Oleh
ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
PERMAIDANI
merupakan satu barangan kesenian Islam yang cukup terkenal. Sebelum kedatangan
Islam, masyarakat Badwi yang menternak kambing biri-biri di Asia Barat telah
menghasilkan sejenis tekstil dengan permukaan yang mempunyai simpulan benang.
Namun,
disebabkan oleh penggunaan harian yang lasak, kebanyakan permaidani yang
dihasilkan sebelum abad ke 19 Masihi tidak dapat bertahan sehingga ke hari ini.
Antara
permaidani dunia Islam terawal yang ditemui adalah awal abad ke-14 Masihi yang
ditemui pada tahun 1903 di dalam masjid Ala al-Din di Konya, Anatolia.
Kumpulan
permaidani ini dikenali sebagai Permaidani Konya yang ditemui di bawah lapisan
beberapa permaidani yang digunakan di dewan sembahyang masjid tersebut.
Ini
membuktikan permaidani yang diwakafkan tidak dibuang tetapi dilapiskan dengan
yang baru setiap tahun.
Permaidani
yang ditemui dihasilkan untuk kegunaan harian dengan simpulan benang bentuk
simetri. Ia menggunakan pilihan warna terang yang terhad seperti merah tua,
biru tua, kuning, coklat dan warna putih gading.
Para
pengkaji menjalankan proses pentarikhan dan mendapati kumpulan permaidani itu
dihasilkan pada zaman pemerintahan Sultan Seljuk di Konya pada abad ke 12 - 13
Masihi.
Daripada
segi hiasan, permaidani ini menggunakan motif hiasan yang terdapat di atas
tektil sutera yang dihasilkan sewaktu pemerintahan Dinasti Yuan yang memerintah
pada bad ke 13 - 14 Masihi. Motif hiasan inilah yang digunakan oleh para
pengkaji dalam proses pentarikhan permaidani.
Pada
pertengahan abad ke 15 Masihi, para pembuat permaidani di Anatolia menghasilkan
satu rekaan permaidani bercorak besar yang dikenali sebagai permaidani Holbein.
Permaidani jenis ini adalah untuk diekspot ke negara Eropah yang berjiran
dengan Anatolia.
Permaidani
Holbein mempunyai gaya simpulan yang menggunakan benang bulu berwarna terang
seperti merah bata, putih, kuning, biru, hijau, coklat dan hitam. Permaidani
ini mendapat namanya kerana ia sering digunakan oleh pelukis Hans Holbein di
dalam lukisannya.
Selain
permaidani yang dihasilkan di Anatolia, satu lagi jenis permaidani dunia Islam
yang dikenali ialah permaidani Mamluk. Ia dikenali kerana corak hiasan di
bahagian tengah yang rumit serta menggunakan warna seperti merah, hijau, biru
dan kuning yang dikelilingi dengan corak medalion berbentuk oktagon yang besar.
Secara
keseluruhannya permaidani ini menggunakan motif hiasan geometri. Permaidani
Mamluk juga diperbuat menggunakan benang bulu.
Di
Iran, sewaktu di bawah pemerintahan Safavid, pembuatan permaidani menjadi salah
satu industri yang menyumbangkan pendapatan utama kepada rakyatnya pada abad
ke-16 Masihi. Pada masa itu permaidani diangkat menjadi barangan kesenian dan
bukan lagi barangan harian biasa seperti permaidani yang dihasilkan oleh
masyarakat Badwi sebelumnya.
Permaidani
yang dihasilkan pada waktu tersebut melalui satu proses yang terancang. Tidak
seperti penghasilan permaidani secara tradisioal yang berasaskan motif hiasan
yang diwarisi dan dihafal oleh pembuat permaidani, motif hiasan bagi permaidani
Dinasti Safavid dilukis di atas kertas terlebih dahulu sebelum kerja-kerja
penyimpulan benang dijalankan.
Di
bawah pemerintahan Sultan Abbas I, permaidani merupakan komoditi utama Dinasti
Safavid yang dihasilkan untuk dijual sama ada keluar atau di gunakan di dalam
wilayah Safavid. Hiasan motif figura menjadi pilihan utama golongan istana dan
ia terus mendominasi industri pembuatan permaidani berbanding motif hiasan
flora.
Permaidani
ini diberi nama ‘olanaise kerana sewaktu ia pertama kali dipamerkan di Paris
pada tahun 1878 ia mempunyai jata kebesaran yang mempamerkan gambar beruang
yang dipercayai dimiliki oleh keluarga berketurunan Poland yang kemudiannya
dikenal pasti sebagai jata milik Sigismund Wasa III, yang merupakan raja Poland
pada tahun 1602.
Satu
lagi wilayah Islam yang menghasilkan permaidani adalah wilayah Islam yang
terletak di Afrika Utara. Terdapat rekod bahawa permaidani yang dihasilkan di
Afrika Utara dihantar sebagai ufti kepada pemerintah Dinasti Abbasid di Baghdad
pada abad ke 9 Masihi. Salah satu wilayah Afrika Utara yang menghasilkan
permaidani adalah Marakesh.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 19/8/2011.
Write a comment
Catat Ulasan