Set Kopi Dan Teh Dunia Islam


OLEH ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

AMALAN dan tradisi penyediaan minuman kopi dan teh di dunia Islam mempunyai pengaruh yang tersendiri ke atas penghasilan barangan kesenian Islam yang digunakan sewaktu penyediaan dan sewaktu ia dihidangkan.

Daripada cerek, teko, cawan dan bekas untuk menyimpan serbuk kopi dan teh, kesemuanya diberi sentuhan kesenian yang menarik dan berlainan berbanding perkakasan yang digunakan pada hari ini.

Kopi dan teh merupakan minuman yang sering dihidangkan kepada para tetamu. Melayan dan memuliakan tetamu merupakan amalan yang amat digalakkan dalam Islam.


Kopi sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang disebut qahwah. Ia sampai ke Barat melalui Turki. Kopi dan gula pernah dikategorikan sebagai rempah pada waktu dahulu.

Kopi merupakan salah satu minuman yang amat digemari di dunia ditemui oleh seorang lelaki Ethopia bernama Khaldi secara tidak sengaja apabila salah seekor ternakan kambingnya termakan sejenis buah liar ketika meragut. Buah tersebut adalah buah kopi.

Tanaman kopi begitu sinonim dengan Yemen yang merupakan sebuah wilayah Islam sebelum ia ditanam di tempat lain seperti di Amerika Selatan, Afrika Utara, India dan Asia Tenggara pada abad ke 19 Masihi.

Biji-biji kopi yang telah dipetik perlu dikeringkan dengan sepenuhnya dan seterusnya dimasak dan dikisar bagi menjadikan ia serbuk kopi dan mudah untuk digunakan. Selain penghasilan kopi untuk tujuan pasaran dan komersial, terdapat juga alat pengisar kopi yang digunakan bagi mengisar kopi bagi kegunaan keluarga.

Pengisar kopi keluarga selalunya mempunyai saiz yang kecil dan mudah untuk dikendalikan walaupun biji kopi yang dapat dikisar adalah terhad.

Salah satu cara penyediaan kopi yang terdapat di Asia Tengah adalah dengan memasukkan buah pelaga di dalam bancuhan air kopi yang telah dididihkan. Kopi yang dicampur dengan buah pelaga ini dihidangkan oleh masyarakat Badwi kepada tetamu.

Cawan yang digunakan bagi tujuan ini selalunya bersaiz kecil kerana cawan tetamu akan diisi semula sebanyak tiga kali. Isian kali ketiga merupakan isyarat yang mempunyai maksud tersirat kepada tetamu iaitu ia adalah isian yang terakhir dan tetamu tersebut perlu beredar.

Di Asia Tengah seperti di Morocco, Mesir, dan Iran hidangan teh sebenarnya dihidangkan di dalam gelas kecil tidak seperti hari ini ia dihidangkan di dalam cawan.

Teh sering dihidangkan di dalam teko yang mempunyai bentuk yang menarik seperti bahagian badan yang berbentuk bundar, leher teko yang berbentuk silinder dan muncung yang panjang.

Cara menuang teh dengan tahap ketinggian tertentu ke dalam gelas juga dikatakan boleh mempengaruhi rasa teh supaya ia lebih harum dan rasa teh yang lebih kuat.

Di Maghribi, amalan meminum teh sepanjang hari dipercayai boleh membantu proses penghadaman makanan.

Bagi memastikan teh yang disediakan masih panas untuk para tetamu, bancuhan teh diletakkan di dalam sebuah bekas segi empat berpenutup.

Ia mempunyai ruang di bahagian tengah untuk meletakkan bekas bancuhan teh. Bekas ini kelihatan direka khas dalam gaya yang mewah dan dihias menggunakan gading dan lakaran berpengaruh Parsi.

Terdapat pelbagai kualiti daun teh bergantung kepada cara penyimpanannya. Oleh itu, serbuk teh disimpan di dalam bekas khas bagi menjaga kualitinya kerana teh dinilai berdasarkan baunya yang harum dan rasanya yang enak.

Sebagai contoh terdapat serbuk daun teh yang mempunyai rasa yang lebih enak jika disimpan lebih lama dengan betul dan terdapat juga serbuk daun teh yang akan rosak jika ia disimpan melebihi satu tahun.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) terdapat bekas simpanan teh yang diperbuat daripada perak yang mempunyai reka bentuk yang cantik dan gaya yang mewah.

Perkakasan teh ini boleh dilihat di beberapa galeri seperti Galeri Gaya Hidup, Galeri India dan Galeri Kerja Logam MKIM di Jalan Lembah Perdana Kuala Lumpur.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 16/9/2011.

Write a comment