Oleh
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SURAH
ini termasuk dalam Surah Makiyyah (سور المكية). Inilah pendapat
Ibn Abbas, al-Hasan, Ata’, Ikrimah dan Jabir. Sedangkan mengikut riwayat yang
lain daripada Ibn Abbas dan Qatadah bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyah (سور المدينة).
Ibn
al-Jauzi (ابن الجوزي) berkata: Pendapat ini lebih kuat daripada yang pertama. Ia
mengandungi lima ayat dan diturunkan selepas surah al-Fil (سورة الفيل).
Firman
Allah SWT: Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh.
قُلْ
أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (١)
Al-Mawardi
(الماوردي) berkata: Surah ini dimulakan dengan qul yang membawa maksud
katakanlah kerana Allah telah perintahkan nabi-Nya berkata demikian.
Ibn
al-Jauzi (ابن الجوزي) menyebut
enam pendapat berkenaan tafsir al-Falaq:
1.
Ia adalah waktu Subuh seperti pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Sa’id bin Jubair,
Qatadah, al-Qurazi dan Ibn Zaid.
2.
Ia adalah makhluk semuanya.
3.
Ia adalah penjara dalam neraka jahanam seperti pendapat Ibn Abbas juga dan
Wahab serta Suddi yang menafsirkan telaga dalam neraka jahanam atau lembah
dalam neraka jahanam.
4.
Pohon kayu dalam neraka seperti pendapat Abdullah Ibn Umar.
5.
Setiap yang terbelah daripada sesuatu seperti cahaya Subuh, benih yang tumbuh
daripada bijian. Inilah pendapat al-Hasan.
6.
Satu nama daripada neraka jahanam. Inilah pendapat Abu Abdul Rahman Abdullah
bin Yazid al-Habali.
Sayid
Qutub (سيد قطب) berkata: Sama ada dipakai dengan pengertian: Aku pohon
perlindungan pada Tuhan yang menjadi waktu pagi yang memberi keamanan dengan
cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi atau dipakai
dengan pengertian Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh
makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk.
Oleh
itu kedua-dua pengertian ini sesuai dengan ayat-ayat yang kemudian.
Firman
Allah SWT: Dari kejahatan makhluk-Nya.
مِنْ
شَرِّ مَا خَلَقَ (٢)
Berkenaan
dengan ayat ini ada tiga pendapat:
1.
Ia adalah umum. Inilah pendapat yang azhar.
2.
Ia adalah semua kejahatan yang diciptakan seperti Iblis dan zuriatnya. Inilah
pendapat al-Hasan.
3.
Neraka jahanam. Inilah pendapat al-Mawardi.
Al-Maraghi
(المراغي) berkata: Aku berlindung, memohon pelindung kepada zat yang menjadi
Tuhan semua makhluk, pencipta segala yang ada dari segala penyakit dan
keburukan yang menimpaku antara salah satu makhluk daripada makhluk-makhluk
seluruhnya.
Kemudian
disebutkan secara khusus sebahagian makhluk yang banyak mendatangkan bencana,
lalu memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada kejahatan mereka dan
menolak bencana yang ditimbulkan olehnya.
Firman
Allah SWT: Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita.
وَمِنْ
شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (٣)
Maksud
ayat ini pada perkataan ghasiq ada empat pendapat:
1.
Matahari apabila tenggelam. Inilah pendapat Ibn Shihab.
2.
Bulan apabila ditutupi awan.
3.
Bintang thuraya apabila jatuh.
4.
Malam yang berlabuh kerana pada waktu itu keluarnya binatang buas dan serangga.
Begitu juga penjahat berkeliaran pada waktu itu. Inilah pendapat Ibn Abbas,
al-Dahhak, al-Suddi dan lain-lain.
Al-Maraghi
(المراغي) berkata: Iaitu daripada kegelapan malam ketika malam itu
datang dan menutup segala sesuatu dengan kegelapannya.
Malam
hari gelap-gelita itu mengerikan dan menimbulkan ketakutan kerana kegelapan
malam menjadi tempat berlindung bagi orang jahat ketika bermaksud jahat dan
kegelapan malam menolong bagi musuh.
Firman
Allah SWT: Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus
pada buhul-buhul.
وَمِنْ
شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (٤)
Al-Imam
Muhammad Abduh (محمد عبده) berkata: Dalam masalah ini, terdapat banyak hadis yang
menerangkan bahawa baginda pernah disihir oleh Labid Ibn al-A'sam. Sihir itu
telah berjaya mempengaruhi (meresapi) diri baginda, sehingga mengkhayalkan
baginda dan menyebabkan baginda seolah-olah melakukan sesuatu padahal baginda
tidak melakukannya, atau baginda seperti mendatangi sesuatu, sedangkan Baginda
tidak mendatanginya.
Kemudian,
Allah SWT menjelaskan kepadanya hal itu, seterusnya bahan sihir itu dikeluarkan
daripada sebuah perigi. Setelah itu barulah Rasulullah SAW sembuh daripada
penderitaannya dan diturunkan surah ini.
Sudah
tentu pengaruh sihir terhadap Nabi Muhammad SAW itu menyentuh akan dan
mempengaruhi rohani Baginda. Jika demikian, benarlah kata-kata kaum Musyrikin
tentang Baginda itu sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Kamu tidak menurut
melainkan seorang yang kena sihir. (al-Israk: 47)
نَحْنُ
أَعْلَمُ بِمَا يَسْتَمِعُونَ بِهِ إِذْ يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ وَإِذْ هُمْ نَجْوَى
إِذْ يَقُولُ الظَّالِمُونَ إِنْ تَتَّبِعُونَ إِلا رَجُلا مَسْحُورًا (٤٧)
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 29/7/2011.
Write a comment
Catat Ulasan