Tepak Sirih Dunia Islam Di Asia Tenggara


 
Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
(Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia)

SIRIH adalah sejenis tumbuhan renek yang memanjat dan mempunyai bentuk daun yang bujur. Daun sirih boleh dimakan dan amalan makan daun sirih ini telah menjadi tradisi di beberapa wilayah di Asia termasuk masyarakat Islam yang tinggal di Asia Tenggara.

Masyarakat Islam boleh ditemui di hampir kesemua wilayah Asia Tenggara seperti Thailand, Myanmar, Filipina dan terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

Daun sirih dikenali dengan pelbagai nama di seluruh Asia seperti paan (India), ikmo (Filipina), maluu (Myanmar) dan Pl? (Thai). Beberapa bahan lain turut dimakan bersama daun sirih tetapi ia berlainan di setiap wilayah di Asia.


Di Malaysia, daun sirih selalunya dimakan bersama sedikit kapur, gambir dan hirisan buah pinang. Di India terdapat pelbagai bahan dan perisa yang dimakan bersama daun sirih seperti serbuk tembakau, buah-buahan kering, kelopak bunga mawar, bunga cengkih dan rempah ratus yang lain.

Amalan tradisi memakan daun sirih sering boleh dilihat sewaktu menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah atau selepas makan. Ia juga sering dikaitkan dengan adat tradisional seperti majlis merisik atau pertunangan di Malaysia.

Selain itu, pemakanan daun sirih juga dikatakan boleh menyegarkan bau nafas. Ini bergantung kepada bahan yang digunakan bersama dengan daun sirih.

Amalan tradisi pemakanan daun sirih ini boleh dianggap istimewa di kalangan masyarakat Asia Tenggara berdasarkan kepada bekas yang dihasilkan bagi menyimpan daun sirih dan bahan-bahan lain yang digunakan. Ia mempunyai bentuk dan peralatan yang tersendiri untuk tujuan ini.

Seperti contoh, sejenis pemotong yang akan menghasilkan hirisan nipis buah pinang telah direka dan ia dikenali sebagai kacip di Malaysia.

Selain sebagai pemotong, kacip juga dilihat sebagai objek seni yang mempunyai rekaan yang menarik dan unik.

Kacip diperbuat daripada logam seperti besi dan tembaga. Ia sering dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kepala, badan dan ekor.

Bahagian kepala sering digayakan dengan ukiran bentuk kepala haiwan seperti burung ataupun kuda. Bahagian badan kacip mempunyai mata pisau yang boleh menghiris dan bahagian ekor merupakan tempat pemegang untuk mengacip.

Tepak sirih merupakan bekas khas yang direka untuk menyimpan sirih dan bahan perisa yang lain. Bagi tepak sirih yang digunakan di rumah, ia bersaiz kecil berbanding dengan tepak atau bekas sirih yang digunakan untuk majlis keramaian yang diadakan oleh ketua suku atau ketua masyarakat di sesuatu tempat.

Bagi kapur, buah pinang, gambir, bunga cengkih dan rempah ratus lain yang digunakan dalam amalan tradisi pemakanan daun sirih, ia disimpan dalam bekas berasingan supaya bau dan rasanya tidak bercampur sebelum ia dimakan bersama daun sirih.

Setiap satu bekas turut mempunyai penutup sendiri bagi mengelakkan ia terdedah dan menjamin kebersihan bahan-bahan tersebut. Para tetamu biasanya akan memilih dan menyediakan sendiri bahan perisa yang diingini.

Kadangkala, daun sirih akan disediakan lebih awal untuk dimakan sewaktu dalam perjalanan. Ia selalunya dilipat dengan kemas setelah semua bahan perisa yang dipilih diletakkan di atas daun sirih.

Daun sirih yang dilipat akan diletakkan di dalam bekas kecil untuk di makan ketika dalam perjalanan.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia terdapat tepak sirih yang diperbuat daripada pelbagai jenis logam dan bentuk dari beberapa wilayah Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Antara bentuk tepak sirih yang menarik yang dipamerkan adalah bentuk bunga teratai dan buah manggis. Kesemua tepak sirih ini dipamerkan di galeri Dunia Melayu.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 23/9/2011.



Write a comment