Dalami Qiraat Dalam AQ


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

SALAH satu rancangan realiti televisyen yang berkonsep Islamik dan mendapat sambutan pada ketika ini adalah Akademi Quran (AQ). Rancangan ini menampilkan satu program berasas kepada bacaan al-Quran dalam bentuk tarannum (berlagu) dan dibaca melalui riwayat qiraat.

Pada awalnya mungkin pendengar merasa cuak dengan bacaan qiraat namun apabila juri memberi teguran kaedah yang tepat atau manhaj yang sahih barulah kita memahami betapa pentingnya membaca al-Quran dengan riwayat yang berbeza.

Menariknya dalam AQ ini, yang tidak sama dengan musabaqah al-Quran di mana juri akan menentukan di atas pentas riwayat apakah yang perlu dibaca oleh peserta sama ada Warsy (ورش), Qalun (قالون), al-Susi (السوسي), al-Duri (الدوري) atau yang lain.

Ini adalah satu metod untuk menguji kecekapan peserta dalam bacaan al-Quran merangkumi tarannum, qiraat dan tajwid.

Tambah menarik apabila peserta mampu membaca riwayat yang diberi oleh juri dengan membacanya secara berlagu dan menepati manhaj setiap imam. Di sinilah sebenarnya keistimewaan AQ berbanding tilawah al-Quran.

Pendedahan bacaan secara qiraat sebegini adalah amat penting kerana ia menggambarkan kepada masyarakat betapa banyaknya ilmu berkaitan bacaan al-Quran. Dan masih banyak ilmu qiraat yang belum kita menerokainya dengan mendalam.

Realitinya selama ini kita hanya membaca satu riwayat sahaja iaitu riwayat Hafs dari qiraat 'Asim. Sedangkan di sana terdapat sepuluh qiraat mutawatirah dan setiap qari mempunyai dua riwayat.

Ini bermaksud kita hanya mengetahui satu riwayat daripada dua puluh riwayat yang diiktiraf bertaraf mutawatirah dan sah membacanya dalam sembahyang.

Namun begitu bukan bermaksud penulis mahu mengajak semua pembaca membaca al-Quran dengan riwayat-riwayat tersebut.

Bagi yang berkemampuan mempelajarinya adalah dialu-alukan dan bagi yang tidak mampu sudah memadai dengan menekuni satu riwayat sahaja iaitu Hafs.

Apa yang penting, kita memberi sokongan kepada rancangan ini. Kesungguhan para peserta mempelajari ilmu qiraat dalam tempoh yang singkat dan mampu membuat bacaan persembahan beralunkan seni tarannum dan membacanya mengikut riwayat berbeza adalah satu usaha yang boleh membanggakan kita semua.

Bagi merealisasikan pengembangan ilmu qiraat dalam masyarakat, alangkah baiknya jika kelas-kelas al-Quran untuk dewasa yang banyak diadakan di merata tempat menjadikan ilmu qiraat sebagai satu subjek pengajian.

Mungkin peringkat permulaan hanya diterangkan sejarah qiraat dan pengenalan qari serta manhajnya. Penguasaan asas ilmu qiraat akan menjadikan program AQ lebih bermakna kepada kita.

Secara positifnya, penulis mengharap satu perubahan pemikiran terhadap ilmu qiraat perlu wujud dalam diri muslim. Di negara arab sudah lama wujud rakaman 30 juzuk al-Quran dengan riwayat Warsy, Qalun, al-Duri dan lain-lain. Quran juga dicetak dengan riwayat-riwayat tersebut.

Justeru apakah kita hanya memadai dengan riwayat Hafs (حفص) sahaja? Jika begitulah keadaannya sudah tentu kita akan terkebelakang dalam menguasai ilmu al-Quran.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 23/3/2011.

Write a comment