Oleh:
KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
TOKOH
seni lagu Quran ini memang terkenal di seantero dunia Islam. Beliau amat
berpengaruh di kalangan pembaca al-Quran era selepasnya. Rakaman 30 juzuk
al-Quran masih lagi dialunkan. Individu yang dimaksudkan ialah Sheikh Abdul
Basit Abdul Samad (عبد الباسط عبد الصمد).
Anak
kelahiran Mesir pada tahun 1927 mendapat pendidikan al-Quran dan berjaya
menghafalnya pada usia 10 tahun melalui gurunya Sheikh Amer (الشيخ عامر).
Bakat
dan kepintaran Sheikh Abdul Basit menarik perhatian Sheikh Amer. Dalam sesi
pengajarannya, Sheikh Amer amat mengambil berat tentang makhraj huruf (مخارج الحروف), waqf
ibtida (الوقف والابتداء) dan alunan suara yang bersesuaian dengan ayat. Mengikut
firasatnya, Sheikh Abdul Basit mempunyai masa depan yang gemilang bersama
al-Quran.
Bagi
melengkapkan lagi ilmu al-Quran, Sheikh Abdul Basit mengikuti kelas tajwid,
qiraat dan ulum al-Quran daripada Sheikh Muhammad Salem Hamadah (الشيخ سليم حمادة).
Semasa
talaqqi qiraat, beliau telah menghafaz Matn Syatibiyyah. Hobinya membaca
al-Quran secara tarannum di sepanjang hari telah menjadikan beliau terkenal di
kampungnya.
Banyak
pihak meminta Syeikh Abdul Basit membaca al-Quran dalam majlis. Namanya
melonjak naik di kalangan masyarakat dan terkenal dengan cepat.
Pada
tahun 1950, Sheikh Abdul Basit menghadiri satu majlis di Kaherah yang dihadiri
Qurra terkenal seperti Sheikh Abdul Fattah Sha’sha’ (عبد الفتاح الشعشع), Sheikh
Mustafa Ismail (مصطفى إسماعيل), Sheikh Abdul Azeem Zahir (عبد العظيم ظاهر) di Masjid
Sayyidah Nafesah (مسجد السيدة النفيسة).
Kesemua
Qurra ini adalah idola Sheikh Abdul Basit. Setelah beberapa ketika, saudaranya
meminta penganjur memberi masa 10 minit kepada Sheikh Abdul Basit
memperdengarkan bacaannya.
Ruang
solat di Masjid Sayyidah Nafesah penuh sesak dengan pendengar yang setia
menunggu bacaan qari yang terkenal. Selepas mendapat keizinan, Sheikh Abdul
Basit mula mengalunkan bacaan surah al-Ahzab dengan suaranya yang lunak dan
menarik.
Minit-minit
awalnya, seluruh pendengar senyap sunyi dengan memberi perhatian kepada
bacaannya. Beberapa ketika, kesunyian bertukar dengar laungan takbir dan doa
untuk beliau.
Masa
yang diberi kepadanya yang pada awalnya 10 minit dilanjutkan.
Ekoran
itu, nama Sheikh Abdul Basit terkenal di Mesir. Kehebatan suaranya membaca
al-Quran mendapat tawaran Radio Mesir melalui keizinan guru al-Quran terkenal
ketika itu Sheikh Ali Dabba’ (الشيخ علي الضباع). Pengaruhnya amat kuat,
sehingga diceritakan ramai yang mula membeli radio semata-mata hendak mendengar
bacaan Sheikh Abdul Basit.
Sheikh
Abdul Basit menjadi qari rasmi di Masjid Imam Syafie selama 15 tahun. Kemudian
berpindah ke Masjid Husein ekoran kematian qarinya Sheikh Mahmud Ali al-Banna (محمود علي البناء).
Beliau
bertugas di Masjid Husein selama tiga tahun dan bacaan terakhirnya adalah pada
18 November 1988.
Antara
jutaan peminatnya adalah Sheikh Mahmud Sayyid Tantawi (الشيخ محمود السيد طنطاوي) iaitu bekas Sheikh al-Azhar.
Menceritakan
hubungan dan kekagumannya terhadap Sheikh Abdul Basit, Tantawi berkata: “Semasa
saya masih lagi pelajar, saya selalu bersama radio pada hari Sabtu untuk
mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit. Dan hari tersebut dianggap sebagai ‘hari
raya’ bagi kami.
“Kemudian
Allah SWT mentakdirkan kami menjadi sahabat dan beliau seorang yang mempunyai
banyak maklumat. Secara jelasnya beliau guru yang hebat dalam tajwid dan
makhraj, raut wajahnya ceria, suka kepada kebajikan dan memiliki karakter yang
menarik.”
Selepas
menjadi khadam al-Quran dan berkhidmat untuknya, Sheikh Abdul Basit meninggal
dunia pada 30 November 1988 pada usia 62 tahun.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 17/8/2011.
Write a comment
Catat Ulasan