oleh
Ros Mahwati Ahmad Zakaria
Kurator
Muzium Kesenian Islam Malaysia
SESUNGGUHNYA
rumah yang mula-mula dibangun (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang
di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.
Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata (di antaranya ) Maqam Ibrahim; barang
siapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah
kewajipan manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan
perjalanan ke Baitullah; barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka
sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu dari alam semesta. (Ali-‘Imran:
96-97)
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ
لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ (٩٦) فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَنْ
دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ
سَبِيلا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (٩٧)
Kaabah
adalah binaan berbentuk kiub yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Ia
merupakan tempat beribadat manusia yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim.
Kaabah
juga dikenali dengan nama lain seperti Al Bait Al Ateeq (Rumah Lama) dan Bait
Al Haram (Rumah Suci). Umat Islam mengunjungi Kaabah bagi mengerjakan haji dan
umrah.
Selain
daripada bentuk Kaabah, satu lagi ciri tersendiri Kaabah adalah kain hitam yang
menyelubungi binaan ini. Ia diberi nama kiswah. Kiswah terdiri daripada beberapa
panel kain yang besar seperti panel kain hitam yang ditenun dengan kalimah
syahadah untuk setiap sisi Kaabah dan panel hitam bersulam teknik kelingkan
yang dibuat khas untuk bahagian pintu.
Mengikut
sejarah, kain kiswah yang pertama disediakan oleh seorang Raja Yamani pada
tahun 400 AD sebelum Islam. Ia diperbuat daripada serat daun palma yang ditenun
menjadi kain yang dikenali sebagai Zaaf al Nakheel.
Rekod
terawal yang menyebut tentang kain kiswah yang disediakan selepas Islam ialah
pada tahun 10 Hijrah dan Rasulullah SAW sendiri yang memasang kain kiswah
tersebut di atas Kaabah.
Selepas
itu, penghasilan kain kiswah telah dipertanggungjawabkan kepada wilayah Mesir
sewaktu pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab.
Pada
waktu ini kiswah diperbuat daripada sejenis kain tebal yang dikenali dengan
nama Gabaati.
Sewaktu
di bawah pemerintahan kerajaan Abbasiyah pada abad kelapan Masihi, Khalifah
Al-Mahdi pernah memerintahkan supaya lapisan kain kiswah lama yang masih tergantung
di Kaabah dibuka kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan kerosakan kepada
struktur Kaabah.
Daripada
segi warna, tiada pengkhususan warna yang ditetapkan bagi kiswah. Pada abad
kesembilan Masihi, kiswah diperbuat daripada kain berwarna merah.
Kemudian
sewaktu pemerintahan Salah Al Din daripada Kerajaan Ayyubiyah, warna kiswah
yang digunakan ialah hijau dan warna yang terakhir iaitu hitam mula digunakan
sewaktu pemerintahan Khalifah Nasir dari Kerajaan Abbasiyah.
Kain
kiswah hitam ditenun menggunakan benang sutera dan ia mempunyai motif kaligrafi
Arab yang mempunyai inskripsi kalimah syahadah. Ayat lain yang digunakan ialah
nama Allah dan puji-pujian bagi Allah SWT seperti Ya Hanan, Ya Manan,
Subhanallah wa bihamdih dan Allah Jallah.
Di
Muzium Kesenian Islam Malaysia terdapat kain sehelai panel kiswah bahagian
pintu yang bertarikh tahun 1964. Ia diperbuat daripada kain baldu berwarna
hitam dan disulam menggunakan teknik sulaman yang dikenali sebagai kelingkan di
Malaysia.
Panel
pintu ini menggunakan benang logam yang bersadur emas dan perak bagi menaikkan
warna hiasan dan mencantikkan lagi sulaman.
Antara
inskripsi yang terdapat di atas panel kiswah pintu Kaabah ini adalah
puji-pujian ke atas Allah SWT, beberapa potongan ayat dari beberapa surah al-Qurah
seperti surah al-Baqarah, al-Zumar, al-Fath, Ibrahim dan juga maklumat tentang
kilang yang menghasilkan kain kiswah pada tahun tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 4/11/2011.
Write a comment
Catat Ulasan