendirian dan meminta untuk dihantar pulang pada minggu pertama berada
di kem ini. Saya sangat sedih berjauhan dengan keluarga.
“Bagaimanapun,
lama kelamaan perasaan itu hilang sedikit-sedikit kerana terlalu seronok
mendapat ramai kawan baru, mempelajari al-Quran serta pengalaman baru di sini,”
katanya yang telah menyertai kem tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut.
Anak pertama
daripada dua orang adik beradik itu telah menghabiskan (khatam) bacaan al-Quran
sebanyak enam kali pada tahun ini dengan meluangkan banyak masa dalam kem
Tahsin al-Quran.
Nurul Asyiqin
Rasidi, 16, berkata, dia ingin membuktikan perubahan yang terbaik kepada ibu
bapanya dan menjadi contoh kepada keluarga.
“Dengan
menyertai kem ini, kini saya tahu kepentingan menunaikan solat, membaca
al-Quran dan mengamalkan sunah Nabi SAW.
“Walaupun kita
hanya berlumba-lumba mengejar dunia, tetapi ia belum menjamin kejayaan kita
jika tidak disertai dengan persiapan rohani dan memohon pertolongan daripada
Allah SWT,” katanya.
Pelajar Sekolah
Berasrama Penuh Integrasi Kuantan itu bersyukur kerana pilihan keluarganya
menghantar mengikuti kem tersebut merupakan pilihan terbaik yang mampu pelbagai
memberikan input positif kepadanya.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat.
23/12/2011.
Write a comment
Catat Ulasan