Oleh
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ALLAH
SWT menyebut tentang api neraka yang menyala-nyala disediakan khas untuk orang
kafir dengan menyifatkan neraka itu dengan gambaran yang terlalu takut
kepadanya, sehinggakan kanak-kanak menjadi beruban.
Seterusnya
Allah meneruskan khabar-Nya dengan menakut-nakutkan dan mengancam mereka bahawa
mereka tidak akan selamat daripada seksaan yang menimpa mereka di dunia
sebagaimana yang telah menimpa orang yang mendustakan para rasul sebelum
mereka.
Contoh
seksaan: Bumi yang bergoncang kuat, ribut taufan yang membinasakan tanaman dan
ternakan, sehinggakan tidak ada lagi orang yang tertinggal dan menyalakan api.
Kemudian, Allah SWT memberikan pelbagai contoh ujian dan cubaan yang telah
menimpa umat sebelum mereka kepada mereka.
Kaum
Thamud (قوم ثمود) dibinasakan dengan panahan petir yang memusnahkan mereka. Kaum
Ad (قوم عاد) dibinasakan dengan angin yang amat sejuk dan kencang yang
dikenakan kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus menerus.
Firaun
dan kaumnya pula dibinasakan dengan cara ditenggelamkan ke Laut Merah.
Seterusnya Allah SWT menarik perhatian mereka ke arah kudrat-Nya yang memaksa
dan kurniaan-Nya yang besar terhadap sekelian hamba-Nya.
Mereka
diminta melihat burung yang kadang-kadang mengembangkan sayapnya di udara dan
kadang-kadang mengatupkannya kerana dimudah dan diajarkan oleh Allah SWT apa
yang diperlukannya.
Firman
Allah SWT: Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit
bahawa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan
tiba-tiba bumi itu bergoncang?
أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ (١٦)
Ibn
Abbas berkata: “Adakah kamu merasa aman azab Allah yang menguasai seluruh
langit.”
Muqatil
berkata: “Ia memberi maksud bagaimana bumi yang di bawah akan dinaikkan ke atas
untuk mengikut kamu.”
Ibn
Kathir berkata: “Allah bersifat Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya. Dan Dia
mampu untuk menyeksa mereka dengan sebab kekufuran mereka dan juga maksiat yang
telah dilakukan oleh mereka. Akan tetapi kerana sifat rahmat dan kasih
sayang-Nya terhadap makhluk maka Dia memaafkannya atau menangguhkan seksaan agar
mereka bertaubat.”
Al-Sabuni
(الصابوني) berkata: “Adakah kamu merasa aman dan selamat hai masyarakat
yang ingkar perintah Tuhan-Mu yang bersifat Maha Tinggi lagi Agung daripada
hukumannya yang boleh meranapkan kamu di dunia ini sehingga ke dalam bumi
selepas ia menjadikan kamu menguasai penjuru bumi untuk berjalan, berkelana dan
mencari rezeki.”
Firman
Allah SWT: Atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di
langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan
mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?
أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي
السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ
(١٧)
Al-Sabuni
berkata: “Apakah kamu merasa aman daripada hukuman Allah Yang Maha Tinggi lagi
perkasa dimana Dia boleh menghantar batu, merejam kamu daripada langit
sebagaimana dilakukannya kepada kaum Luth dan tentera bergajah.”
Maka
ketika itu kamu pasti mengetahui secara nyata dan jelasnya azab Allah SWT
bagaimana peringatan yang Aku memberi ancaman kepada kamu dan telah menghukum
golongan pendusta. Ini merupakan satu ancaman dan amaran yang amat keras.
Ibn
Kathir menyebut: “Allah berkuasa mengutuskan ribut taufan dan angin yang
kencang berserta dengannya batu-batu kerikil yang akan memusnahkan kamu.”
Firman
Allah SWT: Dan sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan
(rasul-rasul-Nya). Maka alangkah hebatnya kemurkaan-Ku.
وَلَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ
مِنْ قَبْلِهِمْ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ (١٨)
Ibn
Kathir berkata: “Di mana terdapatnya mereka yang telah ingkar di kalangan
umat-umat yang terdahulu sedangkan hukuman-Ku amat dahsyat.”
Al-Sabuni
berpendapat: “Orang-orang kafir pada zaman dahulu telah mengingkari rasul-rasul
mereka. Ini seperti kaum Nuh, kaum ‘Ad, Kaum Samud dan seumpamanya. Mereka
semua mengingkari kepada utusan Allah. Ini merupakan satu bentuk menghiburkan
Rasulullah SAW dengan apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin.”
Ingatlah
apa yang diberi amaran terhadap mereka, pasti akan terkena ke atas mereka jika
mereka tidak mengambil iktibar dan peringatan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 19/8/2011.
Write a comment
Catat Ulasan