Asy-Sya’rawi Tokoh Tafsir Terkemuka



MUHAMMAD Mutawalli Sya’rawi (محمد متولي الشعراوي) dilahirkan di Mitaghamr Daqhiliayah (ميت غمر بمحافظة الدقهلية), Mesir pada tahun 1911. Beliau juga turut digelar sebagai Ketua dari fakulti bahasa Arab Universiti Al-Azhar (جامعة الأزهر) pada tahun 1941 dan biasa dipanggil dengan nama Asy-Sya’rawi.

Beliau yang memiliki ijazah dan menjadi tenaga pengajar pada tahun 1943 pernah mengajar di Madrasah Diniyah di Thantha (طنطا), Iskandariah (الإسكندرية) dan Zaqaziq (الزقازيق).

Selain itu, beliau turut memegang jawatan sebagai pensyarah di fakulti Syariah, Universiti Malik Ibnu Abdul Aziz (جامعة الملك عبد العزيز), Mekah Al-Mukaramah.

Pada tahun 1961, beliau dilantik sebagai Pengarah Dakwah di Kementerian Wakaf (مديرا للدعوة الإسلامية بوزارة الأوقاف), Pengawas Bahasa di Al-Azhar - مفتشا للعلوم العربية بالأزهر الشريف (1962), Pengarah Perpustakaan Syaikh Al-Azhar - مديرا لمكتب الأمام الأكبر شيخ الأزهر حسن مأمون (1964), Pengarah Utama Al-Azhar (1975) dan sebagai Menteri Perwakafan dan Urusan Al-Azhar (وزيرًا للأوقاف وشئون الأزهر) pada tahun 1976.

Asy-Sya’rawi juga terpilih sebagai anggota Majlis Bahasa Arab (عضوا بمجمع البحوث الإسلامية) pada tahun 1987, anggota Gerakan Pendiri Rabithah Alam Islami (رابطة العالم الإسلامي بمكة المكرمة) di Mekah. Malah beliau dianggap sebagai tetamu kehormat di Universiti Malik Abdul Aziz di Mekah.

Menjadi khatib pada khutbah Arafah di Mekah pada musim haji tahun 1979. Selain itu, beliau juga menghadiri ratusan seminar dan simposium bertaraf antarabangsa bagi memberikan pencerahan kembali kepada Islam terutama yang menyentuh aspek kehidupan kaum Muslimin.

Asy-Sya’rawi turut mendapat anugerah Daulah Takdiriyah tahun 1988. Beliau juga turut mendapat gelaran Doktor Kehormat dari Universiti Mansurah (جامعتي المنصورة والمنوفية), Mesir, pada tahun 1980.

Selain itu, beliau turut terlibat sebagai pembicara dalam siaran langsung Tafsir al-Quran pada setiap hari Jumaat di televisyen Mesir.

Di antara syairnya tentang hijrah Rasulullah SAW adalah:

Mohon istirahatlah wahai cahaya yang mulia,

Dan ketampanan agung bagimu tak terlarang segala rahsia,

Katakanlah bagi pencari-Nya, sungguh kamu pemburu kemuliaan,

Mendapatkan petunjuk pada genggaman Jabbar,

Kamu adalah pembela, pejuang yang diharap oleh kaum tertindas,

Setiap sendi duniawi yang tidak dibangun atas agama,

Sesungguhnya bangunan di atas lumpur akan roboh.

Terdapat lagi beberapa karya-karyanya yang lain seperti Al adalah Al-Fatwa Kubra (الفتاوى الكبرى), Min Faidi al-Rahman fi Mu’jizati Al-Quran (فيض الرحمن في معجزة القرآن), Tafsir Al-Quran al-Adzim (تفسير القرآن العظيم), Aqidatu al-Muslim (العقيدة المسلم), serta Labbaika Allahuma Labaik (لبيك اللهم لبيك).

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada 17 Jun 1998 dan dikebumikan di tempat kelahirannya di Daqhiliyah.

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 10/5/2011.

Write a comment