Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
KETIKA Musabaqah Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke 32 berlangsung di Kuantan, Pahang pada 4 hingga 8 April lalu, jemaah hakim dan peserta musabaqah tahfiz telah menerima undangan jemputan Datuk Zilkifli Ali iaitu Pengarah Maahad Tahfiz Pahang untuk melawat Maahad Tahfiz Pahang yang diselia Yayasan Pahang.
Dalam sesi pertemuan, pihak Maahad Tahfiz telah memberi penerangan secara mendalam sistem pembelajaran yang diamalkan iaitu menitik berat keberkesanan pengajaran kepada pelajar, sama ada tahfiz dan akademik dengan mengambil kira kuantiti pelajar yang sedikit dengan seorang pensyarah.
Galakan menghafaz al-Quran yang berterusan daripada pihak guru telah menjadikan pelajar amat berminat menghafaz al-Quran. Dan hasilnya dalam musabaqah tahfiz al-Quran peringkat kebangsaan baru-baru ini, dua pelajarnya telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori masing-masing.
Dalam bidang akademik pula, pelajar yang menghafaz al-Quran ini telah menunjuk pencapaian yang baik dalam peperiksaan Penilian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kebanyakan mereka mendapat keputusan yang membanggakan, sekali gus membuktikan bahawa penghafaz al-Quran juga akan berjaya dalam akademik jika pendedahan dan sistem pendidikan yang disalurkan kepada mereka menepati kaedah dan caranya.
Bagi memeriahkan lawatan tersebut, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Mohamad al-Hafiz telah memberi ucapan yang sarat dengan nasihat kepada pelajar dan peserta musabaqah. Antaranya, beliau menceritakan pengalaman beliau menjadi hakim musabaqah peringkat antarabangsa di Mekah. Di mana seorang peserta 30 juzuk dan tafsir dari Mesir telah berjaya mendapat tempat pertama. Apabila ditanya bidang pengajiannya, beliau menjawab pelajar tahun akhir dalam bidang perubatan.
Selain itu, beliau juga memetik mutiara kata-kata ulama yang menyatakan pembawa al-Quran terus menikmati nikmat akalnya sehingga meninggal dunia. Maksudnya pembaca dan pembawa al-Quran dengan izin Allah SWT tidak akan mengalami penyakit hilang ingatan walaupun usianya sudah lanjut.
Syabas dan tahniah kepada pengurusan Maahad Tahfiz Pahang yang terus berkhidmat untuk mendidik pelajarnya untuk menjadi penghafaz al-Quran yang berjaya dalam semua bidang. Ucapan tahniah tersebut bagi memberi semangat kepada mereka di saat terdapat sebahagian maahad tahfiz di beberapa negeri telah dimasukkan di bawah pengurusan kolej negeri.
Walaupun alasan mereka ialah untuk memantapkan pengurusan maahad tahfiz tetapi kesannya aliran tahfiz semakin mengecil dan tidak diberi pemerhatian yang sempurna sehingga terdapat sesetengah aliran tahfiz mempunyai kurang daripada 10 pelajar.
Sepatutnya maahad tahfiz hendaklah diuruskan secara bersendirian dan membangun mengikut unjuran yang telah ditetapkan. Lihatlah bagaimana berkembangnya Darul Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam masa terdekat akan melangkah terus ke hadapan dengan statusnya sebagai Kolej Universiti.
Justeru, pihak pentadbiran negeri hendaklah memberi peluang yang luas kepada aliran tahfiz untuk lebih berkembang dan meluaskannya ke dalam bidang sains, perubatan, undang-undang dan lain-lain.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 27/4/2011.
Write a comment
Catat Ulasan