Oleh
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Allah
SWT telah menjelaskan keajaiban qudrah-Nya kepada orang musyrik dalam bentuk
burung yang mereka saksikan. Allah SWT turut mencela mereka kerana tidak mahu
memikirkannya.
Lalu
Allah SWT menambah celaan-Nya kepada mereka lantaran menyembah selain Allah SWT
untuk mencari pertolongan dan rezeki. Allah SWT mengingkari kepercayaan mereka
dan menjelaskan mereka tidak akan sampai kepada apa yang mereka inginkan.
Justeru,
mereka hendaklah memerhatikan pembela, penolong dan pemberi rezeki ini ketika
Dia menahan air hujan (daripada turun ke bumi). Kebenaran telah tampak jelas
bagi orang yang mempunyai mata meskipun mereka tetap berdegil dan ingkar
setelah segala hujah dijelaskan.
Kemudian
Allah SWT memberi contoh yang menjelaskan perihal orang musyrik dan orang yang
bertauhid. Keadaan orang musyrik diumpamakan seperti keadaan orang yang
berjalan ke hadapan dengan mendongak sehingga dia tidak mengetahui arah
perjalanan sehingga menimbulkan kesesatan.
Keadaan
orang yang bertauhid pula diumpamakan seperti keadaan orang yang berjalan
dengan tegak di jalan yang jelas sehingga dia dapat melihat apa yang ada di
hadapannya dan sampai kepada apa yang diingininya. Kemudian Dia mengakhirkan
penjelasan ini dengan menyebut pula bukti-bukti tentang keunikan uluhiah-Nya.
Dia
menyebut perihal penciptaan manusia di bumi dan pengurniaan-Nya dalam bentuk
nikmat pendengaran dan penglihatan kepada manusia. Dia menunjukkan hanya
sedikit sahaja manusia yang mensyukuri nikmat-Nya ini.
Seterusnya
ia diikuti dengan menyebutkan pertanyaan orang musyrik kepada Rasulullah SAW
tentang bilakah waktu kebangkitan itu. Ini sebagai penghinaan terhadap Baginda
SAW dan jawapannya kepada mereka iaitu ilmu tentang kebangkitan ada di sisi
Allah SWT.
Baginda
SAW tidak mengetahuinya sedikit pun kerana baginda hanya pemberi peringatan dan
memberi penjelasan. Disebutkan pula ketika kiamat berlaku, dan setelah orang
musyrik mengetahui dekatnya kejadian yang mereka ingkari itu lalu wajah mereka
segera ditutupi debu dan dilapisi kegelapan.
Dikatakan
kepada mereka: Apa yang dahulu kamu minta supaya disegerakan kini telah berlaku
dan tidak dapat dielak lagi. Jadi apakah yang ingin kamu lakukan?
Firman
Allah SWT: Atau siapakah dia yang menjadi tentera bagimu yang akan menolongmu
selain daripada Allah yang Maha Pemurah? Orang-orang kafir itu tidak lain
hanyalah dalam (keadaan) tertipu. Atau siapakah dia yang memberi kamu rezeki
jika Allah menahan rezeki-Nya? Sebenarnya mereka terus menerus dalam
kesombongan dan menjauhkan diri? Maka apakah orang yang berjalan terjungkal di
atas mukanya itu lebih banyak mendapatkan petunjuk ataukah orang yang berjalan
tegap di atas jalan yang lurus?
أَمْ مَنْ هَذَا الَّذِي هُوَ جُنْدٌ لَكُمْ يَنْصُرُكُمْ
مِنْ دُونِ الرَّحْمَنِ إِنِ الْكَافِرُونَ إِلا فِي غُرُورٍ (٢٠) أَمْ مَنْ هَذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ
رِزْقَهُ بَلْ لَجُّوا فِي عُتُوٍّ وَنُفُورٍ (٢١) أَفَمَنْ يَمْشِي مُكِبًّا عَلَى وَجْهِهِ أَهْدَى أَمْ مَنْ يَمْشِي سَوِيًّا
عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (٢٢) سورة الملك
Ibn
Kathir berkata: Orang musyrik telah syirik kepada Allah sehingga menyembah
tuhan yang lain. Mereka mohon dengan sekutu mereka kemenangan dan rezeki
sedangkan Allah mengingkari perbuatan mereka yang bahawa tiada penolong hakiki
kecuali Allah.
Sayid
Qutub berkata: Gambaran yang pertama adalah gambaran manusia celaka, malang dan
sesat dari jalan Allah dan diharamkan daripada hidayah-Nya.
Itulah
gambaran manusia yang bercanggah dengan undang-undang Allah dan bercanggah
dengan semua makhluk-Nya. Dia bertentangan dengan mereka dalam perjalanannya.
Dia mengambil jalan yang berlainan dari jalan mereka.
Dia
sentiasa rebah, tergelincir, penat dan sesat. Gambaran yang kedua ialah
gambaran manusia yang bahagia, bernasib baik, yang mendapat hidayah ke jalan
Allah dan menikmatinya. Dia berjalan mengikut undang-undang Allah di lebuh raya
yang lapang dan luas yang dilalui orang-orang mukmin yang menjunjung keimanan,
tahmid dan tamjid.
Ciri-ciri
kehidupan itu adalah mudah, lurus dan bermatlamat sedangkan ciri kehidupan
kekufuran itu sukar, gelincir dan sesat.
Manakah
di antara kedua manusia ini yang lebih mendapat hidayah? Pertanyaan ini tidak
memerlukan jawapan. Ia merupakan pertanyaan untuk menegakkan kebenaran dan
mengakuinya.
Persoalan
dan kemusykilan itu menghilang dan yang kelihatan di hati adalah pemandangan
manusia yang berjalan di atas muka mereka atau manusia yang tersembam di tengah
jalan.
Mereka
berjalan tanpa hala tuju dan manusia yang berjalan dengan kepala yang tegak ke
atas dan dengan hayunan langkah yang lurus menuju matlamat yang telah ditentukan.
Itulah cara al-Quran mendedahkan hakikat dan menjelaskan kehidupan dalam bentuk
gambaran.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 26/8/2011.
Write a comment
Catat Ulasan