Oleh
SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
AL-QURAN
merupakan kitab suci yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW lebih
14 abad yang lalu. Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam,
pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan
manusia.
Kandungannya
tidak berubah sehingga akhir zaman kerana Allah telah berjanji untuk memelihara
kitab agung itu sehingga hari kiamat iaitu antaranya dengan meletakkannya di
dalam hati-hati orang yang menghafal al-Quran.
Sebagaimana
firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan
sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا
الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (٩)
Al-Quran
merupakan mukjizat teragung untuk dipelajari, dijadikan panduan dan diamalkan
seluruh umat manusia kerana ia lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan oleh
manusia.
Isi
kandungannya dapat menyelesaikan setiap masalah kehidupan yang ada di dunia ini
bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dan pelajaran daripadanya.
Nabi
Muhammad SAW bersabda maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari
al-Quran dan yang mengajarkannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan
kepentingan dan kemuliaan tertinggi kepada golongan pencinta al-Quran itu, maka
usaha-usaha dan bentuk galakan harus diberi kepada masyarakat Islam negara ini
agar mereka mencintai al-Quran sekali gus dijadikan panduan untuk melayari
kehidupan di dunia.
Oleh
itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memulakan langkah ke arah
matlamat itu dengan memperkenalkan skim bantuan galakan hafazan al-Quran. Ia
bertujuan menggalakkan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan mencintai
al-Quran.
Skim
yang diperkenalkan sejak tahun 2007 itu ternyata berjaya memberi semangat dan
dorongan kepada masyarakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menghafal
al-Quran dengan menyaksikan peningkatan penyertaan tahun demi tahun.
Bermula
hanya 400 penyertaan yang layak menerima bantuan itu pada tahun 2007, jumlah
itu meningkat seramai 104 pada tahun berikutnya manakala tahun 2009 menyaksikan
pertambahan kepada 128 penerima dan meningkat kepada 114 penerima tahun lalu.
Pertambahan
jumlah penyertaan itu sekali gus meningkatkan jumlah peruntukan bantuan yang
dikeluarkan MAIWP. Pada tahun 2007, majlis itu hanya mengeluarkan dana
berjumlah RM44,000; RM295,000 (2008), RM427,000 (2009) dan RM428,500 (2010).
Sebagaimana
amalan pada tahun-tahun sebelum ini, bantuan diberi kepada mereka yang berjaya
melepasi sesi ujian pendengaran bacaan yang diperdengarkan kepada sebuah
jawatankuasa ujian. Ia dipengerusikan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri
Sheikh Ismail Muhammad.
Pada
tahun ini, seramai 159 penghafal al-Quran layak menerima bantuan itu berjumlah
RM336,250. Daripada jumlah itu, sebanyak RM27,500 diagihkan kepada 44 penerima
mengikut kategori satu hingga 5 juzuk; satu hingga 10 juzuk (RM50,000 untuk 40
orang), satu hingga 20 juzuk (RM45,000 untuk 18 orang) dan satu hingga 30 juzuk
(RM213,750 untuk 57 orang).
Sumbangan
disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Galakan Hafaz Al-Quran dan Agihan
Zakat Baitulmal MAIWP 2011 di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Skim
bantuan lain yang diagihkan MAIWP adalah skim bantuan perubatan berjumlah RM5.3
juta kepada 550 penerima; skim bantuan deposit teksi (RM2.1 juta kepada 420
penerima) dan skim bantuan musibah (RM334,450 kepada 333 penerima).
Turut
hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail.
Terdahulu,
Jamil Khir dalam ucapannya berkata, selain memartabatkan al-Quran itu sendiri
agar terus terpelihara dan tersebarnya syiar Islam dengan lahirnya para huffaz,
skim itu juga sebagai meringankan beban penerima bantuan untuk menjalani
kehidupan mereka.
Kepada
para huffaz juga diingatkan agar matlamat menghafal al-Quran bukanlah
semata-mata untuk mendapatkan bantuan, namun ciptalah sesuatu agar ia memberi
manfaat kepada seluruh umat Islam.
Para
penghafal al-Quran merupakan golongan istimewa yang diangkat kemuliaannya dan
diberi ganjaran terbaik di dunia mahu pun akhirat.
Mereka
merupakan orang yang dimuliakan oleh Allah SWT. Ia dibuktikan melalui sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya
di kalangan manusia”. Lalu mereka bertanya: “Siapakah mereka ya Rasulullah?”
Jawab baginda: “Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah)
dan orang-orang pilihannya”. (riwayat Ibnu Majah).
Kaum
kerabat golongan pencinta al-Quran ini juga turut diangkat kemuliaannya di sisi
Allah sebagaimana Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
1.
Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya,
maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang
sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari
itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini”. (riwayat Ahmad dan Abu
Daud).
2.
Barang siapa membaca al-Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal
dan mengharamkan yang haram, maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia
boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.
(riwayat Tirmizi).
Penghafal
al-Quran termasuk mereka yang hanya membaca ayat suci itu layak mendapat bonus
berlipat kali ganda daripada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda:
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya
(pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagai
mananya. Aku tidak kata bahawa “Alif Laam Mim” itu satu huruf tetapi alif satu
huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf. (riwayat Tarmizi).
Al-Quran
mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Banyak rahsia
yang terkandung di dalamnya telah diterokai sehingga kini. Begitulah kelebihan
yang ada pada al-Quran, tetapi tidak ramai manusia yang ingin mengambilnya
sebagai wasilah kehidupan.
Rugilah
orang yang tidak ada al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat. Rasulullah
SAW. menganggap orang yang tidak membaca al-Quran dan tidak menghafalnya,
seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya adalah orang yang sangat rugi
seperti rumah buruk yang hampir runtuh.
Baginda
SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu
daripada al-Quran di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir
runtuh”. (riwayat Tirmizi)
Bagaimanapun,
masyarakat kita kini telah sedar akan kelebihan menghafal al-Quran. Ramai ibu
bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat hafazan atau sekolah-sekolah
tahfiz al-Quran yang kini terdapat di seluruh negara.
Maka
tidak hairanlah, sudah beribu-ribu para penghafal al-Quran dilahirkan di negara
ini sama ada mereka menghafal secara sendiri, mengikut kelas hafalan atau
produk daripada pusat pengajian kerajaan mahu pun swasta.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 12/7/2011.
Write a comment
Catat Ulasan