Imam Syatibiy Tokoh Qiraat

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

DALAM dunia Islam banyak terdapat persamaan nama ulama antaranya Imam Syatibiy (الإمام الشاطبي). Jika mereka yang mendalami ilmu syariat, nama Imam Syatibiy tidak asing kerana beliau adalah seorang tokoh perundangan yang menghasilkan banyak buku yang menjadi rujukan antaranya kitab al-Muwafaqat (الموافقات) dan al-I’tisam (الإعتصام).

Nama penuh Imam Syatibiy yang mengarang kitab al-Muwafaqat ialah Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad al-Syatibiy (إبراهيم بن موسى بن محمد الشاطبي) dan beliau meninggal dunia pada tahun 790 hijrah.

Sementara Imam Syatibiy yang menjadi tokoh qiraat pula bernama al-Qasim ibn Firruh Ibn Khalaf Ibn Ahmad al-Syatibiy (القاسم بن فيره بن خلف بن أحمد الشاطبي). Beliau meninggal dunia pada tahun 590 hijrah.

Walaupun kedua-duanya berasal dari Syatibah (شيبة) di Andalus (أندلس), tetapi kedua-duanya berbeza kepakaran ilmu dan hidup dalam dua zaman yang berlainan. Ini bermaksud jika yang bercakap tentang Imam Syatibiy dalam bidang perundangan dia adalah pengarang kitab Muwafaqat. Jika penceramah dalam bidang qiraat selalu menyebut nama Imam Syatibiy ia adalah pengarang Matn Syatibiy (متن الشاطبي).

Karya agung yang dihasilkan oleh Imam Syatibiy al-Muqri’ dan sehingga kini menjadi rujukan di pusat pengajian tinggi al-Quran dalam dan luar negara adalah Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani (حرز الأماني ووجه التهاني) atau terkenal dengan nama Matn Syatibiy.

Imam Syatibiy yang alim ilmu qiraat ini walaupun cacat penglihatan namun pandangan hatinya begitu tajam dan Allah menganugerahkan kepadanya kepandaian yang jarang dimiliki insan lain.

Matn Syatibiy yang dihasilkan itu ditulis dalam bentuk syair berjumlah 1,173 rangkap dan kesemua rangkap syairnya itu berakhir dengan huruf lam.

Beliau menerima ilmu Qiraat dan mendalaminya daripada Sheikh Abi Abdillah Muhammad Ibn abi al-‘As al-Nafazi (أبي عبد الله محمد بن أبي العاص النفزي). Selepas itu beliau membaca kitab Qiraat yang dikarang oleh Abu Amru al-Dani (أبو عمرو الداني) iaitu al-Taisir (التيسير) secara hafalan di hadapan gurunya Ibn Huzail (ابن هزيل).

Selain itu, beliau juga pakar dalam ilmu hadis dan mampu memperbetulkan hadis-hadis yang salah dibaca daripada kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Kitab Muwatta’ Imam malik berdasar kepada hafalannya.

Ketika beliau menziarahi Mesir, pemerintah Mesir ketika itu meraikan dan menghormatinya. Pemerintah Mesir juga memberi segala kemudahan dan bantuan kepada Imam Syatibiy antaranya melantiknya menjadi ketua guru qiraat di sebuah pusat pengajian Quran di Kaherah.

Menurut Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi (عبد الفتاح المرصفي), ketika Imam Syatibiy berada di Mesir inilah beliau telah menulis Matn Syatibiy dan Matn Nazimat al-Zuhri (ناظمة الزهر) dalam Ilmu fawasil (الفواصل).

Matn Syatibiy mendapat tempat dalam arus pembelajaran ilmu qiraat dengan pengaruh yang amat kuat kerana dua sebab utama. Pertama, murid-murid Imam Syatibiy adalah ulama yang amat berpengaruh, menjadi nadi kepada pengajar Matn Syatibiy dan antara mereka ialah muridnya Imam al-Sakhawi (السخاوي) iaitu pengarang kitab Jamal al-Qurra (جمال القراء).

Faktor kedua, rujukan utama Matn Syatibiy adalah kitab al-Taisir karangan Imam al-Dani yang popular sebelumnya dan diterima ramai. Justeru apabila metod ditukar kepada bentuk syair atau nadham ia mudah untuk dihafal dan menguasai ilmu Qiraat Tujuh.

Di Mesir, Matn Syatiby masih lagi sehingga kini menjadi sukatan pelajaran ilmu Qiraat di peringkat ‘Aliyah (العالية) di Maahad Qiraat (معهد القراءات).

Di Kuliyyah Quran, Universiti Islam Madinah, Matn Syatibiy menjadi sukatan pelajaran di tahun satu pengajian hingga ke tahun tiga.

Sehingga hari ini banyak ilmu Imam Syatibiy diamalkan sehinggalah penulisan al-Quran dan pembacaannya selalu disebut adalah mengikut riwayat Hafs dari Qiraat Imam ‘Asim dan dari Tariq Syatibiy.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 22/6/2011.

Write a comment