“TIMANG tinggi-tinggi sampai cucur atap, Belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab”. Pantun nasihat seperti ini dialunkan sejak zaman berzaman, sebagai warisan nenek moyang kita bangsa Melayu, khususnya ketika si ibu mendodoikan anaknya dalam buaian.
Secara tidak langsung, pantun nasihat ini memperlihatkan harapan yang tinggi menggunung daripada setiap ibu bapa sejak dahulu lagi, supaya anak-anak mereka dapat membaca al-Quran seawal mungkin.
Apakah belajar al-Quran itu susah? Sehubungan ini, Allah SWT juga telah menegaskan di dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: …dan sesungguhnya Kami mudahkan al-Quran itu untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pengajaran… (al-Qamar: 17)
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ (١٧)
Ayat ini jelas menyatakan bahawa al-Quran itu merupakan suatu pelajaran yang senang dan telah dipermudahkan oleh Allah SWT untuk manusia mempelajarinya.
Namun begitu tidak ramai yang menyahut seruan Allah SWT untuk mencari kaedah pengajaran yang sesuai dan seumpamanya.
Satu program kaedah pembelajaran al-Quran yang dinamakan ‘Kaedah al-Hadi Dalam Masalah Tarqiq (nipis) dan Tafkhim (tebal)’ oleh Imam Masjid Negara, Amru Alhaz Adnan al-Hafiz. Ia diadakan di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 9 April 2011.
Program ini bertujuan mendedahkan masyarakat Islam tentang kaedah bacaan yang betul seperti yang diajarkan oleh Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad SAW.
Ia adalah inisiatif Persatuan Kebajikan Kakitangan Masjid Negara sebagai satu sumbangan ilmiah kepada masyarakat muslim tentang peri-pentingnya membaca al-Quran dan kaedah bacaan yang betul.
Kaedah al-Hadi dalam masalah tarqiq (ترقيق) dan tafkhim (تفخيم)
1. Mendedahkan kesilapan-kesilapan sebutan yang lazim dilakukan oleh masyarakat melayu atau bangsa bukan Arab dalam melafazkan sebutan huruf al-Quran.
2. Mengenal huruf yang tarqiq dan tafkhim serta mempelajari teknik-teknik untuk membezakan sebutan kedua-duanya.
3. Mempelajari cara dan teknik menyebut sesuatu huruf al-quran mengikut al-Sout (suara) yang tepat melalui praktikal dan musyafahah.
Kaedah al-Hadi adalah satu kaedah yang cuba disusun sebagai manual dan panduan asas kepada pembaca al-Quran untuk menyebut sesuatu huruf al-Quran itu dengan sebutan yang tepat berdasarkan teknik dan cara bukaan mulut.
Kaedah bukaan mulut itu berbeza, bergantung kepada situasi huruf al-Quran yang ingin dibaca. Kelemahan dalam teknik bukaan mulut itu menyebabkan banyak berlaku kesilapan terutama pada huruf yang sepatutnya dibaca nipis tetapi dibaca dengan bunyi tebal dan dalam beberapa keadaan ia jelas merubah huruf dan seterusnya makna.
Ulama tajwid banyak menulis hal yang berkaitan dengan perkara ini, tetapi tanpa kaedah khusus dan teknik secara praktikal atau musyafahah kesilapan ini hampir mustahil tidak berlaku.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 20/4/2011.
Write a comment
Catat Ulasan