Al-ALUSI (الألوسي)
dalam Ruh al-Ma’ani (روح
المعاني) berkata: “Asalnya
dari I’lali ialah ilah (إله) seperti dalam al-Sihah (الصحاح)
atau al-Ilalah (الإله) seperti dalam al-Kasyaf (الكشاف)
yang kedua-duanya mempunyai hujah.”
Al-‘Allamah
al-Sa’d berkata: “Sesungguhnya Tuhan atau ilah adalah nama yang difahami secara
kulli yang disembah dengan sebenarnya sedangkan Allah adalah ism alam bagi
zat-Nya.”
Dr. Wahbah
al-Zuhaili dalam Usul al-Iman wa al-Islam berkata: “Allah bermaksud bahawa Dia
Maha Berkuasa atas segala makhluk-Nya dan bahawa dia tidak berlaku kecuali mengikut
kehendak-Nya. Dan bahawa Dia Maha Menguasai dan Maha Perkasa yang tidak boleh
dikalahkan dan bahawa Dia Maha Berkuasa yang tidak boleh dilawan dan di atasi
dan tidak sah taklif kecuali daripadanya.”
Ulama tauhid
berkata: “Allah adalah ism alam (nama khas) kepada zat yang Maha Sempurna iaitu
Allah SWT sedangkan makhluk ialah sifat yang mungkin ada dan dia adalah selain
daripada Allah SWT.”
Allah adalah ism
alam yang menunjukkan atas zat di mana semua nama Allah yang mulia terhimpun
pada Allah. Allah ialah nama-Nya Yang Maha Agung.
Al-Khazin (الخازن)
dalam tafsirnya berkata: “Allah adalah nama khas bagi Allah yang bersifat
Tunggal dan Esa, tiada musytaq (terbitan) dan tidak disekutukan oleh sesuatu.”
Dalam Tafsir
Hadaiq al-Rauh al-Raihan (حدائق
الروح الريحان) menyebut: “Allah
maknanya yang berhak diibadat, tidak kepada yang lain.”
Konteks Bahasa
Melayu
Prof. Syed Mohd
Naquib al-Attas (محمد نقيب العطاس) menyebut: “Bahasa membayangkan hakikat
kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa
melibatkan bukan semata-mata menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam
kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang
dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan
pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu
diseludupkan.”
Bahasa Melayu
merujuk kepada bangsa Melayu. Rumpun bangsa Melayu adalah sinonim dengan agama
Islam. Berdasarkan kepada bukti sejarah dan artifak jelas menunjukkan bahawa
Tanah Melayu telah menerima Islam sejak abad ke-7, 8 dan 9. Ini terbukti dengan
penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 22 Februari 1303M.
Pemerintahan
Islam bermula di Tanah Melayu dengan tertegaknya Kesultanan Melayu Melaka pada
1414M yang menjadikan Islam sebagai agama negara.
Begitu juga
seperti yang diketahui umum berdasarkan fakta sejarah bahawa perundangan di
Tanah Melayu sebelum kolonial juga berasaskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka
dan Undang-Undang 99.
Pengaruh Islam
di Tanah Melayu juga membawa masuk kalimah-kalimah Arab ke dalam bahasa Melayu.
Istilah-istilah Arab digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu seperti
nama-nama hari dan lain-lain. Tulisan jawi juga sebagai lambang pengaruh Islam
yang kuat kepada umat Melayu.
Bahasa Melayu
itu juga lahir daripada rahim agama Islam. Perlembagaan dalam perkara 160 (2)
menetapkan orang Melayu mestilah beragama Islam. Oleh itu, kerana kalimah Allah
adalah istilah yang telah diserap dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah
difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.
Dengan sebab itu
ia membuka ruang agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’ akan mengubah maksud
asal kalimah ‘Allah’ menurut bahasa Melayu.
Justeru, jika
dibenarkan Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ maka makna asal ‘Allah’ dalam
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (iaitu Tuhan Yang Maha Esa) terpaksa ditukar
kepada Tuhan Yesus/ Tuhan Berhala/ Tuhan Bapa/ Tiga Tuhan Bersatu (Triniti).
Tidakkah ini mencelarukan?
Perkataan ahad
adalah sama dengan wahid yang memberi maksud ke-Esaan. Inilah pendapat Ibn
Abbas dan Abu Ubaidah, sedangkan sebahagian ulama membezakannya.
Abu Sulaiman
al-Khattabi berkata: “Wahid menunjukkan ke-Esaan pada zat tanpa sebarang
tandingan, sedangkan ahad pula bersifat tunggal dengan maknanya tanpa
disekutukan oleh seseorang.”
Sayid Qutub
berkata: “Itulah hakikat ke-Esaan kewujudan Allah SWT. Di sana tiada hakikat
melainkan hakikat Allah SWT. Tiada kewujudan hakiki melainkan kewujudan Allah
SWT. Segala maujud yang lain adalah mengambil kewujudan mereka dan kewujudan
Allah SWT yang hakiki.”
Ia juga
merupakan hakikat ke-Esaan Pencipta yang tiada tandingannya. Itulah akidah hati
nurani dan itulah juga pentafsiran bagi kewujudan alam. Apabila pentafsiran ini
mantap dalam hati dan kefahaman ini jelas dan terang maka bersihlah hati dari
segala kepercayaan yang karut dan dari segala pergantungan dengan yang lain
dari zat Allah SWT.
Iaitu hati
bersih daripada pergantungan dengan sesuatu yang lain. Justeru, tiada hakikat
bagi sesuatu kewujudan kecuali kewujudan Ilahi dan tiada hakikat bagi sesuatu
kuasa pencipta kecuali iradat ilahiah sahaja. Tiada ertinya bergantung dengan
sesuatu yang tidak mempunyai sebarang hakikat bagi kewujudannya dan sebarang
hakikat bagi kuasa pencipta-Nya.
Bagi siapa yang
ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, sila rujuk buku Keabsahan Penggunaan
Nama Allah SWT Hanya Untuk Orang Islam terbitan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia.
Apabila hati
telah bersih dari segala perasaan terhadap yang lain dari hakikat Allah yang
tunggal dan bersih dari pergantungan kepada yang lain dan hakikat Allah, maka
ketika itu ia akan bebas dari segala belenggu dan ikatan, keinginan nafsu yang
menjadi punca segala perkara buruk.
Apabila
mantapnya kefahaman ini maka di tahap inilah hati seseorang akan melihat kudrat
Allah SWT menguasai segala sesuatu yang dilihatnya.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 15/7/2011.
Write a comment
Catat Ulasan