Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Dinukilkan
di sini sebahagian pendapat dan penegasan Ibn Qayyim al-Jauziyah (ابن القيم
الجوزية) menerusi
kitabnya Hidayatul Hayari fi Ajwibatil Yahud wa al-Nasara (هداية
الحياري في أجوبة اليهود والنصارى) terhadap ciri-ciri Allah bagi agama Islam berbanding Kristian
sebagai menjelaskan lagi perbezaan maksud lafaz Allah bagi kedua-dua agama ini.
*
Sesungguhnya Allah SWT adalah satu, tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya,
tidak ada bandingan yang setara dengan-Nya, tidak ada pengawal, tidak ada
penasihat, tidak ada penolong dan tidak ada pemberi syafaat kecuali dengan
izin-Nya.
*
Dia tidak mempunyai bapa, anak, keturunan, isteri dan tidak mempunyai kesamaan
dengan selain-Nya.
*
Dia Maha Kaya dengan zat-Nya, tidak makan, tidak minum dan tidak memerlukan apa
yang diperlukan oleh makhluk.
*
Zat-Nya tidak bersatu dengan makhluk-Nya dan tiada makhluk yang menyatu ke
dalam zat-Nya.
*
Dia Maha Ada, tidak pernah hilang dan tidak pernah mewakilkan urusan
kerajaan-Nya kepada selain dari-Nya.
*
Dia Maha Sempurna dan hanya Dia yang memiliki kesempurnaan.
Firman
Allah SWT: Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
اللَّهُ
الصَّمَدُ (٢)
Abu
Su’ud (أبو السعود) dalam tafsirnya berkata: Nama Allah diulangi sehingga dua
kali, iaitu pada ayat pertama dan ayat kedua dengan menjelaskan bahawa Dia
adalah Esa, Tunggal, Dia adalah tempat pergantungan semua makhluk, supaya
jelaslah bahawa yang tidak mempunyai kedua sifat pokok itu bukanlah Tuhan.
Pada
ayat yang pertama ditegaskan tentang keEsaan-Nya, untuk menjelaskan betapa
bersih-Nya Allah dari berbilang dan bersusun, dan dengan menjelaskan bahawa
Dialah tempat bergantung segala makhluk, dan jelaslah bahawa pada-Nya terkumpul
segala sifat kesempurnaan.
Dia
tempat bergantung, tempat berlindung, bukan Dia yang mencari perlindungan
kepada yang lain, Dia tetap ada dan kekal dalam kesempurnaan-Nya, tidak pernah
berkurang.
Berkenaan
perkataan al-Samad (الصمد), ada banyak tafsiran, antaranya:
*
Al-Samad yang tiada rongga padanya seperti pendapat al-Hasan, Ikrimah,
al-Dahhak dan Ibn Jubair (اين الجبير).
*
Yang tidak makan dan minum seperti pendapat al-Sya’bi (الشعبي).
*
Yang kekal tanpa binasa seperti pendapat Qatadah.
*
Tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti pendapat Muhammad bin Ka’ab (محمد بن كعب).
*
Segala manusia memohon hajat kepada-Nya seperti pendapat Ibn Abbas.
*
Ia adalah penghulu yang bersifat Maha Tinggi seperti kata Abu Wa’il (أبو الوائل) dan Sufyan.
*
Ia bersifat sempurna yang tiada cacat celanya seperti pendapat Muqatil.
*
Ia adalah tempat segala hajat dan pertolongan, seperti kata al-Suddi.
8
Ia terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu seperti kata Abu Hurairah.
8
Ia boleh melakukan apa sahaja dan menghukum mengikut kehendaknya.
Al-Maraghi
(المراغي) berkata: Allah SWT yang menjadikan tumpuan semua hamba dan
mereka menghadapkan diri kepada-Nya untuk menyelesaikan kepentingan mereka
tanpa perantaraan dan penolong.
Dengan
demikian, ketentuan ini membatalkan kepercayaan kaum Musyrikin Arab yang
mempercayai adanya perantara dan penolong juga membanteras kepercayaan penganut
agama lain yang bawa pemimpin agama mereka itu mempunyai kedudukan yang tinggi
di sisi Tuhan kerana menerima perantaraan bagi orang lain untuk mencapai apa
yang mereka cari.
Ini
disebabkan mereka selalu kembali kepada perantaraan-perantaraan itu baik selama
hidup mahupun setelah meninggal dunia. Mereka berdiri di sisi kubur-kubur itu
dengan penuh khusyuk dan tunduk sebagaimana tunduknya mereka kepada Allah SWT
bahkan lebih daripada itu.
Firman
Allah SWT: Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada
seorangpun yang setara dengan Dia.
Mengikut
Dr. Said Abdul Azim (الدكتور سعيد عبد العظيم) dalam bukunya Qul Ya Ahlal Kitab Lastum ‘Ala Syai’ (قل يأهل
الكتاب لستم على شيء)
menyebut berkenaan usul yang disepakati ini:
*
Bahawa Allah bersifat qadim, wahdaniyyah tanpa sekutu pada kerajaan-Nya.
*
Bahawa Dia tiada bapa, tiada seumpama-Nya, tiada isteri dan tiada menyamai
dengan sekelian makhluk-Nya.
*
Bahawa Dia Maha Kaya dengan zat-Nya, tidak makan dan minum serta tidak berhajat
kepada makhluk.
