Motif Hiasan Bagi Barangan Seramik Iznik Diraja (Bahagian 2)


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA


Seni barangan seramik Islam Iznik berkembang di Turki terutamanya sewaktu pemerintahan Sultan Sulayman yang memerintah pada tahun 1520 - 1566 Masihi.

Bagi barangan seramik Iznik, terdapat sebuah bengkel diraja yang diberi tugas mencipta motif hiasan yang diperlukan bagi bangunan yang dibina oleh pemerintah Empayar Uthmaniyah.

Motif hiasan yang telah diperkenankan oleh sultan akan dihantar ke bengkel membuat barangan seramik di Iznik untuk dihasilkan.

Salah satu bengkel diraja yang terkenal dalam penghasilan motif hiasan barangan seramik Iznik ialah Nakkashane.

Bengkel ini telah menghasilkan banyak lukisan motif hiasan bagi barangan seramik, barangan logam dan tekstil untuk kegunaan istana.

Motif hiasan yang menjadi pilihan dan mendominasi kebanyakan barangan seni yang dihasilkan ialah motif bunga. Bagi barangan seramik Iznik, dua jenis motif yang dikategorikan sebagai motif diraja ialah motif Baba Nakkas dan Lingkaran Tughra.

Lakaran hiasan motif ini dihasilkan oleh pelukis yang bekerja di bengkel diraja dan barangan yang dihasilkan digunakan di dalam kawasan istana.

Baba Nakkas ialah nama seorang pelukis mahir yang bermaksud 'Bapa Pereka'.

Beliau menghasilkan rekaan motif jalinan arabesque yang dikenali sebagai 'Rumi' dan olahan motif bunga yang dikenali sebagai ‘Hatayi’.

Gaya motif hiasan ini berkembang dalam tiga fasa dari abad ke 15 hingga abad ke 16 Masihi. Fasa pertama bermula sewaktu zaman pemerintahan Sultan Mehmed pada tahun 1451-1481 Masihi. Motif hiasan Rumi dan Hatayi dilukis berlatarkan warna biru kobalt.

Rekaan corak dan penggunaan warna yang cair pada bahagian tepi corak arabesque menghasilkan lukisan tiga dimensi.

Fasa kedua ialah sewaktu pemerintahan Sultan Bayezid II yang bermula pada tahun 1481 Masihi. Bermula dengan revolusi motif hiasan manuskrip yang lebih menarik dan berwarna-warni, ia turut mempengaruhi motif hiasan seramik Iznik.

Pembuat seramik Iznik masih mengekalkan penggunaan latar berwarna biru walaupun warnanya semakin lembut.

Penggunaan warna putih juga semakin banyak digunakan sebagai kontras ataupun sebagai ruang untuk sepuhan emas.

Dua jenis motif hiasan baru yang diperkenal dalam fasa ini ialah jalinan motif seperti tali dan juga awan larat Cina daripada pengaruh seramik biru putih China. Dua motif baru ini mengakibatkan pengurangan penggunaan motif arabesque.

Penggunaan motif barangan seramik China juga sebagai kesan langsung daripada penggunaan barangan seramik Dinasti Ming yang menjadi pilihan Sultan dan Sultanah Empayar Uthmaniyah.

Sebab utama yang menjadikan barangan seramik Dinasti Ming pilihan bagi kegunaan sultan dan sultanah ialah kerana ia dipercayai boleh mengesan kehadiran racun yang diletakkan di dalam makanan dengan bertukar warna.

Fasa ketiga bermula sewaktu pemerintahan Sultan Selim yang memerintah pada tahun 1512 -1520 Masihi. Baginda membeli barangan seramik Ming dalam kuantiti yang banyak dan ini telah mengakibatkan fenomena baru dalam industri seramik Iznik.

Pembuat barangan seramik Iznik telah menggunakan satu lagi motif baru yang diadaptasi daripada China iaitu bunga teratai.

Sultan Selim juga membawa masuk seorang seniman daripada Tabriz yang bernama Shahkulu. Beliau yang mempunyai pengalaman yang luas, bakat dan kemahiran dari dua empayar iaitu empayar Timur dan empayar Turkoman telah mencipta satu lagi jenis motif yang menjadi kegemaran istana iaitu daun saz.

Motif daun saz berbentuk seperti sehelai daun yan panjang dan mempunyai bahagian sisi yang bergerigi. Ia juga kelihatan seperti olahan bentuk bulu pelepah burung.

Satu lagi motif hiasan diraja dikenali sebagai motif 'tughra'. Motif ini diperkenalkan sewaktu pemerintahan Sultan Sulayman 1 selepas Sultan Selim.

Di bawah pemerintahan baginda, kreativiti kesenian Islam Dinasti Uthmaniyah berada di tahap yang maksimum.

Lingkaran berpusar sulur daun berbunga kecil yang terdapat di atas dokumen rasmi kerajaan diadaptasikan ke atas barangan seramik. Motif ini diberi nama Golden Horn bersempena nama sebuah teluk di Istanbul.

Motif ini juga diberi nama ‘tughra’ kerana ia digunakan di atas dokumen kerajaan yang mempunyai tughra atau tanda tangan sultan.

Selain daripada motif hiasan di atas, motif bunga tempatan Turki yang sering digunakan ialah tulip, ros dan teluki atau carnation.

Secara amnya, motif hiasan barangan seramik yang dihasilkan di Iznik menggunakan motif hiasan istana yang berasaskan flora, geometri, arabesque dan kaligrafi. Ini kerana pembuat barangan seramik di Iznik tertakluk di bawah perintah Istana Uthmaniyah secara langsung.

Bahagian akhir minggu hadapan akan membincangkan tentang kejatuhan industri seramik Iznik dan kemunculan industri seramik Kutahya sebagai pengganti dan pewaris seramik Iznik.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 22/7/2011.

Write a comment