Darul Quran Wajar Dinaik Taraf


Oleh SITI AINIZA KAMSARI

“ADALAH menjadi impian suci saya yang ingin melihat lebih banyak al-Quran ‘berjalan’ di atas muka bumi ini”. Demikian kata-kata yang diluahkan oleh tokoh pendidik yang didatangkan khas dari bumi anbia, Mesir, Muhammad Hassan Muhammad.

Beliau ditemui di Kompleks Darul Quran (DQ), Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Lokasinya seolah-olah bagaikan berada dalam sebuah taman.

Ia boleh diibaratkan salah satu daripada taman-taman syurga dengan keindahan alam semulajadi yang memukau pandangan. Berlatarkan Banjaran Titiwangsa yang sering dilitupi kabus, kehijauan hutan berhampiran, lingkaran tasik dengan permukaan airnya yang sangat tenang, cuaca dan udara yang nyaman, ia jauh dari keriuhan kota.

Semua ini menjadikan DQ sangat kondusif bagi tujuan pengajian al-Quran terutamanya untuk melahirkan para huffaz.

Walaupun baru sebulan berada di DQ, apa yang jelas Muhammad Hassan kelihatan begitu ceria.

Malah semangatnya sendiri turut membara bagi membantu DQ melahirkan lebih ramai para hafiz dan hafizah yang diumpamakan seperti al-Quran ‘bergerak’ itu.

Tentu sahaja semangatnya begitu membara kesan daripada suasana yang begitu kondusif sejurus beliau dan rakan-rakannya menjejakkan kaki di DQ.

“Bukan sahaja suasana di sini yang sangat berjiran dengan alam semula jadi tetapi para penghuninya pun. Saya sifatkan sebagai mempunyai darjah-darjah kemanusiaan yang menepati kehendak Islam.

“Para pelajarnya adalah sebaik-baik pelajar yang pernah saya temui. Mereka tidak sahaja sentiasa teruja meminta diisikan dada dengan ilmu, malah sangat santun namun sentiasa proaktif.

“Malah ini kelebihan kepada saya sebagai tenaga pengajar untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa Arab di sini. Hampir kesemua pelajar mempunyai asas bahasa Arab yang kuat. Umpama mengajar kalangan anak-anak bangsa Arab sendiri,” ujar Muhammad Hassan.

Sebagai satu-satunya institusi Pendidikan Tinggi Tahfiz al-Qura di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kejayaan yang mereka catatkan bukannya sedikit.

Ini terutamanya dalam melahirkan ribuan para huffaz, qurra dan duat bagi mengisi pelbagai keperluan ummah dan negara selama ini.

Namun tahukah anda bahawa DQ telah ditubuhkan sejak sekian lama, iaitu tahun 1966. Dalam usianya yang kini mencecah 45 tahun, ia masih bertaraf institusi pendidikan prakolej yang menyediakan asas sebelum para pelajarnya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan sebagainya di lain-lain institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) dalam dan luar negara.

Jika ada di peringkat ijazah pun, satu-satunya yang terdapat di DQ adalah ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.

Maka sudah sewajarnya DQ dinaik taraf kepada Kolej Universiti (Kolej Universiti Darul Quran - KUDQ) supaya pelbagai matlamat pengajian tinggi yang melibatkan sumber utamanya, iaitu al-Quran itu dapat dicapai.

Apabila diajukan soalan itu kepada pensyarah dari Universiti Al Azhar yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan di Arab Saudi dan Mesir, tanpa ragu, Muhammad Hassan sangat bersetuju.

Malah beliau dan rakan-rakan pensyarah yang dipinjamkan dari Universiti Al Azhar itu bersedia duduk lebih lama di Malaysia bagi membantu dari apa juga aspek bagi menyegerakan penubuhan KUDQ.

“Malah jika perlu, Universiti Al Azhar sedia menghantar lebih ramai pensyarah ke sini apabila KUDQ direalisasikan,” tambah beliau.

Sepanjang sebulan di sini, Muhammad Hassan berpendapat, DQ mempunyai persediaan yang cukup baik dan kuat untuk dinaikkan ke taraf itu.

“Saya juga tertarik dengan amalan agama Islam di negara ini yang begitu sederhana dan menepati konsep wasatiyyah yang dianjurkan oleh Islam selama ini.

“Bahkan Islam itu turut terserlah melalui perilaku para umatnya yang akhlaknya amat terpelihara. Pada masa yang sama terutama kalangan para pemuda pemudinya sentiasa haus dan dahagakan ilmu.

“Jadi KUDQ akan memberi lebih banyak peluang kepada seluruh umat Islam, tidak sahaja di Malaysia malah seluruh Asia Tenggara untuk mereka tidak sahaja menghafaz al-Quran secara lebih sistematik malah menimba sebanyak ilmu yang masih banyak tidak diterokai yang terkandung dalam khazanah al-Quran itu sendiri,” tambahnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz (PERKEMAT) DQ, Che Faizul Azhar Che Mat berkata, menaik taraf DQ memang ditunggu-tunggu oleh para pelajar.

Malah ia menjadi cara terbaik untuk menaikkan nama DQ sebagai antara pusat pengajian al-Quran tersohor dunia.

“Sebagai pelajar kami sedia menyahut cabaran bagi merealisasikannya,” katanya.

Selain itu, DQ akan lebih mendapat tempat di hati masyarakat dan menjadi pilihan terbaik melanjutkan pelajaran al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Selain prasarana pengajian dalam aspek akademik ditingkatkan, akan berlaku juga penambahbaikan untuk kebajikan para pelajar dan seluruh warga DQ amnya.

“Namun yang lebih penting, dimensi pemikiran pelajar tanpa mengira status pengajian akan ke arah yang lebih global bagi menangani pelbagai masalah ummah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 24/6/2011.

Write a comment