*
Bahawa Dia tidak berubah dan tidak menerima kebinasaan seperti tua, sakit,
mengantuk, tidur, lupa, takut, dukacita dan lain-lain.
*
Bahawa Dia tidak serupa sesuatupun daripada makhluk, sama ada pada zat, sifat
dan perbuatan-Nya.
*
Bahawa Dia tidak mengambil tempat pada sesuatupun daripada makhluk-Nya.
*
Bahawa Dia lebih agung daripada sesuatu, lebih besar daripada sesuatu dan Maha
Tinggi daripada sesuatu.
*
Bahawa Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
*
Bahawa Dia Maha Mengetahui dengan setiap sesuatu sama ada tersembunyi atau yang
terang.
*
Bahawa Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
*
Bahawa Dia Maha Penyaksi yang tiada ghaib sesuatupun daripada-Nya.
*
Bahawa Dia bersifat abadi lagi kekal selama-lamanya.
*
Bahawa Dia berkata-kata sama ada arahan atau larangan.
*
Bahawa Dia Maha Benar pada janji dan khabar-Nya.
*
Bahawa Dia bersifat samad yang semua makhluk berhajat kepada-Nya.
*
Bahawa Dia bersifat Maha Suci, Maha Sejahtera yang terlepas daripada sebarang
aib dan kekurangan.
*
Bahawa Dia bersifat Maha Sempurna dengan kesempurnaan yang mutlak.
*
Bahawa Dia Maha Adil yang sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.
Ibn
Qayyim (ابن القيم) berkata: “Ini adalah perkara yang disepakati oleh semua Kitab
dan Rasul dan ia sebagai satu ketetapan yang tidak harus datang syariat yang
menyalahinya. Begitu juga yang dikhabarkan oleh Nabi SAW menyalahinya pada
asal, sedangkan golongan penyembah salib meninggalkan konsep triniti semuanya
di samping berpegang dengan perkara yang menjadi syubhah daripada makna dan
yang mujmal daripada lafaz”.
Fadilat
Surah Al-Ikhlas
Ibn
al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad (زاد المعاد) menukilkan: Nabi
SAW selalu membaca pada solat sunat Fajar dan solat witir surah al-Ikhlas (سورة الإخلاص) dan surah
al-Kafirun (سورة الكافرون). Ini kerana kedua-dua surah ini mengumpulkan tauhid ilmu dan
amal, tauhid makrifat dan iradat, tauhid iktikad dan tujuan.
Surah
al-Ikhlas mengandungi tauhid iktikad dan makrifat dan apa yang wajib dipandang
tetap teguh pada Allah menurut akal murni, iaitu Esa dan tunggal. Dia adalah
pergantungan yang tetap, yang pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan, dan
tidak pernah berkurangan dari segi mana pun.
Dia
ternafi daripada beranak dan diperanakkan, kerana jika keduanya itu ada, Dia
tidak jadi pergantungan lagi dan KeEsaannya tidak bersih lagi. Dan nafi atau
tiadanya kufu’, tandingan, bandingan dan gandingan adalah menafikan penyerupaan,
perumpamaan ataupun pandangan lain.
Oleh
kerana itulah, surah ini mengandungi segala kesempurnaan bagi Allah dan
menafikan segala kekurangan. Inilah dia pokok tauhid menurut ilmiah dan menurut
akidah, yang melepaskan orang yang berpegang teguh kepadanya daripada kesesatan
dan mempersekutukan.
Dinyatakan
di sini beberapa fadilat surah al-Ikhlas, antaranya:
*
Daripada Abu Sa’d, ada seorang yang mendengar seorang lelaki membaca surah
al-Ikhlas dengan berulang kali. Pada keesokannya, ia datang menemui Nabi SAW
lalu ia menyebutkan cerita itu kepada beliau seolah-olah ia merasa surah itu
sangat sedikit.
Lalu
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi jiwaku ditangan-Nya, sesungguhnya surah
itu menyamai satu pertiga al-Quran”.
*
Ibn Abbas r.a berkata: Surah al-Zalzalah (سورة الزلزلة) sama nilainya
dengan separuh al-Quran. Surah al-Ikhlas sama dengan sepertiga al-Quran.
(riwayat al-Hakim)
*
Dari Aisyah r.anha bahawa Nabi SAW pada suatu ketika telah mengirim pasukan
tentera. Panglima tentera tersebut setiap kali solat yang dibacanya kuat akan
menutup bacaan dengan surah al-Ikhlas.
Apabila
pulang hal tersebut dikhabarkan kepada Nabi SAW. Lantas Baginda suruh bertanya
sebabnya. Panglima tersebut menjawab: Itu adalah sifat Allah SWT yang bersifat
Rahman dan saya amat suka membacanya. Mendengar keterangan tersebut, Baginda
bersabda: Katakanlah kepadanya, bahwa Allah reda kepadanya.
*
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Aku menemui Rasulullah SAW, tiba-tiba
Baginda mendengar seorang lelaki membaca surah Ikhlas. Lantas Baginda bersabda:
Wajiblah. Aku bertanya apakah yang wajib itu ya Rasulullah? Baginda menjawab:
masuk syurga.
Surah
ini memuatkan penolakan musyrikin dengan segala bentuknya. Allah SWT
mengingkari zat-Nya mempunyai sifat memerlukan kepada yang lain dengan
firman-Nya. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mentauhidkan Allah dan
makrifah dengan-Nya. Amin.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 22/7/2011.
Write a comment
Catat Ulasan