Gambaran Hari Kiamat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH al-Qari’ah (سورة القارعة) mengandungi 11 ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah (السور المكية) yang diturunkan selepas Surah Quraisy (سورة قريش). Hubungan surah ini dengan surah al-Adiyat (سورة العاديات) adalah pada akhir Surah al-Adiyat diterangkan tentang hari kiamat, manakala keseluruhan ayat dalam surah al-Qari’ah diterangkan huru-hara hari kiamat.

Firman Allah SWT: Hari kiamat.

الْقَارِعَةُ (١)

Sayid Qutub (سيد قطب) berkata: Ia disebut menunggal tanpa sebarang penerangan kerana kata-kata itu sendiri sudah cukup menyampaikan saranan yang mengerikan. Kemudian disusuli pertanyaan yang menggerunkan.

Firman Allah SWT: Apakah hari kiamat itu? Tahukah kamu apakah hari kiamat itu?

مَا الْقَارِعَةُ (٢) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ (٣)

Al-Mawardi (الماوردي) berkata: Apakah hari kiamat itu mempunyai dua maksud:

1. Hari kiamat sendiri yang ditafsirkan selepas itu.
2. Azab yang menakutkan semua hati manusia.

Dinamakannya qari’ah bagi setiap yang sukar dan pedih. Pengulangan qari’ah sebagai tanda membesarkannya.

Firman Allah SWT: Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran.

يَوْمَ يَكُونُ النَّاسُ كَالْفَرَاشِ الْمَبْثُوثِ (٤)

Berkenaan dengan perkataan firash sebagai perumpamaan mempunyai dua maksud:

1. Segala benda yang berterbangan seperti nyamuk dan lainnya termasuk juga belalang. Inilah pendapat al-Farra’ (الفراء).

2. Burung yang jatuh ke dalam api bukan semata-mata nyamuk dan juga lalat. Inilah pendapat Abu Ubaidah (عبيدة) dan Qatadah (قتادة).

Firman Allah SWT: Dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.

وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ الْمَنْفُوشِ (٥)

Al-Sawi (الصاوي) berkata: Allah SWT menyamakan manusia dengan keadaan gunung-ganang, dengan tujuan memberikan peringatan bahawa kegemparan dan kegoncangan yang berlaku yang meliputi semua makhluk termasuk gunung bagai bulu yang berterbangan tanpa haluan.

Demikian juga keadaannya dengan manusia. Mereka menjadi bingung serta panik disebabkan keadaan itu dan kemudian, amalan mereka dihisab lalu amalan mereka diberikan balasan.

Sayid Qutub (سيد قطب) berkata: Inilah pemandangan pertama bagi hari kiamat yang menggemparkan setiap pemandangan yang menggoncangkan hati dan menggigilkan segenap sendi.

Setiap pendengar merasa segala sesuatu yang tercacak kukuh di bumi hancur lebur menjadi debu-debu yang berterbangan. Kemudian tibalah babak akhir seluruh manusia di hari itu.

Firman Allah SWT: Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikan)nya. Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya. Maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah.

فَأَمَّا مَنْ ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ (٦) فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ (٧) وَأَمَّا مَنْ خَفَّتْ مَوَازِينُهُ (٨) فَأُمُّهُ هَاوِيَةٌ (٩)

Sayid Qutub (سيد قطب) berkata: Makna asalnya ibu. Ibu adalah tempat kanak-kanak mencari perlindungan sedangkan ibu tempat kembali bagi orang-orang yang ringan timbangan amalnya dan mencari perlindungan pada hari itu ialah neraka Hawiyah.

Pengungkapan sangat indah dan memberi imbangan makna yang khusus. Ia merupakan kenyataan yang tidak jelas sebagai persediaan untuk diiringi dengan penjelasan yang menjadikan kesannya bertambah mendalam lagi.

Firman Allah SWT: Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?

وَمَا أَدْرَاكَ مَا هِيَهْ (١٠)

Ia merupakan nama daripada nama-nama neraka. Dinamakan demikina kerana jauh dasarnya. Ada riwayat menyebut ahli neraka sampai ke bawah jatuh akan mengambil masa 70 tahun.

Firman Allah SWT: (Iaitu) api yang sangat panas.

نَارٌ حَامِيَةٌ (١١)

Sayid Qutub (سيد قطب) berkata: Itulah ibu tempat kembalinya orang-orang yang ringan timbangan amalnya. Biasanya, pada ibulah terdapat keamanan dan ketenangan, tetapi malangnya orang ini mendapat neraka yang amat panas. Ini suatu ungkapan yang menimbulkan rasa terkejut yang membayangkan hakikat kejam.

Penutup

Sayid Qutub (سيد قطب) dalam Fi Zilal al-Quran (في ظلال القرآن) berkata: Berat ringan timbangan amalan itu menyarankan adanya amalan-amalan yang bernilai dan dihargai Allah SWT. Dan adanya amalan yang tidak bernilai tidak dihargai Allah SWT.

Inilah keseluruhan yang dapat difahami dari ungkapan ayat ini. Inilah yang dimaksudkan Allah dengan firman-Nya itu.

Percubaan menceburkan diri dalam perdebatan aqliyah (عقلية) dan lafziyah (لفظية) mengenai maksud-maksud ungkapan ayat itu merupakan perbuatan biadap terhadap al-Quran, di samping usaha sia-sia didorong kekosongan hidup yang menghalangi seseorang memberi perhatian yang sebenar terhadap al-Quran dan Islam.

Semoga kita menjadi golongan yang mendapat kurniaan Allah SWT, Amin.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 22/4/2011.

Write a comment